Saturday 15 August 2015

Menu berpantang #12 ayam kukus halia

Assalammualaikum dan selamat sejahtera. 


Hari ni saya kongsikan satu lagi resepi mudah untuk ibu-ibu dalam pantang. Kalau yang tak berpantang pun boleh masak jugak.. terutama bagi yang sedang berdiet hihihihi

Menu simple sesuai sangat untuk ibu yang berpantang sendiri. Tak renyah dan yang penting seimbang.

Ayam kukus halia
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
Dua ketul dada ayam ( saya guna kepak. Stok ayam habis)
Dua inci halia dihiris mancis
Dua ulas bawang putih dihiris
Dua biji bawang merah dihiris
1 sk Sos tiram
1/2 sk lada hitam
Secubit garam

Cara-cara:
1. Gaul rata semua bahan. Perap selama 15 minit.
2. Panaskan kukusan. Sediakan aluminium foil. Letakkan ayam bersama bahan perapan. Lipat kemas.
3. Kukus selama 15-20 minit. Sedia untuk dimakan

Kepada yang sudi selamat mencuba o_O


Tuesday 11 August 2015

Menu berpantang #11 sawi masak asam dengan tempe

Assalammualaikum dan selamat sejahtera.. 

Telah saya maklumkan sebelum-sebelum ni sepanjang tempoh berpantang kali ini memang saya paling suka juadah berasaskan asam jawa.

Kali ini saya masak bening sawi dengan tempe. Juadah penambah susu ibu ni sedap sekali dimakan bersama nasi panas-panas.

SAWI MASAK ASAM DENGAN TEMPE
oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
Seikat sawi hijau
Dua ulas bawang putih dihiris
Dua biji bawang merah dihiris
Seinci halia dihiris mancis
Sekeping tempe kampung belah dua dan hiris nipis
Semangkuk air asam jawa
Garam secukup rasa

Cara-cara:

  1. Masukkan bawang putih, bawang merah dan halia ke dalam periuk.
  2. Masukkan juga air asam jawa. Tunggu hingga kuah mendidih. 
  3. Masukkan pula tempe. Kacau rata. Kemudian masukkan Secubit garam.
  4. Akhir sekali masukkan sawi . Kacau rata dan tutup api. Sedia di makan. 
Kepada yang sudi selamat mencuba.. B-)

Sunday 9 August 2015

Menu berpantang #10 daging masak asam

Assalammualaikum dan selamat sejahtera


Seperti yang telah saya coretkan sebelum ini, masak asam merupakan menu yang paling saya gemarkan sepanjang tempoh berpantang kali ini. 

Selain ikan tenggiri, ikan bawal, ikan bilis kali ini saya masak menggunakan daging pula.. maaflah kalau ada yang bosan dengan menu yang sama diulang tayang. Hihihi.. 

Sekadar berkongsi variasi menu berpantang.. kadang-kadang dah tak tahu nak masak apa. Lainlah kalau ada yang memasakkan untuk kita. Tinggal suap sahaja.. 

Daging masak asam
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
300 gm daging di hiris nipis dan direbus hingga empuk
1/2 labu bawang besar potong dan dihiris 
2 ulas bawang putih dihiris
2 inci halia dihiris mancis
1/2 cawan air asam jawa ( 1 sb pes asam jawa extra + 1/2 cawan air )
Secubit Garam
Minyak untuk menumis

Cara-cara:
1. Tumiskan bawang putih, bawang besar dan halia hingga naik bau. 
2. Masukkan daging. Kacau rata. Masukkan pula air asam jawa.
3. Akhir sekali perasakan dengan garam. 

Sedia dinikmati dengan nasi panas-panas.. Kepada yang sudi selamat mencuba.(^3^)

Friday 7 August 2015

Menu berpantang #9 bubur nasi sama ikan bilis masam asam dan sayur sawi

Assalammualaikum dan selamat sejahtera


Bila dah bosan makan nasi, kita tukar pulak dengan bubur. Barulah bervariasi. Ada orang kata, dalam pantang tak boleh makan bubur. Tapi saya ok aje. Sebab mak memang masakkan bubur semasa berpantang sebelum-sebelum ni. Cuma bubur tu taklah cair macam air, nasinya sahaja yang agak lembik umpama masak nasi terlebih air.

Bubur ni saya gandingkan dengan ikan bilis masak asam. Rasanya sepanjang berpantang ni, lauk paling saya suka masak asam. Hari-hari makan pun tak pe. Waah... Sedapnya.. 

Selain itu, saya juga menyediakan bening sawi putih sebagai milk booster. Ohh ini pun sama, hampir setiap hari juga saya menikmati sayur sawi ni.. 

Bubur nasi dengan ikan bilis masak asam dan bening sawi putih 
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
Bubur 
Segenggam beras
3 cawan air 
Secubit garam

Segenggam ikan bilis - dibersihkan
1/2 labu bawang besar dihiris
1 ulas bawang putih dihiris
1 inci halia dihiris mancis
1 inci lobak merah potong dadu
1/2 cawan air asam jawa (1sb pes asam jawa extra + 1/2 cawan air)
Secubit garam 

1 pokok sawi putih - dibersihkan dan potong ikut suka
1 biji bawang merah dihiris
1 ulas bawang putih dihiris
1/2 cawan air 
Secubit garam

Cara-cara:
1. Masukkan bahan bubur ke dalam periuk dan masak seperti biasa. Jika kurang air boleh tambah. Bila butir nasi sudah kembang, tutup api. Tak perlu masak hingga hancur. 
2. Goreng ikan bilis. Nak sangai pun boleh. Ketepikan. Masukkan semua bahan dalam kuali. Apabila kuah mendidih masukkan ikan bilis. Tutup api. 
3. Untuk bening sawi pula, masukkan hirisan bawang dan air ke dalam periuk. Apabila kuah mendidih masukkan sawi. Perasakan dengan garam. Tutup api dan sedia dihidangkan.

Dah siap... Kepada yang sudi selamat mencuba.. (*^o^*)

Tuesday 4 August 2015

Menu berpantang #8 spaghetti sama ayam masak halia

Assalammualaikum dan selamat sejahtera


Sesekali anak tekak ni teringin nak makan mee.. maklumlah musim raya begini ramai tuan rumah menyediakan hidangan berasaskan mee yang menggoda tekak saya. Namun, terpaksalah ku pendam. Hahaha..

Teringat semasa di ward tempoh hari. Sebaik sahaja balik dari dewan bersalin, pagi itu saya dihidangkan dengan mee goreng. Saya memang takut nak makan. Cuma minum milo yang dicicah dengan roti kosong. Akhirnya saya dimarahi oleh sister. Huhuhu.. Katanya apa yang kita makan sewaktu mengandung boleh dimakan selepas melahirkan. Kecuali makanan tersebut memberi kesan alahan kepada badan kita.. hrmmm...  Serba salah dibuatnya..

Spagetti dengan ayam masak halia
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
Secekak spagheti (saya guna jenama kimbal)
1 keping dada ayam (dihiris kecil-kecil)
1 labu bawang besar belah dua dan dihiris nipis
1 ulas bawang putih dihiris
2 inci halia muda hiris mancis
1sk sos lada hitam
Secubit garam
Minyak zaiton

Cara-cara:
1. Didihkan air dalam kuali. Apabila air sudah betul-betul mendidih, masukkan spagheti. Masukkan juga 1sk garam. Celur hingga spagheti lembut, angkat dan gaulkan dengan 1sb minyak zaiton. Ketepikan.
2. Tumiskan bawang putih dan halia hingga naik bau. Kemudian masukkan hirisan ayam. Kacau hingga ayam separa empuk.
3. Masukkan bawang besar, sos lada hitam dan perasakan dengan garam.
4. Tutup api da sedia untuk dihidang..

Nah... Senang bukan. Kepada yang sudi selamat mencuba... (*˘︶˘*)





Saturday 1 August 2015

Menu berpantang #7 bening sawi dengan tempe

Assalammualaikum dan selamat sejahtera

Hari ni saya kongsikan satu hidangan yang lazat juga sebagai milk booster atau penggalak susu bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi. Seperti yang kita ketahui sawi boleh menambahkan susu badan begitu juga dengan tempe, jadi memang sesuailah menu ini dimakan semasa dalam pantang.


Hidangan ini sangat mudah dan boleh di makan seisi keluarga. Makan dengan nasi panas-panas... Aduh enak sungguh... 

Bening sawi dengan tempe.
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
2 pokok sawi (dibersihkan dan potong ikut suka)
2 keping tempe kampung (potong dua kemudian potong dadu)
2 ulas bawang putih dihiris
2 biji bawang merah dihiris
10 ekor ikan bilis di bersihkan
1 cawan air
Secubit garam

Cara-cara:
1. Masukkan semua bahan kecuali sawi ke dalam periuk kemudian masak atas dapur. 
2. Apabila kuah mendidih masukkan sawi. Masukkan juga garam secukupnya. Kacau rata dan segera tutup api.

Masakan ini tak perlu dimasak lama nanti hilang zat zat yang terdapat pada sayur.   

Sedia dihidang. Kepada yang sudi selamat mencuba... 





Friday 31 July 2015

Menu berpantang #6 roti bakar kapit keju

Assalammualaikum dan selamat sejahtera..

Masuk minggu ke 3, saya dah mula mempelbagaikan menu, Hihi maklumlah sesekali tekak ni nak juga makan hidangan bervariasi. Siapa kata menu orang berpantang ni membosankan. Yang penting kita kene ambil tahu menu yang bersesuaian dengan badan kita. 

Ye la, ada orang dalam pantang tak boleh makan ikan. Tapi boleh makan ayam sahaja. Begitu juga sebaliknya. Janganlah kita pandai- pandai mengata orang bila tengok cara berpantang mereka tak seperti kita. Ini kerana lain orang, lain ragam.. 


Menu tahap pejam mata ni, untuk hidangan sarapan pagi. Sangat mudah untuk disediakan. 

Roti Bakar Kapit Keju. 
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
2 keping roti gardenia
1 keping keju cheesedale
Secubit serbuk lada hitam

Cara-cara:
1. Bakar sekeping roti dalam magic pan hingga keperangan kemudian terbalikkan dan letak sekeping keju di atas bahagian yang keperangan tadi. Taburkan serbuk lada hitam. 
2. Dalam masa yang sama, bakar sekeping lagi roti di sebelahnya hingga keperangan. Kemudian, kapit bahagian keperangan tadi ke atas keju yang telah ditabur serbuk lada hitam. 
3. Terbalikkan roti dan bakar pula bahagian bawahnya hingga keperangan juga. 
4. Siap. Potong ikut suka. Sedia dihidang.

Saya makan bersama secawan hot chocolate.. nyum..nyum.. 

Kepada yang sudi selamat mencuba.. 

Monday 27 July 2015

Menu berpantang #5 ikan bawal masak asam sama sayur sawi

Assalammualaikum dan selamat sejahtera

Hari ni saya nak kongsikan satu lagi resepi yang saya sediakan semasa dalam pantang. Menu ringkas-ringkas sahaja. Orang kata masa dalam pantang, jangan renyah nanti luka jahitan boleh terbuka, peranakan turun dan macam- macam lagilah... 

Tapi bagi saya yang berpantang sendiri dengan menjaga 2 orang anak lagi, terpaksalah aktif sikit. Dah tak boleh nak toleh kiri kanan kata orang. Tapi apa yang saya buat, sentiasa beringat dan masih berpandukan amalan berpantang tradisi lama. 


Ikan bawal masak asam
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
2 ekor ikan bawal putih* (lain2 jenis ikan boleh belaka asalkan bukan jenis gatal)
1 sk serbuk kunyit*
1 sk garam*
1 biji bawang besar dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
2 inci halia dihiris 
1/2 mangkuk air asam jawa
2 sb minyak zaiton

Cara-cara:
1. Satukan bahan bertanda * dalam mangkuk. 
2. Tuang sesudu minyak zaiton dalam magic pan, kemudian panggang ikan hingga masak. Sentiasa balik-balikkan pan supaya ikan tidak hangus. 
3. Dalam kuali, tuang sedikit minyak zaiton, kemudian tumiskan bawang besar, bawang kecik dan halia hingga naik bau, kemudian masukkan air asam jawa. 
4. Kacau hingga mendidih, masukkan ikan yang telah dipanggang tadi. Kacau lagi hingga sebati.
5. Tutup api dan sedia dihidangkan. 

Kepada yang sudi, selamat mencuba.. (~>__<~)





Saturday 25 July 2015

Menu berpantang #4 ikan bawal masak pindang

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera 


Menu ikan masak pindang memang sedap di makan dengan nasi panas. Oleh kerana saya berpantang sendiri dan encik suami tiada di rumah, kebanyakan hidangan yang saya masak tidak bertumbuk. Saya cuma hiris-hiris sahaja. 

Oleh kerana saya suka makan halia dalam pantang, jadi bahan hirisan tu memang saya kunyah sekali. Selain perut kenyang, khasiat daripada halia dapat mengeluarkan angin dalam badan manakala kunyit pula bertindak untuk menyembuhkan luka.. :-)

Disebabkan hari-hari makan sayur sawi, kali ini saya makan berulamkan ulam raja pula. Ulam raja ni saya tanam sendiri, jadi bila-bila rasa nak makan, petik sahaja... 

Ikan Bawal Masak Pindang 
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
2 ekor ikan bawal putih 
2 ulas bawang putih dihiris
2 biji bawang merah dihiris
2 inci halia dihiris bulat
1 inci kunyit hidup dihiris
1 keping asam keping
1 cawan air
Garam secukup rasa

Cara-cara:

  1. Satukan semua bahan yang dihiris bersama air dalam periuk. Kemudian hidupkan api. 
  2. Bila kuah sudah mendidih, masukkan ikan dan asam keping. Perasakan dengan garam. Kacau rata kuah. Bila ikan sudah masak, tutup api dan sedia untuk dihidangkan.
Kepada yang sudi, selamat mencuba... 








Thursday 23 July 2015

Menu berpantang #3 ayam bakar sama pegaga masak bening

Assalammualaikum dan selamat sejahtera.

Ada sesetengah ibu berpantang tak boleh makan daging ayam. Tapi saya boleh makan. Masa berpantang anak pertama dulu emak selalu sediakan sup ayam. Cuma kuahnya janganlah sampai banjir dalam pinggan. 

Resepi ini mudah sahaja untuk disediakan dan pasti menambat selera ibu-ibu dalam pantang.

Ayam bakar berempah
Oleh: che'gu mama

Bahan- bahan:
4 ketul ayam- seeloknya bahagian dada dan dibuang kulit. 
5 ulas bawang putih*
1/2 inci halia*
1/2 sk jintan manis*
1/2 sb gula 
1/2 sb minyak zaiton
1/2 sb serbuk lada hitam
Garam secukup rasa

Cara-cara:
1. Tumbuk bahan bertanda * hingga lumat. Dalam bekas, satukan semua bahan kemudian lumur pada ayam. 
2. Perap dalam peti sejuk sekurang- kurang 2 jam.
3. Bakar dalam kuali pemanggang ajaib selama 10 minit/ hingga masak. 

Pegaga masak bening
Oleh: che'gu mama

Bahan- bahan:
Secekak pegaga- dibersihkan
Sebiji bawang merah dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
5 ekor ikan bilis dibersihkan
1/2 cawan air
Garam secukup rasa

Cara-cara:
1. Satukan bawang, ikan bilis dan air dalam periuk. 
2. Apabila kuah mendidih, masukkan pegaga dan perasakan dengan garam. 

Sedia dihidang makan bersama nasi panas.
* resepi untuk sekali masak. 

Tuesday 21 July 2015

Menu pantang #2 kerabu pegaga

Assalammualaikum dan selamat sejahtera.


Kadang-kadang kalau baby meragam dan kerja rumah banyak lagi yang tak terlangsai memang mak-mak dalam pantang ni makan apa yang termampu je disediakan. 

Kali ni saya nak kongsikan kerabu pegaga yang sangat ringkas. 

Kerabu pegaga
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:

Secekak pegaga dibersihkan dah dihiris
Sepotong ikan tenggiri bakar- ambil isi dan dilerai menggunakan garfu
Sebiji bawang merah ditumbuk
Seulas bawang putih ditumbuk
1/2 sk serbuk lada hitam

Cara-cara: 
1. Sangai bahan tumbuk bersama serbuk lada hitam. Gaulkan dengan isi ikan. Kemudian angkat.
2. Dalam mangkuk, satukan pegaga dengan bahan sangai tadi. 

Siap dimakan dengan nasi panas-panas. 
* resepi untuk sekali makan. 





Sunday 19 July 2015

Menu pantang #1 ikan tenggiri bakar sama bening sawi putih

Assalammualaikum dan selamat sejahtera




Dalam masa berpantang ni saja nak kongsikan menu berpantang yang saya sediakan untuk diri sendiri. Maklum lah dah masuk anak ketiga ni kenalah berdikari.. 

Menu ni di makan tanpa jemu sepanjang minggu pertama pada waktu tengah hari dan petang termasuk pada hari raya Aidilfitri. Ooh.. sungguh sedih tapi saya tak terliur lagi dengan lauk pauk raya memandangkan emak telah menjamu saya dengan hidangan raya beberapa minggu sebelum saya bersalin. 

Alhamdulillah kali ini saya tidak cerewet dan sangat menikmati hidangan pantang tanpa banyak songeh. Sampaikan emak saya pula yang selalu menyoal kalau-kalau saya nak bertukar menu. 

Ikan bakar
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
1 potong ikan tenggiri 
Sedikit serbuk kunyit
Garam secukup rasa
Sedikit minyak zaiton 

Cara-cara: 

1. Lumur ikan dengan serbuk kunyit dan garam. 
2. Titiskan beberapa titik minyak zaiton . Bakar ikan dalam pemanggang ajaib selama 5 minit/ hingga masak.

Bening Sawi putih 
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
1 pokok sawi putih - bersihkan dan potong ikut suka
Sebiji bawang merah - dihiris
Seulas bawang putih - dihiris
1/4 kiub ikan bilis
1/2 cawan air
Sedikit minyak zaiton

Cara-cara:
1. Tuang sedikit minyak zaiton ke dalam kuali. Tumis bawang merah dan bawang putih. Kemudian masukkan kiub ikan bilis dan tuang air. 
2. Apabila kuah mendidih masukkan batang sawi. Kacau rata. Masukkan daun sawi kacau rata dan terus tutup api. 

Sedia dimakan dengan nasi panas-panas.. 




Monday 1 June 2015

RESEPI APAM GORENG MUDAH PASTI JADI !!

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera..

 

Tajuk entry tak menahan... hahaha...
Ni hidagan pagi tadi sebagai sarapan. Memang sedap dan yang penting kenyang.. Lembut sampai ke tengah hari. Anak-anak pun suka makan. Memang tak rugi mencuba..Saya cicah dengan sambal tumis ikan bilis. Apa-apa kuah pun boleh dimakan bersama sebab rasanya tak manis, tak tawar dan tak masin.. Haaa macam mana tu.. kenela cuba sendiri. Untuk satu adunan ni saya dapat 5 keping. Jika keluarga besar, bolehlah digandakan resepinya...


Resepi ni saya kongsikan daripada buku 101 Resepi Pengikat Kasih Mertua karya Chef NorZailina Nordin. Banyak resepi yang sedap-sedap didalamnya. Harga sebuah buku hanyalah RM29.90 sahaja. Jika anda pemegang kad popular, bolehlah dapat 10% diskaun.. berbaloi-baloi...Tak rugi membelinya... 


APAM GORENG 
oleh: Chef Norzailina Nordin 
daripada buku "101 Resepi Pengikat Kasih Mertua"

Bahan-bahan A :
  • 1 1/2  ( 185 g) Tepung gandum 
  • 1 sudu besar Gula Halus
  • 1 1/4 cawan (330ml) air
  • Garam secukup rasa
  • Minyak untuk melengser (saya guna minyak zaiton)
 Bahan-bahan B:
  • 1 1/4 sudu teh yis segera (mauripan)
  • 1/2 sudu teh gula halus
  • 1/4 cawan (60ml) air suam
Cara-cara:
  1. Adunan Yis: Larutkan gula dengan air suam kemudian taburkan yis. Ketepikan selama 10 minit supaya berbuih.
  2. Letak tepung ke dalam mangkuk, campurkan gula, garam dan adunan yis. Kemudian masukkan air. 
  3. Kacau rata menggunakan hand wisk dan biarkan selama 15 minit. (saya tutup adunan )
  4. Panaskan kuali, lengserkan sedikit minyak.
  5. Ambil sesenduk adunan dan tuangkan ke atas kuali. Apabila permukaan berbuih dan mulai kering, terbalikkan.
  6. Masak di atas api perlahan hingga perang keemasan..


Nah... sedia dihidangkan bersama sambal tumis atau kuah kari atau kuah asam pedas... memang sedap.....

kepada yang sudi selamat mencuba....



Thursday 26 March 2015

LULUR DAUN MAMBU UNTUK CHICKEN POX

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera...

Pagi-pagi lagi saya sudah bersiap-siap ke Klinik Kesihatan untuk temujanji bersama doktor. Bintik air semakin galak tumbuh di badan dan bahagian muka.. ohhh tidakkk....

Setelah melakukan pemeriksaan rutin, doktor menambah cuti sakit saya selama tiga hari lagi. (bermula 29 hingga 31 Mac)

Balik dari klinik, saya gagahkan diri untuk menyediakan lulur daun mambu. Sebenarnya sudah tiga hari saya tidak mandi. (hehehe) Badan sudah rasa melekit dan sangat tidak selesa.


Bagi penyediaan lulur mambu, saya telah melurut setangkai daun mambu dan membersihkannya terlebih sebelum di blend halus. Kemudian saya lumur daun mambu yang telah siap di blend ke seluruh badan. Memang terasa sangat selesa dan hilang rasa gatal-gatal. Biarkan lulur tersebut kering sebelum di bilas dengan sebaldi air ramasan daun mambu.. Saya memang mandi cukup-cukup sebaldi air. Tak perlu gunakan sabun buat sementara waktu ini.

Alhamdulillah memang nampak keberkesanan petua ini...Gatal-gatal badan memang hilang....

Pagi tadi mak telefon di awal pagi untuk mengingatkan satu lagi pantang larang orang-orang lama... 


"mak nak ingatkan ko ni, waktu tengah kene chicken pox ni, tak kiralah ko ke yang kene atau anak ko yang kene, jangan sesekali bersama dengan laki ko. Nanti makin teruk jadinya.. mak sekadar mengingatkan..."



Pfttt...... tak tahu nak cakap apa. yang penting tengah sakit-sakit mcam ni memang tak berselera le mak oii... (hihi komen dalam hati jek) yelah kalau dah kat celah-celah pun tumbuh bintik air tu ... (hahahaha.......) 


Jumpa lagi.....

Wednesday 25 March 2015

DAUN MAMBU UBAT CHICKEN POX

Assalamualaikum wbt..

 
Hari ni hari kedua saya dijangkiti chickenpox 
(sebenarnya mungkin dah hari ke 5). 

Bintik-bintik merah semakin galak tumbuh di bahagian dada, perut dan bahagian belakang badan..

Gatalnya tidak terperi. Nak tidur malam pun tak selesa. Rasa macam nak menggaru kuat-kuat je. Ada antara bintik yang dah menggelembung dan berair di dalamnya. Saya masih perlu didiplinkan diri untuk mengambil antivirus selang 4 jam.. walaupun tengah sedap tidur kunci jam supaya tak terskip makan ubat.

Nak mandi pun tak berani sebab bintik-bintik semakin membesar. Memang merenyam la badan.   Saya perlu banyak minum air masak. Nak makan pun tak berselera sebab ada ulser atau mungkin chicken pox dalam mulut ni...

( inilah rupa daun mambu...... )

Bercerita tentang daun mambu, mari saya sambung semula perihal daun mambu ini. Mengikut petua orang-orang tua daun ini mujarab membantu menyembuhkan chicken pox. Sewaktu pulang dari berjumpa doktor semalam, en.suami mengajak saya mencari daun mambu di sekitar kawasan perumahan kami. Sasaran sudah pasti di rumah masyarakat kaum India. 

Rumah pertama yang kami pergi, tuan rumahnya kurang mesra namun membenarkan kami mengambil beberapa tangkai daun mambu dari pokok yang ditanamnya. Kalau diikutkan memang tak cukup pun. Sempat beliau mengingatkan en.suami agar mencampak duit sepuluh sen di bawah pokok tersebut sebelum kami beredar.

Kami singgah pula di rumah kedua yang tidak jauh dari rumah pertama tadi. Mendengar sahaja untuk dibuat ubat chicken pox, tuan rumah berbesar hati untuk menolong memotong beberapa tangkai daun semambu pokok yang ditanamnya. Beberapa petua turut dititipkan kepada kami antaranya, 
  • Tidur beralaskan daun mambu
  • Mandi dengan air ramasan daun mambu
  • Memblender sedikit daun mambu untuk dilumur di bahagian anggota badan yang terdapat bintik chicken pox agar cepat surut dan tidak meninggalkan kesan. 
Terima kasihlah pada tuan rumah yang sangat mesra siap berpesan agar datang untuk ambil lagi jika daun tersebut tidak cukup. Tapi sebenarnya memang banyak....  Sekali lagi, kami turut diminta mencampak wang sepuluh sen ke pangkal pohon tersebut. Buat sahajalah..tapi memang kami tak fikir apa pun. sebagai menghormati permintaan tuan rumah. Dan diberi percuma pun dah cukup baik...


(Daun mambu disimpan dalam baldi dan diletak di dalam bilik air bagi memastikan daunnya kekal segar. Saya juga balut bahagian hujung tangkai dengan surat khabar dan membasahkan dengan air) 


Mana-mana petua yang baik dan tidak memudaratkan bolehlah kita ikut dan juga selagi tidak menggugat akidah sebagai orang Islam. Esok saya akan berjumpa dengan doktor untuk review perkembangan chicken pox.... ohhh badan semakin gatal.. sampai sini dulu... 

Daaa.......

Tuesday 24 March 2015

CHICKENPOX SEWAKTU MENGANDUNG (26 MINGGU)

Assalamualaikum....

Dah lama rumah saya ni bersawang. Banyak entry tertunda. Memang dah lama sangat tak update cerita. Walaupun rasanya tak ramai pun viewers... Hahaha ( i olls is syok sendiri) 

Tajuk kat atas tu pun macam da scary uolls apatah lagi yang menghadapinya... Oklah mari saya share pengalaman untuk panduan rakan-rakan maya yang lain.... 

Kronologi:

3 minggu lepas, anak sulung saya dijangkiti virus varicella (chicken pox) yg mana saya percaya dia dapat dari tadika. Sebab nya ticer di taska mengatakan tak ada kes ni di premisnya. 

(Tanda awal virus varicella di kesan di badan kakak)

Sewaktu saya mula-mula kesan tanda awal chicken pox ni mungkin sudah 3 hari itupun bila Bintik- Bintik air dah mula naik dengan banyak di badannya. Maklumlah saya memang tak pernah dijangkiti penyakit ini. Memang tak tahu tanda awal virus ni. Sempat jugaklah si Kakak ni menyertai pertandingan mewarna di utm sebelum disahkan doktor dia dijangkiti varicella ni. ( tutup mata sambil rasa bersalah kot-kot virus anak saya ni tersebar pada kanak2 lain semasa pertandingan tersebut... ) 



(Anak-anak dipertandingan mewarna anjuran UTM JB)



Seminggu dia dicutikan dari tadika dan taska. Saya dan suami bergilir-gilir menjaga dia sepanjang tempoh tersebut. Perlu mohon CRK daripada pengetua dua hari. Nasib baik beliau prihatin dan memberi kelulusan. 

Selepas seminggu Bintik- Bintik semakin mengecut dan mati. Hanya tinggal kuping sahaja. Alhamdulillah di muka kakak tak banyak Bintik yang tumbuh. Ticer di taska tak membenarkan kakak datang ke taska kerana menurutnya minggu kedua ni peluang untuk virus ni merebak lebih tinggi. Wallahualam... Terpaksalah saya dan suami bergilir-gilir membawa kakak ke tempat kerja walaupun hati saya kasihan melihat kakak yang kepenatan setiap hari... Bersabarlah nak... Selepas dua minggu alhamdulilah dia pulih sepenuhnya. Tiga minggu dia tidak hadir ke sekolah kerana bersambung dengan cuti sekolah penggal satu. 

Kisah saya:

Tiga empat hari sebelum saya kesan virus ni, tekak saya rasa sangat tidak selesa. Badan agak keletihan. Saya fikir ini hal biasa bagi ibu-ibu yang mengandung. Dua hari lepas baby kerap mengeras. Jika difikir logik saya baru 26 minggu dan tak mungkin sudah tiba masa untuk bersalin. Bila baby mengeras rasa macam nak buang kecil ada.. rasa macam nak buang air besar pun ada... Aduhai... 

Memang menjadi rutin untuk saya sapukan minyak bio oil pada perut setiap kali selepas mandi. Konon-konon nak elakkan stretchmarks...( da masuk kali ketiga preggy baru nak letak ) saya memang perasan ada dua bintik merah kecik di bahagian bawah perut. Ingatkan cuma ruam biasa. 

Pagi tadi saya memang terkejut bila nampak banyak Bintik air tumbuh pada bahagian perut. Sah. Sama macam keadaan kakak. Saya terus call en.suami. Sempat juga saya call di KD tempat saya membuat pemeriksaan rutin. Menurut Nurse tersebut saya perlu ke HSA segera dan rujuk ke bahagian kecemasan terus.. Aduhai... Saya berkemas seadanya sambil menunggu en.Suami sampai. Sebaik sahaja dia tiba di rumah kami terus bergerak ke HSA. 

Setibanya di sana pembantu perubatan pula minta kami dapatkan surat rujukan daripada doktor terlebih dahulu. Maknanya saya perlu berjumpa dengan doktor pesakit luar.  Geram juga saya waktu itu. Jam sudah menunjukkan pukul 11.45 pagi. Mana mungkin saya dapat berurusan dengan doktor sebelum waktu rehat. En.Suami memang sedari tadi asyik merungut dengan ketidak cekapan Nurse yang mengarahkan saya ke terus HSA tadi. 

Allah memudahkan urusan saya pagi tadi. Mujur ada sahabat yang sudi membantu memudahkan saya berurusan di sebuah klinik kesihatan. Tanpa perlu beratur panjang saya terus ke bilik doktor untuk pemeriksaan. 

Menurut doktor wanita tersebut saya bernasib baik dijangkiti virus ini pada usia kandungan 26 minggu. Jika pada awal tempoh mengandung akan membahayakan kandungan. Jika saya dijangkiti virus ini pada hujung kehamilan berkemungkinan bayi juga boleh dijangkiti sebaik sahaja lahir. Allahu akbar... Saya pasrah dan redha. 

Hasil ultrasound tadi, baby dalam keadaan sihat. Alhamdulillah. Doktor juga membekalkan ubat antibiotik, demam dan gatal untuk dimakan dan calamine lotion  untuk disapu. Antibiotik tu saya perlu 5 kali sehari. Kene la pandai2 adjust masa dalam sehari.. 



(Ubat-ubatan yang dibekalkan doktor)

Balik dari klinik En.Suami terus mengajak saya mencari daun mambu di kawasan kejiranan kami. Pokok ni biasanya di tanam oleh masyarakat india di rumah mereka selain digunakan untuk bersembahyang, dibuat ubat juga dipercayai untuk membersihkan udara. Lain kali saya akan kongsikan cerita mengenai daun mambu ini ye..

10.30 pm:
Saya akan sambung kisah ni esok ye.. sekarang masa untuk beradu. Selepas makan ubat tadi, baby sudah kurang mengeras dan kembali aktif menendang seperti biasa.. Alhamdulillah... 


(Tidur beralaskan daun mambu)

Selamat malam....




Sunday 15 March 2015

KEK COKLAT KUKUS MOIST DALAM BEKAS PLASTIK

Assalammualaikum wbt 

Beberapa hari lepas mengidam pulak nak makan kek coklat. Bila en.suami suggest nak beli je rasa macam tekak ni tak nak terima pula. Mengada betul tekak mak yong ni kan... hahaha


Oleh kerana bahan membaking semua memang sedia ada di rumah, saya cuma beli coklat M&M paket kecik dan coklat cloud nine konon-konon nak tabur kat atasnya...

Masa beli barang-barang ni pun dah terasa-terasa keenakkan kek kukus yang moist di anak tekak. Namun, dek kemalasan yang melanda akhirnya bahan-bahan tersebut tersimpan seminggu. 

Semalam, saya gigihkan diri untuk membancuh bahan utamanya. Bila dah siap, sekali lagi dilanda kemalasan, akhirnya bahan utama saya simpan dalam peti sejuk.

Pagi tadi, si kakak sibuk bertanya semalam nampak mama dah siap masak kek, mana keknya?... aduhai anak.... Saya keluarkan bahan utama kek, panaskan sekejap, kemudian ayak bahan kering dan jerang air kukusan. 


Dalam tempoh tidak sampai sejam kek saya sudah pun terhidang. Bukan susah sebenarnya nak buat kek ni, perlukan kerajinan sahaja...hahaha...

Sekali lagi saya masih menggunakan resepi yang sama yang mana saya ambil dari Myresepi. Untuk resepi sila klik di sini .

Monday 9 February 2015

BIHUN SUP BEBOLA MUDAH

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera

Pernah tak uolls blur nak masak apa. Lebih-lebih lagi bila balik dari tempat kerja badan pulak terasa lunyai habis tapi nak makan kat luar tu terasa malas ya amat... Inilah yang selalu saya hadapi lebih-lebih lagi sejak berbadan dua sekali lagi ni.. Kadang-kadang stok barang basah penuh bertimbun dalam peti sejuk, tapi tak tahu nak masak apa yang senang dan cepat disediakan...


 

Di sini nak kongsikan satu resepi mudah sambil-sambil jeling drama slot akasia kat tv3 tu, dah tersedia hidangan makan malam yang mudah. Anak-anak pun suka makan hidangan begini sebab dah terbiasa agaknya dihidangkan dengan masakan begini di taska.. 


RESEPI BIHUN SUP BEBOLA
oleh: Che'gu mama


Bahan-bahan
  • 2 keping bihun (saya guna jenama faizah)
  • 2 ulas bawang putih - hiris
  • 2 biji bawang merah - hiris
  • 1 inci halia - ketuk dengan belakang pisau
  • 5 biji bebola daging - belah dua
  • 5 biji bebola ayam - belah dua
  • 5 biji bebola ikan - belah dua
  • 2 keping tauhu - belah dua digoreng sebentar dan dihiris nipis 
  • Sebatang celeri - potong kecil
  • setengah batang lobak merah - belah dua dan hiris
  • 4 keping cendawan tiram - dicarik-carik
  • seketul kiub ikan bilis
  • 1 sk serbuk lada sulah
  • garam secukup rasa
  • Dua sb minyak 
  • satu jug air

Cara-cara:
  1. Celur bihun hingga lembut, toskan.
  2. Pijarkan minyak, tumis hirisan bawang hingga naik bau. Kemudian masukkan air dan halia
  3. Apabila kuah mula mendidih, masukkan semua bebola, tauhu, lobak merah dan kiub ikan bilis. Biarkan sup mendidih lagi.
  4. Sebaik sahaja bebola mula mengembang, masukkan batang celeri. Tunggu seminit dua, rasakan kuah sup jika perlu tambah garam. Saya tak masukkan garam sebab dah cukup rasa.
  5. Akhir sekali masukkan cendawan dan serbuk lada sulah. Tutup api dan sedia dihidang. Tak perlu tunggu lama untuk masak cendawan ye nanti lodoh pulak cendawan kita tu. Sedia dihidang...


 

Boleh dihidangkan dengan taburan bawang goreng dan sambal kicap berdesing resepi di sini. tapi disebabkan saya tak ada stok jadi saya hanya taburkan sahaja hirisan cilipadi. Anak-anak pun makan bertambah-tambah.. gembira sungguh hati mak.... 

Kepada yang sudi selamat mencuba....

Tuesday 20 January 2015

TAUGEH GORENG SAMA UDANG

Assalamualaikum dan selamat sejahtera..




Salah satu hidangan sayur yang mudah disediakan. Bila nak masak sayur taugeh ni, kena pastikan semua bahan- bahan dah tersedia bagi memastikan taugeh rangup je bila dimakan. Krup krap krup krap ....

Taugeh goreng dengan udang
Oleh: che gu mama 

Bahan-bahan:

  • Semangkuk taugeh ( buang akar dan kepala hitamnya kemudian basuh dan toskan)
  • 7 ekor udang saiz xl (buang kulit, nak potong dua pun boleh)
  • Sebiji tauhu (potong tiga, digoreng sebentar kemudian hiris)
  • 4 batang daun kuchai dipotong 
  • Sebiji lada merah (hiris serong-serong)
  • Sebiji lada hijau (hiris serong-serong)
  • 2 biji bawang merah (hiris)
  • Seulas bawang putih (hiris)
  • 1/3 ketul kiub ikan bilis
  • Sesudu sos tiram
Cara-cara:
  1. Tumis bawang, bila dah naik bau masukkan kiub ikan bilis dan tauhu.
  2. Masukkan udang dan hirisan lada. Jangan masak lama-lama nanti udang keras 
  3. Masukkan taugeh dan sos tiram. Kacau rata. 
  4. Akhir sekali masukkan daun kuchai kacau rata tutup api dan terus angkat dari kuali. Sedia dihidang.
Tak perlu masukkan air sebab memang kita nak taugeh ni kekal rangup. Yang sudi selamat mencuba...




Thursday 8 January 2015

TUTORIAL MANIK BRACELET #1

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera..


Hari ni saya nak kongsikan sedikit ilmu manik. Saya taklah pandai sangat tapi melalui pemerhatian hasil kerja tangan sahabat-sahabat beaders di luar sana, jadi inilah hasilnya yang tak seberapa. 

Boleh dijadikan panduan untuk perkongsian ilmu. Sebenarnya untuk menghasilkan manik bracelet ini, ada banyak cara, terpulang pada kita untuk memilih cara yang paling mudah difahami dan senang buat.
Ok tak nak celoteh panjang-panjang..
 


Mula-mula kita perlukan kelengkapan menjahit macam yang kat atas ni.. haha seadanya jelah saya punya (sila jangan gelak). Saya guna :
  • pearl 5mm warna kelabu dan pink
  • manik jepun bulat warna light pink dan magenta
  • jarum manik
  • erasable pen
  • pembaris

Buat tiga garisan selebar 0.5 ++ setiap satu. Ukurlah dengan pembaris supaya dapat garisan yang sama lebar dan tidak bengkang bengkok. Tapi kalau dah pro tu tak perlulah gigih menggaris bagai begini..



Susupkan jarum. Matikan hujungnya. Masukkan tiga (3) biji manik jepun diikuti sebiji (1) pearl ke dalam jarum. Kemudian susupkan jarum ke bawah manik pearl. Keluarkan jarum dan susup melalui lubang pearl dan masukkan semula (3) biji manik jepun + (1) biji pearl. Ulang langkah ini sehingga habis satu garisan. Paham ke idok?..... 


Bila dah siap tiga baris jadi macam ni.. oh sebelum terlupa, jika baris pertama kita mula dengan (3) manik jepun + (1) pearl. Baris kedua kita mula dengan (1) pearl + (3) manik jepun. Baris ketiga (3) manik jepun + (1) pearl. 


Ohh terlupa lagi, hahaha... banyak termakan semut agaknya..untuk baris kedua, selepas siap jahit habis satu baris, kita amik (3) biji manik jepun dan susupkan sahaja ke dalam pearl sehingga habis satu baris. tengokla gambar kat atas tu ada 4 biji pula.. sila abaikan... bila dah siap, akan jadi macam dalam gambar di bawah ni...


Seterusnya, kita susupkan jarum pada manik jepun yang kedua pada baris pertama. Masukkan (3) biji manik jepun kemudian susupkan jarum ke dalam manik jepun yang kedua pada baris ke dua.Susup keluar jarum kemudian masukkan (3) biji manikjepun lagi dan susupm ke dalam manik jepun yang ke dua pada baris pertama. Ala.. macam Zig zag gitu...



Kita ulang pada baris ke tiga dengan proses yang sama seperti di atas. Nah... dah siap....

Selamat mencuba