Showing posts with label ala carte. Show all posts
Showing posts with label ala carte. Show all posts

Thursday, 17 April 2014

KUETIAU HAILAM SIMPLE

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera


Sejak akhir-akhir ni menu ala carte jadi pilihan. Banyak tugasan hakiki menunggu. Tapi jangan biarkan dapur kita tak berasap pula.

Bila masak ringkas-ringkas begini dan habis dimakan sebaik sahaja dihidangkan memang boleh mengubat rasa letih sepanjang hari. 

Ada dua sebab masakan kita masak licin tanpa meninggalkan sedikit baki. Pertama memang sedap. Kedua tengah lapar...hehehe..ini hanya teori saya ye...

Jom semak resepi mudah ala campak-campak je ni..


KUE TIOW HAILAM MUDAH
Oleh: Che'gu Mama

Bahan-bahan:
1/2 bungkus kue tiow kasar - dibasuh dan ditoskan
4 ekor sotong - di potong tiga setiap satu
10 ekor udang - saiz sederhana
5 ketul bebola daging - dibelah dua
sebatang fishcake - dihiris 
sepokok sawi hijau 
sebiji tomato - belah empat
2 ulas bawang putih - diketuk
2 biji telur
cendawan tiram
2 sb sos tiram
2 sb sos tomato
kicap masin secukupnya

Cara - cara:


  1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis bawang putih hingga naik bau.  
  2. Masukkan sos tiram. Sos tomato dan kicap masin secukupnya serta 2 mangkuk air. Apabila mendidih masukkan pula bebola daging,  fishcake,  udang dan sotong. Kacau rata. Kemudian masukkan pula batang sawi terlebih dahulu. 
  3. Pecahkan telur satu persatu. Tunggu sebentar sebelum di kacau rata. 
  4. Apabila udang dan sotong telah bertukar warna,  masukkan pula kue tiow, cendawan tiram, tomato dan daun sawi. 
  5. Siap untuk dihidangkan.. 
  6. Jika mahu lebih pedas bolehlah dimasukkan beberapa biji cili pada yang telah diketuk.  

Kepada yang sudi selamat mencuba .... ♡

Monday, 3 February 2014

MEE GORENG MAMAK

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera

 
Oleh kerana cuti sekolah sempena perayaan tahun baru cina ni masih berbaki dua hari lagi, saya memang tak ada plan nak kemana-mana. En.suami pun outstation lagi. Nampaknya menu ala carte jadi pilihan. Masak sekali untuk breakfast dan lunch. Senang kerja..

Memandangkan ada stok mee kuning dalam peti sejuk, jadi saya hanya masak mee goreng mamak untuk diri sendiri. Manakala anak-anak nak makan nasi putih dengan ayam goreng sahaja.

Resepi mee goreng mamak ni saya ambil dari buku 1 hari 1 resepi hasil tulisan cef Hanieliza. Kebanyakan resepi dalam buku tersebut telah saya  cuba. Alhamdulillah sedap dan yang penting ringkas dan In Syaa Allah menjadi. Jadi silalah beramai-ramai dapatkan buku tersebut di kedai-kedai buku berhampiran ye.. 

Tapi seperti biasa ada sahaja bahagian yang saya ubahsuai mengikut stok yang ada dalam peti ais..Jom kita lihat resepi mee goreng mamak yang ringkas ni. 

Mee Goreng Mamak
Sumber: Cef Hanieliza
Oleh: Che'gu Mama


Bahan-bahan:
1/2 kg mee kuning kasar. Dibasuh bersih dan toskan
5 sb lada kisar
3 ulas bawang putih ditumbuk
200 gm daging batang pinang dihiris nipis
2 sb serbuk kari daging - campur dengan sedikit air
3 pokok sawi
2 biji telur
sebatang cili merah- dihiris nipis
2 genggam taugeh - buang kepala dan akar. cuci bersih
2 keping tauhu - belah dua digoreng sebentar kemudian di potong sederhana nipis.
Garam secukup rasa
2 sb kicap masin.

Cara-cara:
  1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. 
  2. Goreng bawang putih hingga naik bau. Masukkan lada kisar hingga garing. 
  3. Kemudian masukkan pula serbuk kari. Api dikecilkan sedikit bagi mengelakkan pes hangit. 
  4. Apabila terbit minyak, masukkan pula daging batang pinang. Gaul dengan sudip dan biarkan sebentar hingga empuk.
  5.  Masukkan pula batang sawi dan tauhu. kacau rata. 
  6. Masukkan pula garam secukupnya dan kicap masin. 
  7. Kemudian masukkan pula mee kuning. kacau rata. Pecahkan telur ke dalam mee dan gaul sekali lagi.  
  8. Akhir sekali masukkan daun sawi, hirisan lada merah dan taugeh. Kacau rata-rata dan tutup api. Cukup sekadar sawi sedikit layu.

 

Angkat. Sedia untuk dihidangkan. Enak dimakan bersama hirisan timun, diperah sedikit limau kasturi dan sedikit sos cili. 
Kepada yang sudi selamat mencuba.. Selamat bercuti .. =)



Wednesday, 11 December 2013

NASI GORENG CILIPADI ALA WARUNG

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera

Pernah makan nasi goreng cili padi? Rasanya ini antara menu ala carte yang selalu kita order bila makan di luar. Betul tak? Kadang-kadang saya dapat hidangan yang sangat kena dengan anak tekak saya. kadang-kadang rasanya biasa-biasa sahaja. 

Jika di JB saya pernah makan nasi goreng cili padi  yang sedap di sebuah Medan Selera di Taman Tun Aminah dan satu lagi di Taman Universiti. Kedua-dua gerai ini menggunakan kombinasi resepi yang hanpir sama. Dan yang paling penting bahan tumisnya ditumbuk dengan lesung batu..=)


Rata-rata masakan di gerai-gerai lain memang tidak menetapi citarasa saya.  Manakan tidak,  kebanyakkan hanya membuat nasi goreng biasa dengan cili padi yang dipotong agak kasar. Jadi saya banyak kali try n error resepi ni supaya kena pada anak tekak saya. 

Alhamdulillah sewaktu saya bawa ke sekolah untuk kudapan, ramai  rakan-rakan yang memuji rasanya sama seperti masakan di warung..

Jom kita tengok resepi yang mudah ni. Manakala pilihan sayur terpulang kepada kita. Disebabkan waktu ni dalam esbok saya ada banyak stok sayur jadi saya telah masukkan beberapa jenis sayur. 

 
Nasi Goreng Cili padi
Oleh: Che'gu Mama 


Bahan-bahan:
  • 3 ulas bawang putih
  • 4 biji bawang merah
  • 6 biji cili padi (boleh tambah jika mahu lebih pedas)
  • sedikit ikan bilis (saya guna ikan bilis halus)
  • 1 inci belacan
  • 2 sb sos ikan
  • 3 batang kacang panjang dipotong pendek-pendek
  • sedikit lobak dipotong dua dan dihiris halus
  • 3 cawan nasi sejuk
  • 2 biji telur 
  • Garam secukup rasa
  • sedikit minyak untuk menumis
Cara-cara
1. Tumbuk bawang merah dan bawang putih. ketepikan kemudian, tumbuk pula cilipadi, ikan bilis dan belacan ketepikan.  
2. Masukkan sedikit minyak ke dalam kuali. Tumiskan bawang hingga naik bau. Kemudian masukkan pula cilipadi, ikan bilis dan belacan yang telah ditumbuk tadi. kacau hingga agak garing. Masukkan sayuran dan sos ikan. Pecahkan telur dan dibiarkan sebentar sebelum dikacau rata.
3. Masukkan pula nasi dan dikacau. sekiranya kurang masin masukkan secubit garam. Sedia untuk dihidang..
Enak dimakan bersama ayam goreng, telur goreng atau ikan bilis goreng..
Yang sudi selamat mencuba..

 

Thursday, 25 July 2013

MEE SUP BEBOLA DAGING MUDAH

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera

Makan apa hari ni? Bila kemalasan melanda jawabnya saya akan mengsms en.suami dan minta pandangan dia.Kira talian hayat la kan. 

Atas cadangan en.suami maka terhasillah mee sup bebola daging sebagai juadah iftar kami. Mudah penyediaanya. Sesuai la dengan situasi saya yang balik pada jam 5.50 petang setiap hari sepanjang bulan Ramadhan ni. 
 

Pun begitu saya sangat bersyukur kerana tak perlu menghadap kesesakkan lalulintas setiap kali pergi dan balik ke tempat kerja seperti rakan-rakan yang lain. Alhamdulillah kami dapat membeli rumah yang tak berapa besar namun cukup selesa yang mana jaraknya hanya 800meter ke sekolah di tempat saya mengajar. 

 

Hidangan ni memang sesuai dimasak tatkala kita dihambat waktu yang singkat. Yela bila balik keje ambil anak-anak kemudian nak siapkan juadah iftar pulak. Melayan kerenah anak-anak yang seharian ditinggalkan di taska..Aduh boleh terhangus masakan kita di dapur..

Saya seboleh-bolehnya berusaha untuk menyediakan juadah berbuka dengan mengurangkan pengaliran wang keluar di bazar ramadhan. Jika sesekali melangkah kaki ke sana pasti melayang RM30 dan yang pasti akan ada makanan yang di tong sampahkan. 

Biarlah masakan kita ringkas namun hasilnya dapat mengembirakan orang-orang yang kita sayang. Hmmm.. jom kita semak resepi mee sup bebola daging yang mudah ni. Saya guna bebola ready made je. Memang senang. Pastikan kita beli yang HALAL ye..

MEE SUP BEBOLA DAGING
Oleh: Che'gu Mama

Bahan-bahan(4 orang makan )
  • 1/2 kg mee kuning yang kasar di celur dengan air mendidih sekejap kemudian dibilas dengan air paip dan ditoskan boleh juga digantikan dengan bihun atau kue tiow]

Kuah Sup 

Bahan-bahan
  • 4 biji bawang merah - dihiris
  • 2 ulas bawang putih - dihiris 
  • seinci halia - diketuk sedikit
  • seinci lengkuas - diketuk sedikit 
  • rempah 4 sekawan
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 1 biji bunga lawang
  • 2 biji buah pelaga
  • 1/2 kg bebola daging
  • 1 keping fishcake - dihiris nipis
  • 1 ketul kiub ayam 
  • air secukupnya 
  • Garam secukup rasa 

Cara-cara
1. Panaskan sedikit minyak di dalam periuk. Tumiskan hirisan bawang bersama lengkuas dan halia.
2. Masukkan air. Kuantiti air bergantung ye.
3. Masukkan kiub ayam, bebola daging dan fishcake tunggu hingga kuah mendidih rasakan masin kuah. Tambah garam mengikut keperluan.
4.  Panaskan 2 sudu minyak di dalam kuali. Tumis rempah empat sekawan.  Masukkan ke dalam kuah sup bersama minyaknya sekali kacau sebentar dan tutup api. 
*Kenapa saya masukkan empat sekawan paling akhir? jawapannya bagi mengekalkan bau wangi bahan tersebut dalam kuah sup. Ini  emak saya yang ajar.


Sambal Kicap Berdesing
Bahan-bahan
  • 1/2 cawan cili padi kampung 
  • 5 sb bawang goreng yang di buat sendiri
  • Kicap masin
  • Kicap lemak manis

cara-cara
1.Kisar cili padi dan bawang goreng dengan menggunakan blender kering. 
2. Tuang bahan kisar dalam mangkuk dan campurkan dengan kicap masin dan kicap manis.
3. Imbangkan rasa masin, manis dan pedas.
* Boleh buat banyak-banyak dan simpan dalam esbok untuk digunakan lain kali. Selalunya akak buat sampai satu bekas botol kuih raya yang tutup merah tu kemudian simpan. Boleh tahan hingga 3 bulan. Untuk menjaga kualiti sambal kicap ni pastikan sudu yang digunakan untuk mencedok sambal bersih dan kering. Boleh dimakan bersama bubur lambuk, tempe goreng, pisang goreng, keledek goreng dan yang sewaktu dengannya. Tak larat nak taip semua. hu3..Pastikan kita gunakan bawang goreng yang dibuat sendiri ye. Harum je bau sambal kicap berdesing ni nanti.

Bahan sampingan
  • 2 keping tauhu dipotong dua kemudian di goreng sekejap
  • dua pokok daun sawi basuh bersih dan dipotong kemudian di celur sekejap
  • dua genggam taugeh buang akar juga dicelur sekejap
  • sedikit hirisan daun sup dan daun bawang  
  • bawang goreng secukupnya

Cara menghidang:
Isi mee dalam pinggan. Letakkan sayur sawi, tauhu dan taugeh kemudian tuangkan sup di atasnya. Akhir sekali taburkan bawang goreng yang dibuat sendiri serta sedikit hirisan daun sup/ daun bawang dan sambal kicap berdesing.

Sedap dimakan panas-panas.

 

Kepada yang sudi selamat mencuba..

Selamat berbuka puasa dan menjalani ibadah puasa dengan sabar..