Showing posts with label Sayur. Show all posts
Showing posts with label Sayur. Show all posts

Tuesday, 11 August 2015

Menu berpantang #11 sawi masak asam dengan tempe

Assalammualaikum dan selamat sejahtera.. 

Telah saya maklumkan sebelum-sebelum ni sepanjang tempoh berpantang kali ini memang saya paling suka juadah berasaskan asam jawa.

Kali ini saya masak bening sawi dengan tempe. Juadah penambah susu ibu ni sedap sekali dimakan bersama nasi panas-panas.

SAWI MASAK ASAM DENGAN TEMPE
oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
Seikat sawi hijau
Dua ulas bawang putih dihiris
Dua biji bawang merah dihiris
Seinci halia dihiris mancis
Sekeping tempe kampung belah dua dan hiris nipis
Semangkuk air asam jawa
Garam secukup rasa

Cara-cara:

  1. Masukkan bawang putih, bawang merah dan halia ke dalam periuk.
  2. Masukkan juga air asam jawa. Tunggu hingga kuah mendidih. 
  3. Masukkan pula tempe. Kacau rata. Kemudian masukkan Secubit garam.
  4. Akhir sekali masukkan sawi . Kacau rata dan tutup api. Sedia di makan. 
Kepada yang sudi selamat mencuba.. B-)

Saturday, 1 August 2015

Menu berpantang #7 bening sawi dengan tempe

Assalammualaikum dan selamat sejahtera

Hari ni saya kongsikan satu hidangan yang lazat juga sebagai milk booster atau penggalak susu bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi. Seperti yang kita ketahui sawi boleh menambahkan susu badan begitu juga dengan tempe, jadi memang sesuailah menu ini dimakan semasa dalam pantang.


Hidangan ini sangat mudah dan boleh di makan seisi keluarga. Makan dengan nasi panas-panas... Aduh enak sungguh... 

Bening sawi dengan tempe.
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
2 pokok sawi (dibersihkan dan potong ikut suka)
2 keping tempe kampung (potong dua kemudian potong dadu)
2 ulas bawang putih dihiris
2 biji bawang merah dihiris
10 ekor ikan bilis di bersihkan
1 cawan air
Secubit garam

Cara-cara:
1. Masukkan semua bahan kecuali sawi ke dalam periuk kemudian masak atas dapur. 
2. Apabila kuah mendidih masukkan sawi. Masukkan juga garam secukupnya. Kacau rata dan segera tutup api.

Masakan ini tak perlu dimasak lama nanti hilang zat zat yang terdapat pada sayur.   

Sedia dihidang. Kepada yang sudi selamat mencuba... 





Tuesday, 21 July 2015

Menu pantang #2 kerabu pegaga

Assalammualaikum dan selamat sejahtera.


Kadang-kadang kalau baby meragam dan kerja rumah banyak lagi yang tak terlangsai memang mak-mak dalam pantang ni makan apa yang termampu je disediakan. 

Kali ni saya nak kongsikan kerabu pegaga yang sangat ringkas. 

Kerabu pegaga
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:

Secekak pegaga dibersihkan dah dihiris
Sepotong ikan tenggiri bakar- ambil isi dan dilerai menggunakan garfu
Sebiji bawang merah ditumbuk
Seulas bawang putih ditumbuk
1/2 sk serbuk lada hitam

Cara-cara: 
1. Sangai bahan tumbuk bersama serbuk lada hitam. Gaulkan dengan isi ikan. Kemudian angkat.
2. Dalam mangkuk, satukan pegaga dengan bahan sangai tadi. 

Siap dimakan dengan nasi panas-panas. 
* resepi untuk sekali makan. 





Sunday, 19 July 2015

Menu pantang #1 ikan tenggiri bakar sama bening sawi putih

Assalammualaikum dan selamat sejahtera




Dalam masa berpantang ni saja nak kongsikan menu berpantang yang saya sediakan untuk diri sendiri. Maklum lah dah masuk anak ketiga ni kenalah berdikari.. 

Menu ni di makan tanpa jemu sepanjang minggu pertama pada waktu tengah hari dan petang termasuk pada hari raya Aidilfitri. Ooh.. sungguh sedih tapi saya tak terliur lagi dengan lauk pauk raya memandangkan emak telah menjamu saya dengan hidangan raya beberapa minggu sebelum saya bersalin. 

Alhamdulillah kali ini saya tidak cerewet dan sangat menikmati hidangan pantang tanpa banyak songeh. Sampaikan emak saya pula yang selalu menyoal kalau-kalau saya nak bertukar menu. 

Ikan bakar
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
1 potong ikan tenggiri 
Sedikit serbuk kunyit
Garam secukup rasa
Sedikit minyak zaiton 

Cara-cara: 

1. Lumur ikan dengan serbuk kunyit dan garam. 
2. Titiskan beberapa titik minyak zaiton . Bakar ikan dalam pemanggang ajaib selama 5 minit/ hingga masak.

Bening Sawi putih 
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
1 pokok sawi putih - bersihkan dan potong ikut suka
Sebiji bawang merah - dihiris
Seulas bawang putih - dihiris
1/4 kiub ikan bilis
1/2 cawan air
Sedikit minyak zaiton

Cara-cara:
1. Tuang sedikit minyak zaiton ke dalam kuali. Tumis bawang merah dan bawang putih. Kemudian masukkan kiub ikan bilis dan tuang air. 
2. Apabila kuah mendidih masukkan batang sawi. Kacau rata. Masukkan daun sawi kacau rata dan terus tutup api. 

Sedia dimakan dengan nasi panas-panas.. 




Tuesday, 20 January 2015

TAUGEH GORENG SAMA UDANG

Assalamualaikum dan selamat sejahtera..




Salah satu hidangan sayur yang mudah disediakan. Bila nak masak sayur taugeh ni, kena pastikan semua bahan- bahan dah tersedia bagi memastikan taugeh rangup je bila dimakan. Krup krap krup krap ....

Taugeh goreng dengan udang
Oleh: che gu mama 

Bahan-bahan:

  • Semangkuk taugeh ( buang akar dan kepala hitamnya kemudian basuh dan toskan)
  • 7 ekor udang saiz xl (buang kulit, nak potong dua pun boleh)
  • Sebiji tauhu (potong tiga, digoreng sebentar kemudian hiris)
  • 4 batang daun kuchai dipotong 
  • Sebiji lada merah (hiris serong-serong)
  • Sebiji lada hijau (hiris serong-serong)
  • 2 biji bawang merah (hiris)
  • Seulas bawang putih (hiris)
  • 1/3 ketul kiub ikan bilis
  • Sesudu sos tiram
Cara-cara:
  1. Tumis bawang, bila dah naik bau masukkan kiub ikan bilis dan tauhu.
  2. Masukkan udang dan hirisan lada. Jangan masak lama-lama nanti udang keras 
  3. Masukkan taugeh dan sos tiram. Kacau rata. 
  4. Akhir sekali masukkan daun kuchai kacau rata tutup api dan terus angkat dari kuali. Sedia dihidang.
Tak perlu masukkan air sebab memang kita nak taugeh ni kekal rangup. Yang sudi selamat mencuba...




Monday, 12 May 2014

AYAM GORENG KUNYIT SIMPLE

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera. 


Kali ni saya masak campak-campak aje. Badan lesu dan masih belum sihat. Namun perut en.suami perlu di isi. Begitu juga anak-anak. Jadi bila menghadapi situasi sebegini saya memang mengambil langkah mudah dengan memasak menu yang ringkas tapi lengkap nutrisinya.. ewahh.

Tak mau menulis panjang lebar batuk pun dah semakin menyesak dada ni. Aduhai... 

Jom kita semak resepi ayam goreng kunyit yang serba ringkas ni. 

AYAM GORENG KUNYIT SIMPLE 
oleh: Che'gu Mama

Bahan - bahan :
2 keping isi ayam bahagian dada - dihiris nipis
3 batang kacang panjang - dipotong pendek - pendek
1/3 lobak - buang kulit belah dua dan hiris nipis
1 labu bawang besar - belah 6
2 biji bawang merah - dihiris nipis
2 biji bawang putih - dihiris nipis
5 biji cili padi kampung - dihiris 
2 sb sos tiram
1 sb serbuk kunyit
1 sk garam 

Cara- cara :
1.  Lumur serbuk kunyit dan garam pada hirisan ayam tadi. Perap sebentar lebih kurang 15 minit.
2. Gorengkan perapan ayam tadi hingga separa masak. Tak perlu goreng hingga garing.
3. Angkat ayam tadi dan keluarkan sedikit minyak. Tumis bawang putih,  bawang merah dan bawang besar hingga layu.
4. Masukkan ayam tadi. Gaul rata. Kemudian masukkan sos tiram. 
5. Akhir sekali masukkan kacang panjang, hirisan cili padi dan lobak. Kacau hingga kacang nampak sedikit layu. Angkat dan sedia dihidang. 

Masakan begini juga sesuai dimasak untuk juadah sahur di bulan ramadhan nanti. Kepada yang sudi selamat mencuba ♡ ♡...... 


Thursday, 27 March 2014

SAYUR KELADI MASAK ASAM REBUS

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera 


Masih lagi dalam minggu cuti. Semalam saya baru sahaja balik dari rumah emak  di Muar. Walaupun kepulangan kami kali ini hanya dua hari satu malam, tetapi amat bermakna buat kami anak-beranak. Walaupun sibuk, kami tetap pulang menjenguk orang tua di kampung. 

Terpancar riak kegembiraan diwajah kedua-dua orang tua tersebut. Abah saya sudah pun berusia lewat 70an namun beliau masih kuat. Usai azan, dengan basikal kesayangannya, dia mengayuh laju menuju masjid yang terletak kira-kira 1km dari rumah kami. Lima kali sehari pasti akan ternampak kelibat beliau di kampung saya. Jika dia tak datang ke masjid untuk beberapa hari, pasti akan ada jemaah masjid yang datang ke rumah bertanya khabar. Abah tak akan culas ke masjid kecuali jika dia benar-benar tidak sihat ataupun melawat ke rumah anak-anak. 

Semalam, emak saya telah membekalkan kami dengan 3 batang  keladi berserta batangnya. Memang sesuai sangat dimasak rebus asam. Seumur hidup saya memang belum pernah saya menyiang mahupun memasak sayur kegemaran saya ni. Selalunya emaklah yang menyediakan untuk juadah kami sekeluarga. Sayur ini juga agak jarang untuk didapati di kedai-kedai makan. 


Kebiasaanya, lauk yang digandingkan dengan sayur keladi ini sama ada ayam goreng, ikan goreng, telur masin, telur dadar ataupun sambal belacan. Jika saya, cukup sekadar telur dadar sahaja. Oleh kerana saya menggunakan chili padi, jadi kuahnya sedikit pedas, justeru tak perlu lagi di buat sambal belacan. 

Baiklah mari kita semak resepi masakan kampung yang sihat dan digemari ramai ini. 



SAYUR KELADI MASAK REBUS ASAM
oleh: Che'gu Mama

Bahan-bahan:
3 batang keladi hitam (dikikis kulit luarnya. Potong 1/2 jengkal panjang. Basuh bersih, dan dicelur dalam kuali bersama-sama isinya. Masukkan juga 3 keping asam keping. apabila isinya sudah separuh empuk, angkat dan toskan. Lalukan air paip ke atas batang keladi yang telah dicelur tadi). Ketepikan.

Bahan kisar:
5 biji chili merah
6 biji cili padi merah - boleh kurangkan jika tak mahu pedas
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
Segenggam ikan bilis - dikopek, basuh bersih dan direndam sebentar.
1/2 inci belacan
1/2 inci kunyit hidup


1sk asam jawa extra
1 mangkuk air
Garam secukup rasa

Cara-cara:
  1. Masukkan bahan kisar bersama semangkuk air ke dalam periuk. Apabila mendidih, masukkan batang keladi bersama isinya serta garam secukupnya. Masukkan juga asam jawa extra. Kacau hingga mendidih sekali lagi.
  2. Tutup api dan sedia untuk dihidang. 
Jika ada yang suka kuahnya sedikit pekat, bolehlah direnih lama sedikit. Saya lebih gemar kuahnya yang cair begitu juga selera en.suami. Senang untuk kami menghirupnya nanti. 

Kepada yang sudi selamat mencuba. 

Wednesday, 29 January 2014

BENDI CELUR

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera


Pada suatu malam, tiba2 en.suami  bersuara "apa kata kita makan masakan yang sihat pulak lepas ni?"
Saya sengih je..sebab selalunya saya yang  bising orang tu size da bertambah. Dulu baju saiz M. Tapi sekarang...hmmmm...

Jadi bagi memenuhi permintaan en.suami maka saya masakla masakan yang ringkas tapi sihat.. bendi masak begini menjadi pilihan kami. Siap bole meratah gitu je.. memang sedap. Terima kasih pada kak besah atas perkongsian resepi-resepinya yang selalu kena dengan tekak saya.

Bendi celur
Sumber: kak besah
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan ( 3 org )

15 batang kacang bendi muda
6 biji cili api kampung dan 2 tangkai cili merah.
2 sudu makan udang kering - dibasuh, rendam ngn air panas 5 minit then tos kn.
1/2 biji bawang besar - dicincang.
3 sudu makan cuka
garam & gula secukup rasa.
sekeping asam gelugur/asam keping.

Cara-cara

  1. Panaskan setengah periuk air bersama asam keping & 1 sudu teh garam hingga mendidih. 
  2. Masukkan bendi, biar beberapa minit hingga bendi agak lembut. ikut suka masing2 lah ya, nak lembut betul atau separa.(masih rangup) pastu di tos kan. 
  3. Tumbuk cili2 & udang kering, pastu gaulkan bersama bawang cincang, cuka, garam & gula. suaikan rasanya.
  4.  Letakkan bendi dlm pinggan, curahkan sambal ke atasnya.. siap!... senang kan..

Kepada yang sudi selamat mencuba ye... meh cuci mata sekali lagi..


Thursday, 16 January 2014

KACANG BUNCIS GORENG DENGAN TEMPE

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera

Orang jawa memang tak dapat dipisahkan dengan tempe. kui3.. En.suami saya peminat kacang buncis manakala pn.isterinya pula peminat tegar tempe. Jadi terpaksalah di campurkan kedua-dua ramuan ni sebagai pelengkap anak tekak masing-masing.

saya memang suka masak begini dan kadang-kadang sampai meratah sayur aje. Macam2 ada. Sayur ada lauk pun ada. 


Oke jom kita semak resepi sayur buncis yang menjadi kegemaran kami sekeluarga. 

Kacang buncis goreng dengan tempe
Oleh: che'gu mama 

Bahan-bahan
Secekak kacang buncis disiang bersih2 dan dipotong ikut suka
Sekeping tempe daun dipotong kiub dan digoreng sekejap
Sekeping tauhu juga diporong kiub dan digoreng sekejap
3 ulas bawang kecil dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
Sebiji lada merah dihiris serong - serong
Sebiji lada hijau dihiris serong - serong
1 sb sos tiram 
Garam secukup rasa

* saya ada menambah seketul hati ayam yang telah digoreng dan dipotong kecil-kecil.


Cara - cara :
1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali.  Tumis bawang putih dan bawang kecil hingga naik bau.  
2. Masukkan tempe, tauhu dan hati serta sos tiram. Kacau rata. 
3. Masukkan kacang buncis bersama lada serta secubit garam. Gaul sampai sebati. 
4. Seelok2nya kacang jangan terlalu layu. Boleh tutup api dan sedia untuk dihidang. 

Sebenarnya memang tak elok makan organ dalaman. Tapi disebabkan dah lama tak makan dan kebetulan sewaktu en.suami membeli ayam ada pulak yang dalam2 tu jadi saya masukkan juga seketul hati ayam yang digoreng terlebih dahulu. Kalau saya yang membeli ayam memang organ dalaman, kepala, kaki, tongkeng, leher hatta kulit pun saya tak ambil..

Kepada yang sudi selamat mencuba.....


Saturday, 7 December 2013

KACANG PANJANG GORENG BERTELUR

Assalammualaikum  wbt dan selamat sejahtera

Hari ni resepi simple je yang penting sedap. 
(Introduction pun ringkas je..hua3)


Kacang panjang bertelur
Oleh: che'gu mama 

Bahan-bahan (2-3 orang)
  • 5 batang sayur kacang panjang dibasuh bersih dan dipotong ikut suka. Saya patahkan je dengan tangan.
  • *3 biji bawang kecil
  • *2 ulas bawang putih
  • *10 ekor ikan bilis siap kopek dan dibasuh (*ditumbuk)
  • 2sb cili kisar
  • 1 biji telur
  • Garam secukup rasa

Cara-cara
1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali 
2. Tumis bahan tumbuk hingga naik bau. 
3. Masukkan cili kisar.  Kacau sampai terbit  minyak
4. Pecahkan telur dan biarkan sebentar. Jangan dikacau terus nanti tekstur telur tak cantik. 
5. Akhir sekali masukkan kacang dan gaul rata. Tambah garam secukup rasa.  Tak perlu lama sangat nanti sayur jadi layu. 
Saya suka makan sayur yang masih rangup. Krup krap je masa mengunyah..

Sekejap je tempoh masak sayur macam ni..kurang 15 minit dah siap. sesuai untuk mama-mama bekerja macam saya..jadi tak ada alasan untuk tidak memasak. Huhuhu... peringatan ini untuk diri saya juga..

Kepada yang sudi selamat mencuba....

Thursday, 15 August 2013

SAMBAL TEMPOYAK

Assalammualaikum w.b.t dan selamat sejahtera

Bersiaran lagi hari ni..bila cuti sekolah dapatla saya menulis beberapa n3. Kalau tak, harapan tinggal harapan jela.. Hari ni saya masak very the simple...(sila baca stail abby fana)keh..keh keh..maklumla en.suami outstation lagi..masak ape yang anak-anak dan mak budak boleh makan..kalau en.suami ada kenalah ikut selera dia.

Apa-apapun terima kasih untuk bonda tercinta sbb buatkan tempoyak untuk saya sempena cuti raya ni..dalam keluarga saya cuma tiga orang je yang berselera mengadap tempoyak ni..yang lain2 stok tutup hidung punyalah..

Saya pun mula2 belajar makan tempoyak semasa belajar di shah alam dulu. Makan kat seksyen 2. Amik nasi , ikan keli bakar dengan sambal tempoyak dan sedikit ulam..wallahh!!!!..dulu amik lauk macam ni baru RM3. Sekarang saya tak taula berapa ke reganya..rindu pulak zaman belajar di shah alam..kalau poket tengah kering gamaknya makan jela nasi lemak pagi sampai ke malam. Punyala banyak nasinya tapi baru rm1.20 nyum..nyum...

Dapat pulak nasi panas2kan..memang mantop..tapi hari ni saya makan tengah hari berlaukkan ayam goreng dan sayur sup kentang. Betul tak saya tulis tadi simple je. Bak kata orang tempat saya masak cemplong2 aje..Anak-anak pun boleh makan skali. Meh tengok resepi sambal tempoyak dan sup kentang ni.

Nota kaki: (Sila ambil perhatian ye saya masak ni untuk sorang makan. Boleh didouble atau ditriple kan kalau nak makan seisi keluarga).




Resepi sambal tempoyak (mentah)
Oleh: Che'gu Mama
Bahan-bahan:
  • 10 biji cili padi kampung (campur merah/hijau)  
  • 20 ekor ikan bilis ( buang kepala dan perut) rendam sekejap
  • 3 sb tempoyak 
  • Garam / gula secukupnya

Cara2:
1) Tumbuk cili padi dan ikan bilis. Masukkan bahan tumbuk dalam bekas kemudian campurkan  tempoyak. Gaul sampai sebati. Tambah garam / gula ikut citarasa tekak memasing ye..dah siap. Senang  je kan.. 


Sekarang tengok pula resepi sup kentang yang cemplong-cemplong je ni..



Resepi sup kentang 
Oleh :Che'gu Mama
Bahan-bahan:
  • 2 biji kentang saiz sederhana (potong lapan)
  • Sebiji bawang kecik -hiris nipis 
  • Seulas bawang putih -hiris nipis 
  • Sedikit soon, tauhu kering -direndam sekejap
  • 1/2 buku kiub ayam/ikan bilis 
  • Semangkuk air 
  • Sesudu minyak 


Cara2:
1) Tumis bebawang sampai naik bau. Masukkan air dan kiub ikan bilis.
2) Masukkan kentang. Renehkan sup sampai kentang  agak empuk. Boleh  tambah air kalau kuah tinggal sedikit. 
3) Akhir sekali masukkan soon dan tauhu kering. Kacau2 kebih kurang dan terus tutup  api. 
4) Masakan ni saya tak letak garam sbb kiub ikan bilis pun da masin. 

Nota kaki : boleh juga diletakkan kincam yang telah direndam dulu . Jangan masukkan air kincam nanti dikhuatiri akan menyebabkan kuah sup agak pahit. Nak tambah fish ball pun boleh. Nak campur telur pun boleh. Campak2 jek..

Yang sudi selamat mencuba....