Showing posts with label sambal. Show all posts
Showing posts with label sambal. Show all posts

Monday, 1 June 2015

RESEPI APAM GORENG MUDAH PASTI JADI !!

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera..

 

Tajuk entry tak menahan... hahaha...
Ni hidagan pagi tadi sebagai sarapan. Memang sedap dan yang penting kenyang.. Lembut sampai ke tengah hari. Anak-anak pun suka makan. Memang tak rugi mencuba..Saya cicah dengan sambal tumis ikan bilis. Apa-apa kuah pun boleh dimakan bersama sebab rasanya tak manis, tak tawar dan tak masin.. Haaa macam mana tu.. kenela cuba sendiri. Untuk satu adunan ni saya dapat 5 keping. Jika keluarga besar, bolehlah digandakan resepinya...


Resepi ni saya kongsikan daripada buku 101 Resepi Pengikat Kasih Mertua karya Chef NorZailina Nordin. Banyak resepi yang sedap-sedap didalamnya. Harga sebuah buku hanyalah RM29.90 sahaja. Jika anda pemegang kad popular, bolehlah dapat 10% diskaun.. berbaloi-baloi...Tak rugi membelinya... 


APAM GORENG 
oleh: Chef Norzailina Nordin 
daripada buku "101 Resepi Pengikat Kasih Mertua"

Bahan-bahan A :
  • 1 1/2  ( 185 g) Tepung gandum 
  • 1 sudu besar Gula Halus
  • 1 1/4 cawan (330ml) air
  • Garam secukup rasa
  • Minyak untuk melengser (saya guna minyak zaiton)
 Bahan-bahan B:
  • 1 1/4 sudu teh yis segera (mauripan)
  • 1/2 sudu teh gula halus
  • 1/4 cawan (60ml) air suam
Cara-cara:
  1. Adunan Yis: Larutkan gula dengan air suam kemudian taburkan yis. Ketepikan selama 10 minit supaya berbuih.
  2. Letak tepung ke dalam mangkuk, campurkan gula, garam dan adunan yis. Kemudian masukkan air. 
  3. Kacau rata menggunakan hand wisk dan biarkan selama 15 minit. (saya tutup adunan )
  4. Panaskan kuali, lengserkan sedikit minyak.
  5. Ambil sesenduk adunan dan tuangkan ke atas kuali. Apabila permukaan berbuih dan mulai kering, terbalikkan.
  6. Masak di atas api perlahan hingga perang keemasan..


Nah... sedia dihidangkan bersama sambal tumis atau kuah kari atau kuah asam pedas... memang sedap.....

kepada yang sudi selamat mencuba....



Monday, 9 February 2015

BIHUN SUP BEBOLA MUDAH

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera

Pernah tak uolls blur nak masak apa. Lebih-lebih lagi bila balik dari tempat kerja badan pulak terasa lunyai habis tapi nak makan kat luar tu terasa malas ya amat... Inilah yang selalu saya hadapi lebih-lebih lagi sejak berbadan dua sekali lagi ni.. Kadang-kadang stok barang basah penuh bertimbun dalam peti sejuk, tapi tak tahu nak masak apa yang senang dan cepat disediakan...


 

Di sini nak kongsikan satu resepi mudah sambil-sambil jeling drama slot akasia kat tv3 tu, dah tersedia hidangan makan malam yang mudah. Anak-anak pun suka makan hidangan begini sebab dah terbiasa agaknya dihidangkan dengan masakan begini di taska.. 


RESEPI BIHUN SUP BEBOLA
oleh: Che'gu mama


Bahan-bahan
  • 2 keping bihun (saya guna jenama faizah)
  • 2 ulas bawang putih - hiris
  • 2 biji bawang merah - hiris
  • 1 inci halia - ketuk dengan belakang pisau
  • 5 biji bebola daging - belah dua
  • 5 biji bebola ayam - belah dua
  • 5 biji bebola ikan - belah dua
  • 2 keping tauhu - belah dua digoreng sebentar dan dihiris nipis 
  • Sebatang celeri - potong kecil
  • setengah batang lobak merah - belah dua dan hiris
  • 4 keping cendawan tiram - dicarik-carik
  • seketul kiub ikan bilis
  • 1 sk serbuk lada sulah
  • garam secukup rasa
  • Dua sb minyak 
  • satu jug air

Cara-cara:
  1. Celur bihun hingga lembut, toskan.
  2. Pijarkan minyak, tumis hirisan bawang hingga naik bau. Kemudian masukkan air dan halia
  3. Apabila kuah mula mendidih, masukkan semua bebola, tauhu, lobak merah dan kiub ikan bilis. Biarkan sup mendidih lagi.
  4. Sebaik sahaja bebola mula mengembang, masukkan batang celeri. Tunggu seminit dua, rasakan kuah sup jika perlu tambah garam. Saya tak masukkan garam sebab dah cukup rasa.
  5. Akhir sekali masukkan cendawan dan serbuk lada sulah. Tutup api dan sedia dihidang. Tak perlu tunggu lama untuk masak cendawan ye nanti lodoh pulak cendawan kita tu. Sedia dihidang...


 

Boleh dihidangkan dengan taburan bawang goreng dan sambal kicap berdesing resepi di sini. tapi disebabkan saya tak ada stok jadi saya hanya taburkan sahaja hirisan cilipadi. Anak-anak pun makan bertambah-tambah.. gembira sungguh hati mak.... 

Kepada yang sudi selamat mencuba....

Wednesday, 16 July 2014

SAMBAL LADA POTONG

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera.



Jumpa lagi. Walaupun teratak ni tak seberapa masih ada pengunjungnya. Jadi selagi termampu saya cuba berkongsi ilmu yang tak seberapa ni. Ecece...

Dah bosan dengan hidangan berlemak, berempah? Nah.. kali ni saya kongsikan resepi tahap pejam mata sahaja. Sesuai untuk dijadikan juadah bersahur. Nak dihidang bersama bubur juga bole.. 



SAMBAL LADA POTONG
oleh: Che'gu Mama

Bahan - bahan :
4 biji lada hijau - dihiris bulat2
4 biji lada merah - dihiris bulat2
10 biji cili padi kampung - dihiris nipis
1 labu bawang besar - dihiris
3 biji bawang putih - dihiris 
Segenggam ikan bilis - digoreng garing
Sebuku lobak merah - dihiris mancis nipis*optional
Sebuku timun - buang biji dihiris mancis * optional
Secubit belacan
1/2 sb sos ikan 

Cara - cara :
1.  Goreng ikan bilis hingga garing.  Ketepikan.  
2. Tumis bawang putih dan bawang besar hingga naik bau.  Masukkan belacan dan hirisan lobak merah. Gaul rata.
3. Masukkan hirisan cili padi dan cili. Kacau rata. 
4. Akhir sekali masukkan ikan bilis yang telah digoreng tadi bersama sos ikan.  Kacau rata.
5. Tutup api dan sedia untuk dihidang. 

Makan dengan nasi panas - panas memang sedap. Saya tak masukkan timun sebab tak ada stok. 

Kepada yang sudi selamat mencuba... ♡♡

Monday, 28 April 2014

SAMBAL TEMPOYAK STYLE PAHANG

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera. 




Baru-baru ni kami ada buat potluck di sekolah. Adalah seorang cikgu tu bawa sambal tempoyak yang harum dan sedap baunya. Saya tak sempat merasa waktu tu. Konon-konon kekenyangan menjamah hidangan yang lain.  

Tapi, bila dah tiba di rumah saya terkenang-kenang pulak sambal yang belum pernah saya rasa sebelum ni.  Justeru dengan muka tak berapa nak malu ni saya merisikla resepi sambal tempoyak stail orang pahang ni. Yelah yang empunya resepi pun memang orang pahang.  Jazakillah ku khairan Cikgu Rozita atas perkongsian resepi ini..

SAMBAL TEMPOYAK STAIL PAHANG
Sumber: cikgu Rozita 
Oleh: che'gu mama

Bahan - bahan( untuk 3 orang makan )
Segenggam ikan bilis - kopek, bersihkan dan digoreng garing.
Segenggam cili padi kampung - tumbuk halus
3 sb tempoyak segar
1 biji bawang besar diracik 
Garam dan gula secukupnya

Cara - cara :



1. Tumis lada hingga betul-betul masak. 
2. Masukkan bawang besar tadi. Kacau rata. 
3.  Kemudian masukkan pula tempoyak. Gaul sampai sebati. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. 
4. Akhir sekali masukkan ikan bilis yang telah digoreng tadi.  Kacau rata.  Tutup api. 

Sedia dimakan dengan nasi panas-panas dan ulam-ulaman kampung. Mesti bertambah tambah..kepada yang sudi selamat mencuba ♡



Thursday, 6 March 2014

NASI AYAM PENYET yang YUMMYLICIOUS♡♡

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera..

 

Selamat bertemu kembali pembaca di alam maya.. agak lama saya menyepi. Keadaan kesihatan saya kurang mengizinkan untuk berceloteh di ruang ini. Dengan ditambah lagi kesihatan anak-anak yang agak terganggu disebabkan perubahan cuaca yang tidak menentu kini. Nasihat saya untuk diri sendiri juga, agar perbanyakkan meminum air masak kosong, kurangkan aktiviti luar dan hindari stress..

Hehehe dalam tiga tips yang saya kongsikan di atas tu cuma satu je yang saya rasa relevan dengan saya, iaitu minum air masak, yang lagi dua tu memang tak dapatlah saya ikut..maklumlah tugas hakiki saya menuntut agar terlibat dengan aktiviti luar setiap hari ditambah dengan bebanan tugasan yang kian mencabar saban hari..
Cuma saya ada cara untuk ubati  diri tatkala stress menghampiri. Saya akan sibukkan diri ke dapur atau berulit dengan manik-manik kesayangan saya tu. Kalau dilayan stress tu nanti ada yang kena stroke pulak..

ok kali ni saya nak share satu hidangan yang sangat enak dan kena dengan anak tekak kami sekeluarga. Saya copy and paste resepi ni daripada blog cik Amie. Tapi seperti biasa memang ada bahan-bahan yang saya tokok tambah mengikut citarasa sendiri. 
Yang pasti memang sedap resepi nasi ayam penyet ni. Anak-anak pun meratah ayam penyetnya begitu sahaja. Mari kita lihat resepi nasi ayam penyet yang thorrrbaikkk!! ni

NASI AYAM PENYET
Oleh: Che'gu Mama

AYAM PENYET 

Bahan:
3 keping daging ayam bahagian peha (saya letak 8 ketul ayam)
4 cawan air kelapa
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis`
1 sudu makan ketumbar biji ( Saya tak letak sebab tak ada stok)
1 batang serai
2cm lengkuas
2cm halia
2cm kunyit hidup



Cara:

1. Masukkan kesemua bahan di atas ke dalam periuk.
2. Didihkan dengan api sederhana sehingga ayam separuh masak.
3. Toskan daging ayam.
4. Tekan / penyetkan daging ayam - Amie gunakan permukaan parang 
    belitung  sehingga tulang ayam kedengaran patah.(Saya tak buat)
5. Panggang daging ayam sehingga masak. (Saya goreng je ayam yang telah 
    ditos)
 
 

Sambal ulek ni memang sedap sangat. Bila masuk sahaja ke dalam mulut, saya dapat membayangkan saat menikmati ubi mentega rebus panas-panas dicicah dengan sambal yang sedap ni.. walllah... Lain kali saya akan buat sambal ulek ini untuk dimakan dengan ubi rebus. Nampaknya kenalah pergi cari di pasar nanti...
 
SAMBAL ULEK

Bahan:
1 genggam cili padi - kalau takut pedas gunakanlah dalam kuantiti yang sedikit (tengok pada saiz genggaman masing2 ye..)
3cm belacan
7 biji bawang merah - hiris kasar
2 biji tomato - belah 8
minyak
garam / gula / perasa pilihan
2 sudu besar ikan bilis - Saya tambah 
3 biji lada merah - Saya tambah

Cara:
1. Goreng kesemua bahan di atas kecuali garam / gula / perasa pilihan.
2. Untuk hasil yang lebih memuaskan gunakan lesung 'ulek', tapi kalau tak 
    ada memadailah gunakan lesung batu macam Amie gunakan. (saya bedal 
    guna blender je. Tapi tekan kejap-kejap je. Supaya tekstur sambal tak 
    terlalu halus)
3. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.



TAUHU / TEMPE 
Bahan-bahan:
4 keping tauhu di potong tiga segi
sebungkus tempe FAMA di belah dua kemudian di potong sederhana lebar

cara-cara:
  1. Saya tak ikut cara Amie. Saya cuma rebus tempe dan tauhu ke dalam air rebusan ayam tadi selama lebih kurang 5 minit kemudian  toskan. Sejukkan sebentar sebelum di goreng selama beberapa minit sehingga nampak keperang-perangan.

Saya letak sahaja sayur yang ada dalam peti ais. Biasanya di kedai dihidangkan bersama kobis dan timun sahaja. Juga tak ketinggalan limau kasturi. 


ULAM-ULAMAN
Bahan-bahan
3 batang kacang panjang- dibasuh kemudian dipotong sederhana panjang.
1/2 batang timun - dibasuh, buang bahagian tengah kemudian dipotong mancis
5 biji bendi - dicelur sekejap dengan sedikit garam dan ditoskan.
1/3 buku kobis - dibasuh dan dihiris kasar-kasar. 


Dah siap semuanya bolehlah dihidangkan bersama nasi panas-panas. Kalau diperhatikan nasi saya tu semacam ada biji-biji berwarna coklat. Harap maklum yang itu ialah OATS FOR RICE. Sekarang ni memang dah jadi santapan kami hari-hari. 


Setiap kali beli oats yang biasa tu sampai tarikh luput tak jalan-jalan juga. Jadi untuk kali ni saya tukar strategi pula dengan memasukkan oats ke dalam nasi. Jadi hari-hari kita akan makan oats tanpa culas.....yehooo misi berjaya. 

Hidangan lazat ni memang kena sangat dengan selera saya. Tambahan buat masa ini saya memang tak lalu nak makan masakan yang berlemak. Alhamdulillah terima kasih buat Amie kerana berkongsi resepi nasi ayam penyet ni dan telah selamat menjadi santapan saya dan anak-anak tengah hari tadi..


Eh..tidak bekerjakah saya hari ni? Sebenarnya saya masih dalam cuti sakit. Kali ni menjaga anak-anak pula yang masih belum sihat sepenuhnya. Memang dugaan kan bila menjaga anak-anak kecil yang tidak sihat. Semoga Allah menyembuhkan penyakit kami anak beranak dan kembali sihat seperti sediakala..Walaupun kurang sihat, dapurku tetap berasap....

kepada yang sudi, selamat mencuba.....



Tuesday, 4 February 2014

SAMBAL KICAP BERDESING

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera

  
Sambal kicap memang sentiasa ada dalam peti sejuk saya. saya ni terikut-ikut dengan cara emak. Kalau di kampung, memang sambal ni macam sos. Mesti ada. Mana taknya abah  tanam keladi dan pisang sekeliling rumah. Setiap kali abah menuai hasilnya memang banyak. Kami memang dah terbiasa bersarapan keladi goreng atau pisang goreng sejak dari kecil-kecil lagi. 

Dulu saya memang tak suka sangat makan keladi ni. Maklumlah dah selalu sangat makan. Sekarang ni memang rindu nak makan keladi goreng yang ditanam abah dan menikmati juada gorengan hasil air tangan emak. Justeru, bila nak masak sendiri, kenalah  siapkan sambal ni awal-awal. Bila nak makan, ambil sahaja dari peti sejuk.

Orang Johor makan pisang goreng,keledek goreng dan sukun goreng dengan sambal kicap tau. Bukan setakat tu, bubur lambuk pun mesti nak ada sambal ni. Makan mee/ bihun sup juga nak ada sambal ni. Jadi memang tak rugilah kalau kita buat banyak-banyak dan simpan dalam peti sejuk.

Banyak lagi kegunaannya. Jika nak buat kuah rojak, hanya tumbuk kan kacang tanah yang telah di goreng bersama sedikit belacan bakar kemudian digaulkan sekali dengan sambal kicap ni. 

Resepi saya ni memang tak campur dengan limau kasturi. Ditempat  kami limau kasturi di panggil limau sambal. Jika suka, boleh diperah sedikit jus limau ni. Jom kita semak resepi sambal kicap berdesing ni. 

Sambal Kicap Berdesing
Oleh: Che'gu Mama

Bahan-bahan :
semangkuk cili padi 
1/2 mangkuk kecil bawang goreng yang digoreng sendiri
kicap manis secukupnya
kicap masin secukupnya

Cara-cara:
1. Bersihkan cilipadi. Buang tangkai separuh bahagian  sahaja. (petua orang tua-tua bagi mengelakkan sakit perut akibat makan cili) 
2. Blender cili dan bawang goreng dengan blender kering hingga lumat.
3. Tuang bahan yang telah diblender ke dalam bekas. 
4. Tuangkan kicap manis diikuti kicap masin. Rasakan mengikut citarasa. Sesiapa yang suka manis-manis pedas, lebihkan kicap manis.


Tutup bekas kedap udara daan simpan dalam peti sejuk. Tahan hingga tiga bulan. Jika tidak mahu cepat rosak, pastikan sudu yang kita gunakan setiap kali hendak mengambil sambal kicap dari bekas simpanan dalam keadaan kering dan bersih. Ini petua emak saya.

Harus diingat, jika nak makan, kena beringat-beringat ye. Memang berdesing telinga disebabkan kepedasannya..

Selamat mencuba..

Friday, 6 December 2013

SAMBAL BILIS TAUCU BERAPI

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera

Makan apa hari ni?. Saya seperti biasa akan kongsikan resepi yang ringkas dan mudah serta sesuai untuk dibawa sebagai bekal ke tempat kerja.

Apapun alasannya..pastikan diri kita rajin dan pandai menguruskan masa..ekeke. Saya pun kadang-kadang ke laut juga...(tutup muka dengan buku)

Meh sini tengok resepi campak-campak yang yummylicious ni...


Sambal bilis bertaucu 
Oleh: che'gu mama

Bahan - bahan
  • Segenggam ikan bilis yang sudah siap dibersihkan dan dibelah dua
  • Sebatang cili merah* 
  • Sebatang cili hijau*
  • 8-10 biji cili padi kampung* 
  • * dihiris serong-serong
  • Sebiji  bawang besar (dipotong bulat-bulat)
  • Seinci halia dihiris nipis 
  • Dua ulas bawang putih dihiris 
  • 3 biji bawang kecil dihiris
  • 3 sb taucu masin 
  • 1sk asam jawa extra
  • 1/2 cawan air 
  • Gula secukup rasa 

Cara - cara
1. Panaskan sesenduk minyak di dalam kuali.  
2. Goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan ketepikan.
3. Keluarkan minyak dan tinggalkan sedikit untuk menumis.
4. Tumis bawang kecil, bawang putih dan halia hingga naik bau. Masukkan sedikit air. Biar mendidih dan terbit minyak. 
5. Kemudian masukkan pula cili,  bawang besar dan taucu.  Kacau hingga bawang sedikit layu. 
6. Akhir sekali masukkan sedikit gula. Ikan bilis yang telah digoreng tadi. Kacau lebih kurang dan boleh tutup api.

Tak perlu letak garam sebab taucu pun dah masin. Letak gula untuk menyeimbangkan rasa.

Sedap dimakan dengan nasi putih panas-panas ataupun bubur nasi. Kadang-kadang kami makan dengan ubi rebus..wallah...

Kepada yang sudi selamat mencuba.



Thursday, 15 August 2013

SAMBAL TEMPOYAK

Assalammualaikum w.b.t dan selamat sejahtera

Bersiaran lagi hari ni..bila cuti sekolah dapatla saya menulis beberapa n3. Kalau tak, harapan tinggal harapan jela.. Hari ni saya masak very the simple...(sila baca stail abby fana)keh..keh keh..maklumla en.suami outstation lagi..masak ape yang anak-anak dan mak budak boleh makan..kalau en.suami ada kenalah ikut selera dia.

Apa-apapun terima kasih untuk bonda tercinta sbb buatkan tempoyak untuk saya sempena cuti raya ni..dalam keluarga saya cuma tiga orang je yang berselera mengadap tempoyak ni..yang lain2 stok tutup hidung punyalah..

Saya pun mula2 belajar makan tempoyak semasa belajar di shah alam dulu. Makan kat seksyen 2. Amik nasi , ikan keli bakar dengan sambal tempoyak dan sedikit ulam..wallahh!!!!..dulu amik lauk macam ni baru RM3. Sekarang saya tak taula berapa ke reganya..rindu pulak zaman belajar di shah alam..kalau poket tengah kering gamaknya makan jela nasi lemak pagi sampai ke malam. Punyala banyak nasinya tapi baru rm1.20 nyum..nyum...

Dapat pulak nasi panas2kan..memang mantop..tapi hari ni saya makan tengah hari berlaukkan ayam goreng dan sayur sup kentang. Betul tak saya tulis tadi simple je. Bak kata orang tempat saya masak cemplong2 aje..Anak-anak pun boleh makan skali. Meh tengok resepi sambal tempoyak dan sup kentang ni.

Nota kaki: (Sila ambil perhatian ye saya masak ni untuk sorang makan. Boleh didouble atau ditriple kan kalau nak makan seisi keluarga).




Resepi sambal tempoyak (mentah)
Oleh: Che'gu Mama
Bahan-bahan:
  • 10 biji cili padi kampung (campur merah/hijau)  
  • 20 ekor ikan bilis ( buang kepala dan perut) rendam sekejap
  • 3 sb tempoyak 
  • Garam / gula secukupnya

Cara2:
1) Tumbuk cili padi dan ikan bilis. Masukkan bahan tumbuk dalam bekas kemudian campurkan  tempoyak. Gaul sampai sebati. Tambah garam / gula ikut citarasa tekak memasing ye..dah siap. Senang  je kan.. 


Sekarang tengok pula resepi sup kentang yang cemplong-cemplong je ni..



Resepi sup kentang 
Oleh :Che'gu Mama
Bahan-bahan:
  • 2 biji kentang saiz sederhana (potong lapan)
  • Sebiji bawang kecik -hiris nipis 
  • Seulas bawang putih -hiris nipis 
  • Sedikit soon, tauhu kering -direndam sekejap
  • 1/2 buku kiub ayam/ikan bilis 
  • Semangkuk air 
  • Sesudu minyak 


Cara2:
1) Tumis bebawang sampai naik bau. Masukkan air dan kiub ikan bilis.
2) Masukkan kentang. Renehkan sup sampai kentang  agak empuk. Boleh  tambah air kalau kuah tinggal sedikit. 
3) Akhir sekali masukkan soon dan tauhu kering. Kacau2 kebih kurang dan terus tutup  api. 
4) Masakan ni saya tak letak garam sbb kiub ikan bilis pun da masin. 

Nota kaki : boleh juga diletakkan kincam yang telah direndam dulu . Jangan masukkan air kincam nanti dikhuatiri akan menyebabkan kuah sup agak pahit. Nak tambah fish ball pun boleh. Nak campur telur pun boleh. Campak2 jek..

Yang sudi selamat mencuba....