Showing posts with label Ayam. Show all posts
Showing posts with label Ayam. Show all posts

Saturday, 15 August 2015

Menu berpantang #12 ayam kukus halia

Assalammualaikum dan selamat sejahtera. 


Hari ni saya kongsikan satu lagi resepi mudah untuk ibu-ibu dalam pantang. Kalau yang tak berpantang pun boleh masak jugak.. terutama bagi yang sedang berdiet hihihihi

Menu simple sesuai sangat untuk ibu yang berpantang sendiri. Tak renyah dan yang penting seimbang.

Ayam kukus halia
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
Dua ketul dada ayam ( saya guna kepak. Stok ayam habis)
Dua inci halia dihiris mancis
Dua ulas bawang putih dihiris
Dua biji bawang merah dihiris
1 sk Sos tiram
1/2 sk lada hitam
Secubit garam

Cara-cara:
1. Gaul rata semua bahan. Perap selama 15 minit.
2. Panaskan kukusan. Sediakan aluminium foil. Letakkan ayam bersama bahan perapan. Lipat kemas.
3. Kukus selama 15-20 minit. Sedia untuk dimakan

Kepada yang sudi selamat mencuba o_O


Thursday, 23 July 2015

Menu berpantang #3 ayam bakar sama pegaga masak bening

Assalammualaikum dan selamat sejahtera.

Ada sesetengah ibu berpantang tak boleh makan daging ayam. Tapi saya boleh makan. Masa berpantang anak pertama dulu emak selalu sediakan sup ayam. Cuma kuahnya janganlah sampai banjir dalam pinggan. 

Resepi ini mudah sahaja untuk disediakan dan pasti menambat selera ibu-ibu dalam pantang.

Ayam bakar berempah
Oleh: che'gu mama

Bahan- bahan:
4 ketul ayam- seeloknya bahagian dada dan dibuang kulit. 
5 ulas bawang putih*
1/2 inci halia*
1/2 sk jintan manis*
1/2 sb gula 
1/2 sb minyak zaiton
1/2 sb serbuk lada hitam
Garam secukup rasa

Cara-cara:
1. Tumbuk bahan bertanda * hingga lumat. Dalam bekas, satukan semua bahan kemudian lumur pada ayam. 
2. Perap dalam peti sejuk sekurang- kurang 2 jam.
3. Bakar dalam kuali pemanggang ajaib selama 10 minit/ hingga masak. 

Pegaga masak bening
Oleh: che'gu mama

Bahan- bahan:
Secekak pegaga- dibersihkan
Sebiji bawang merah dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
5 ekor ikan bilis dibersihkan
1/2 cawan air
Garam secukup rasa

Cara-cara:
1. Satukan bawang, ikan bilis dan air dalam periuk. 
2. Apabila kuah mendidih, masukkan pegaga dan perasakan dengan garam. 

Sedia dihidang makan bersama nasi panas.
* resepi untuk sekali masak. 

Monday, 12 May 2014

AYAM GORENG KUNYIT SIMPLE

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera. 


Kali ni saya masak campak-campak aje. Badan lesu dan masih belum sihat. Namun perut en.suami perlu di isi. Begitu juga anak-anak. Jadi bila menghadapi situasi sebegini saya memang mengambil langkah mudah dengan memasak menu yang ringkas tapi lengkap nutrisinya.. ewahh.

Tak mau menulis panjang lebar batuk pun dah semakin menyesak dada ni. Aduhai... 

Jom kita semak resepi ayam goreng kunyit yang serba ringkas ni. 

AYAM GORENG KUNYIT SIMPLE 
oleh: Che'gu Mama

Bahan - bahan :
2 keping isi ayam bahagian dada - dihiris nipis
3 batang kacang panjang - dipotong pendek - pendek
1/3 lobak - buang kulit belah dua dan hiris nipis
1 labu bawang besar - belah 6
2 biji bawang merah - dihiris nipis
2 biji bawang putih - dihiris nipis
5 biji cili padi kampung - dihiris 
2 sb sos tiram
1 sb serbuk kunyit
1 sk garam 

Cara- cara :
1.  Lumur serbuk kunyit dan garam pada hirisan ayam tadi. Perap sebentar lebih kurang 15 minit.
2. Gorengkan perapan ayam tadi hingga separa masak. Tak perlu goreng hingga garing.
3. Angkat ayam tadi dan keluarkan sedikit minyak. Tumis bawang putih,  bawang merah dan bawang besar hingga layu.
4. Masukkan ayam tadi. Gaul rata. Kemudian masukkan sos tiram. 
5. Akhir sekali masukkan kacang panjang, hirisan cili padi dan lobak. Kacau hingga kacang nampak sedikit layu. Angkat dan sedia dihidang. 

Masakan begini juga sesuai dimasak untuk juadah sahur di bulan ramadhan nanti. Kepada yang sudi selamat mencuba ♡ ♡...... 


Monday, 14 April 2014

NASI AYAM GORENG MUDAH DAN SEDAP

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera. 

Pagi ni saya bersarapan dengan nasi ayam goreng. Haa..jangan terperanjat pulak. Hehe bila dah makan hidangan berat ni jawabnya lambatlah sikit nak ambil nasi untuk slot seterusnya. Memandangkan si kecil meragam sejak malam tadi jadi saya masak siap-siap awal pagi tadi merangkap bekal ke sekolah. Untuk en.suami juga dapatlah bawa bekal nasi goreng ke opis pagi ni. 



Untuk memasak nasi ayam goreng mudah ini hanya mengambil masa sekejap sahaja. Saya menggunakan baki nasi ayam yang telah saya masak semalam. Dapatlah lebih kurang 3 cawan. Kalau tak ada nasi ayam kenalah pergi beli dulu nasinya..

Mari semak resepi nasi ayam goreng yang ringkas sahaja penyediaanya ini. 

NASI AYAM GORENG MUDAH 
 Oleh : Che'gu Mama

Bahan - bahan :
3 cawan nasi ayam
3 ulas bawang putih *
3 biji cili padi merah *
1 biji bawang besar didadu
4 sb cili kisar
1 sb sos tiram
1 keping isi ayam goreng yang dihiris nipis 
Garam secukup rasa

Cara - cara :
1.  Tumbuk bahan * hingga lumat.
2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali.  Tumis bawang besar dan bahan tumbuk hingga naik bau. 
3.  Masukkan cili kisar.  Kacau sampai terbit minyak.  Masukkan pula sos tiram dan garam.  Gaul rata.  
4. Masukkan isi ayam. Kacau lagi hingga sebati.  
5. Akhir sekali masukkan nasi ayam. Kacau rata dan sedia untuk dihidang kan. 



Hidangkan bersama daun salad, hirisan tomato dan timun serta ayam goreng yang telah dipotong-potong. Curahkan sambal lada ke atas ayam goreng tadi.. selamat mencuba....

Sunday, 6 April 2014

SUP AYAM BEREMPAH

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera


Malam semalam masak yang ringkas-ringkas sahaja.  Lesu rasa badan. Dalam tempoh 1/2 jam sahaja hidangan makan malam telah sedia terhidang. Jika saya boleh kira, hampir tiga minggu kami tidak menjamu selera di luar. Sepanjang cuti sekolah yang baru ini juga kami hanya makan di rumah sahaja. 

Saya makan sup ini  bersama roti. Manakala en.suami menghirup sup begitu sahaja.  Pun begitu saya tidur kekenyangan malamnya. 


Jom kita semak resepi yang ringkas ini. Pilihan sayur bergantung pada citarasa masing - masing. 

SUP AYAM BEREMPAH
Oleh : che'gu mama

Bahan-bahan:
4 ketul ayam dipotong kecil-kecil (potong sup)
2 biji kentang - dibelah 8
1/2 batang lobak - di potong kasar
2 batang celery - hiris kasar
3 sb rempah sup
1 rempah sup bunjut
1/2 sb serbuk lada hitam kasar
1 batang kulit kayu manis
1 biji bunga lawang
2 biji buah pelaga
3 sb bawang goreng yang digoreng
sendiri
3 mangkuk air
daun bawang - tak letak
daun sup  - tak letak
garam

kisar:
4 ulas bawang putih
1 inci halia

cara-cara:
  • Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan kisar, buah pelaga, kulit kayu manis dan bunga lawang hingga naik bau. 
  • Masukkan rempah sup dan kacau hingga terbit minyak. Masukkan ayam kacau hingga bertukar warna. Sila kawal api. 
  • Kemudian masukkan pula air, rempah bunjut, serbuk lada hitam dan kentang. Apabila kentang sudah separa masak masukkan lobak diikuti cellary.  
  • Masukkan garam secukupnya. Tutup api dan sedia untuk dihidang.
  • Taburkan bawang goreng, hirisan daun bawang dan daun sup senasa menghidang. 

Lebih sedap dicicah dengan roti bantal. Tapi roti sandwich sahaja yang ada, jadilah..kepada yang sudi selamat mencuba....



Thursday, 6 March 2014

NASI AYAM PENYET yang YUMMYLICIOUS♡♡

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera..

 

Selamat bertemu kembali pembaca di alam maya.. agak lama saya menyepi. Keadaan kesihatan saya kurang mengizinkan untuk berceloteh di ruang ini. Dengan ditambah lagi kesihatan anak-anak yang agak terganggu disebabkan perubahan cuaca yang tidak menentu kini. Nasihat saya untuk diri sendiri juga, agar perbanyakkan meminum air masak kosong, kurangkan aktiviti luar dan hindari stress..

Hehehe dalam tiga tips yang saya kongsikan di atas tu cuma satu je yang saya rasa relevan dengan saya, iaitu minum air masak, yang lagi dua tu memang tak dapatlah saya ikut..maklumlah tugas hakiki saya menuntut agar terlibat dengan aktiviti luar setiap hari ditambah dengan bebanan tugasan yang kian mencabar saban hari..
Cuma saya ada cara untuk ubati  diri tatkala stress menghampiri. Saya akan sibukkan diri ke dapur atau berulit dengan manik-manik kesayangan saya tu. Kalau dilayan stress tu nanti ada yang kena stroke pulak..

ok kali ni saya nak share satu hidangan yang sangat enak dan kena dengan anak tekak kami sekeluarga. Saya copy and paste resepi ni daripada blog cik Amie. Tapi seperti biasa memang ada bahan-bahan yang saya tokok tambah mengikut citarasa sendiri. 
Yang pasti memang sedap resepi nasi ayam penyet ni. Anak-anak pun meratah ayam penyetnya begitu sahaja. Mari kita lihat resepi nasi ayam penyet yang thorrrbaikkk!! ni

NASI AYAM PENYET
Oleh: Che'gu Mama

AYAM PENYET 

Bahan:
3 keping daging ayam bahagian peha (saya letak 8 ketul ayam)
4 cawan air kelapa
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis`
1 sudu makan ketumbar biji ( Saya tak letak sebab tak ada stok)
1 batang serai
2cm lengkuas
2cm halia
2cm kunyit hidup



Cara:

1. Masukkan kesemua bahan di atas ke dalam periuk.
2. Didihkan dengan api sederhana sehingga ayam separuh masak.
3. Toskan daging ayam.
4. Tekan / penyetkan daging ayam - Amie gunakan permukaan parang 
    belitung  sehingga tulang ayam kedengaran patah.(Saya tak buat)
5. Panggang daging ayam sehingga masak. (Saya goreng je ayam yang telah 
    ditos)
 
 

Sambal ulek ni memang sedap sangat. Bila masuk sahaja ke dalam mulut, saya dapat membayangkan saat menikmati ubi mentega rebus panas-panas dicicah dengan sambal yang sedap ni.. walllah... Lain kali saya akan buat sambal ulek ini untuk dimakan dengan ubi rebus. Nampaknya kenalah pergi cari di pasar nanti...
 
SAMBAL ULEK

Bahan:
1 genggam cili padi - kalau takut pedas gunakanlah dalam kuantiti yang sedikit (tengok pada saiz genggaman masing2 ye..)
3cm belacan
7 biji bawang merah - hiris kasar
2 biji tomato - belah 8
minyak
garam / gula / perasa pilihan
2 sudu besar ikan bilis - Saya tambah 
3 biji lada merah - Saya tambah

Cara:
1. Goreng kesemua bahan di atas kecuali garam / gula / perasa pilihan.
2. Untuk hasil yang lebih memuaskan gunakan lesung 'ulek', tapi kalau tak 
    ada memadailah gunakan lesung batu macam Amie gunakan. (saya bedal 
    guna blender je. Tapi tekan kejap-kejap je. Supaya tekstur sambal tak 
    terlalu halus)
3. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.



TAUHU / TEMPE 
Bahan-bahan:
4 keping tauhu di potong tiga segi
sebungkus tempe FAMA di belah dua kemudian di potong sederhana lebar

cara-cara:
  1. Saya tak ikut cara Amie. Saya cuma rebus tempe dan tauhu ke dalam air rebusan ayam tadi selama lebih kurang 5 minit kemudian  toskan. Sejukkan sebentar sebelum di goreng selama beberapa minit sehingga nampak keperang-perangan.

Saya letak sahaja sayur yang ada dalam peti ais. Biasanya di kedai dihidangkan bersama kobis dan timun sahaja. Juga tak ketinggalan limau kasturi. 


ULAM-ULAMAN
Bahan-bahan
3 batang kacang panjang- dibasuh kemudian dipotong sederhana panjang.
1/2 batang timun - dibasuh, buang bahagian tengah kemudian dipotong mancis
5 biji bendi - dicelur sekejap dengan sedikit garam dan ditoskan.
1/3 buku kobis - dibasuh dan dihiris kasar-kasar. 


Dah siap semuanya bolehlah dihidangkan bersama nasi panas-panas. Kalau diperhatikan nasi saya tu semacam ada biji-biji berwarna coklat. Harap maklum yang itu ialah OATS FOR RICE. Sekarang ni memang dah jadi santapan kami hari-hari. 


Setiap kali beli oats yang biasa tu sampai tarikh luput tak jalan-jalan juga. Jadi untuk kali ni saya tukar strategi pula dengan memasukkan oats ke dalam nasi. Jadi hari-hari kita akan makan oats tanpa culas.....yehooo misi berjaya. 

Hidangan lazat ni memang kena sangat dengan selera saya. Tambahan buat masa ini saya memang tak lalu nak makan masakan yang berlemak. Alhamdulillah terima kasih buat Amie kerana berkongsi resepi nasi ayam penyet ni dan telah selamat menjadi santapan saya dan anak-anak tengah hari tadi..


Eh..tidak bekerjakah saya hari ni? Sebenarnya saya masih dalam cuti sakit. Kali ni menjaga anak-anak pula yang masih belum sihat sepenuhnya. Memang dugaan kan bila menjaga anak-anak kecil yang tidak sihat. Semoga Allah menyembuhkan penyakit kami anak beranak dan kembali sihat seperti sediakala..Walaupun kurang sihat, dapurku tetap berasap....

kepada yang sudi, selamat mencuba.....



Friday, 22 November 2013

AYAM GORENG BEREMPAH

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera


Selamat bercuti kepada warga Johor sempena hari keputeraan DYMM Sultan Johor.. 
Makan ape hari ni?. Walaupun kaki masih sakit2.. (akibat beraerobik sakan selama tiga hari dua malam..kursus daa) saya menguatkan semangat untuk menyediakan juadah makan tengah hari seringkasnya. Si kakak nak makan nasi ayam. Tapi papanya request nak makan ayam masak lemak cili api..
Saya bukak esbok tengok apa bahan yang ada. Nampaknya masak nasi ayam jela sebab tak ada stok cili padi.. pokok cili padi yang saya tanam pun belum mengeluarkan hasil lagi...kihkihkih..
Masak nasi ayam lagi senang sebab tak perlu nak masak sayur lagi..
Bagi menampakkan kelainan saya telah menyediakan ayam goreng berempah untuk dimakan bersama nasi ayam tu nanti..Resepi nasi ayam sila klik di sini. Boleh juga dimakan dengan nasi lemak atau pun nasi putih..
Jom tengok resepi best ni..

Ayam goreng berempah 
Oleh : Che'gu Mama

Bahan-bahan
  • 6 ketul ayam buang kulit (saya dah rebus sekejap sebab nak buat stok untuk sup dan nasinya)



Bahan A
  • 5 ulas bawang putih
  • 7 biji bawang kecil
  • 2inci halia 
  • 2 inci lengkuas

Bahan B
  • 4 batang serai dipotong 6 inci
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1 sk ketumbar - disangai terlebih dahulu
  • 1sk jintan manis - disangai terlebih dahulu
  • 1 sk gula
  • Sedikit garam
  • 2 sb rempah kari daging adabi 
  • 4 tangkai daun kari. 

Cara2
1. Blender bahan A dengan sedikit air. Blender sampai halus. Tak perlu banyak air sebab bawang akan keluarkan air. Kalau guna blender kering lagi bagus.
2. Tumbuk bahan B.  Perlu banyak tenaga untuk buat ni...kasi eksesais tangan sikit..boleh jugak diblender dengan menggunakan blender kering. Tapi jangan halus sangat nanti tak dapatla tekstur yang berserdak tu..
3. Masukkan bahan A dan B dalam satu bekas. Masukkan juga serbuk kari. Gaulkan rata-rata pada ayam. Perapla lebih kurang sejam. Tapi lagi sedap kalau diperap lama sikit.


4. Panaskan minyak. Guna minyak banyak supaya ayam dapat digoreng terendam. Api biar kecil. Masukkan ayam bersama rempahnya sekali.. lurutkan sekali setangkai daun kari. bila dah agak garing baru diterbalikkan ke sebelah bahagian. Gaul-gaul rempah yang dimasukkan tadi supaya lerai dan masak sekata. Angkat dan toskan dalam tapis supaya lebihan minyak boleh mengalir. 

Sata tak goreng lama sebab ayam memang dah direbus dulu.


Kepada yang sudi selamat mencuba...