Friday 31 July 2015

Menu berpantang #6 roti bakar kapit keju

Assalammualaikum dan selamat sejahtera..

Masuk minggu ke 3, saya dah mula mempelbagaikan menu, Hihi maklumlah sesekali tekak ni nak juga makan hidangan bervariasi. Siapa kata menu orang berpantang ni membosankan. Yang penting kita kene ambil tahu menu yang bersesuaian dengan badan kita. 

Ye la, ada orang dalam pantang tak boleh makan ikan. Tapi boleh makan ayam sahaja. Begitu juga sebaliknya. Janganlah kita pandai- pandai mengata orang bila tengok cara berpantang mereka tak seperti kita. Ini kerana lain orang, lain ragam.. 


Menu tahap pejam mata ni, untuk hidangan sarapan pagi. Sangat mudah untuk disediakan. 

Roti Bakar Kapit Keju. 
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
2 keping roti gardenia
1 keping keju cheesedale
Secubit serbuk lada hitam

Cara-cara:
1. Bakar sekeping roti dalam magic pan hingga keperangan kemudian terbalikkan dan letak sekeping keju di atas bahagian yang keperangan tadi. Taburkan serbuk lada hitam. 
2. Dalam masa yang sama, bakar sekeping lagi roti di sebelahnya hingga keperangan. Kemudian, kapit bahagian keperangan tadi ke atas keju yang telah ditabur serbuk lada hitam. 
3. Terbalikkan roti dan bakar pula bahagian bawahnya hingga keperangan juga. 
4. Siap. Potong ikut suka. Sedia dihidang.

Saya makan bersama secawan hot chocolate.. nyum..nyum.. 

Kepada yang sudi selamat mencuba.. 

Monday 27 July 2015

Menu berpantang #5 ikan bawal masak asam sama sayur sawi

Assalammualaikum dan selamat sejahtera

Hari ni saya nak kongsikan satu lagi resepi yang saya sediakan semasa dalam pantang. Menu ringkas-ringkas sahaja. Orang kata masa dalam pantang, jangan renyah nanti luka jahitan boleh terbuka, peranakan turun dan macam- macam lagilah... 

Tapi bagi saya yang berpantang sendiri dengan menjaga 2 orang anak lagi, terpaksalah aktif sikit. Dah tak boleh nak toleh kiri kanan kata orang. Tapi apa yang saya buat, sentiasa beringat dan masih berpandukan amalan berpantang tradisi lama. 


Ikan bawal masak asam
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
2 ekor ikan bawal putih* (lain2 jenis ikan boleh belaka asalkan bukan jenis gatal)
1 sk serbuk kunyit*
1 sk garam*
1 biji bawang besar dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
2 inci halia dihiris 
1/2 mangkuk air asam jawa
2 sb minyak zaiton

Cara-cara:
1. Satukan bahan bertanda * dalam mangkuk. 
2. Tuang sesudu minyak zaiton dalam magic pan, kemudian panggang ikan hingga masak. Sentiasa balik-balikkan pan supaya ikan tidak hangus. 
3. Dalam kuali, tuang sedikit minyak zaiton, kemudian tumiskan bawang besar, bawang kecik dan halia hingga naik bau, kemudian masukkan air asam jawa. 
4. Kacau hingga mendidih, masukkan ikan yang telah dipanggang tadi. Kacau lagi hingga sebati.
5. Tutup api dan sedia dihidangkan. 

Kepada yang sudi, selamat mencuba.. (~>__<~)





Saturday 25 July 2015

Menu berpantang #4 ikan bawal masak pindang

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera 


Menu ikan masak pindang memang sedap di makan dengan nasi panas. Oleh kerana saya berpantang sendiri dan encik suami tiada di rumah, kebanyakan hidangan yang saya masak tidak bertumbuk. Saya cuma hiris-hiris sahaja. 

Oleh kerana saya suka makan halia dalam pantang, jadi bahan hirisan tu memang saya kunyah sekali. Selain perut kenyang, khasiat daripada halia dapat mengeluarkan angin dalam badan manakala kunyit pula bertindak untuk menyembuhkan luka.. :-)

Disebabkan hari-hari makan sayur sawi, kali ini saya makan berulamkan ulam raja pula. Ulam raja ni saya tanam sendiri, jadi bila-bila rasa nak makan, petik sahaja... 

Ikan Bawal Masak Pindang 
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
2 ekor ikan bawal putih 
2 ulas bawang putih dihiris
2 biji bawang merah dihiris
2 inci halia dihiris bulat
1 inci kunyit hidup dihiris
1 keping asam keping
1 cawan air
Garam secukup rasa

Cara-cara:

  1. Satukan semua bahan yang dihiris bersama air dalam periuk. Kemudian hidupkan api. 
  2. Bila kuah sudah mendidih, masukkan ikan dan asam keping. Perasakan dengan garam. Kacau rata kuah. Bila ikan sudah masak, tutup api dan sedia untuk dihidangkan.
Kepada yang sudi, selamat mencuba... 








Thursday 23 July 2015

Menu berpantang #3 ayam bakar sama pegaga masak bening

Assalammualaikum dan selamat sejahtera.

Ada sesetengah ibu berpantang tak boleh makan daging ayam. Tapi saya boleh makan. Masa berpantang anak pertama dulu emak selalu sediakan sup ayam. Cuma kuahnya janganlah sampai banjir dalam pinggan. 

Resepi ini mudah sahaja untuk disediakan dan pasti menambat selera ibu-ibu dalam pantang.

Ayam bakar berempah
Oleh: che'gu mama

Bahan- bahan:
4 ketul ayam- seeloknya bahagian dada dan dibuang kulit. 
5 ulas bawang putih*
1/2 inci halia*
1/2 sk jintan manis*
1/2 sb gula 
1/2 sb minyak zaiton
1/2 sb serbuk lada hitam
Garam secukup rasa

Cara-cara:
1. Tumbuk bahan bertanda * hingga lumat. Dalam bekas, satukan semua bahan kemudian lumur pada ayam. 
2. Perap dalam peti sejuk sekurang- kurang 2 jam.
3. Bakar dalam kuali pemanggang ajaib selama 10 minit/ hingga masak. 

Pegaga masak bening
Oleh: che'gu mama

Bahan- bahan:
Secekak pegaga- dibersihkan
Sebiji bawang merah dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
5 ekor ikan bilis dibersihkan
1/2 cawan air
Garam secukup rasa

Cara-cara:
1. Satukan bawang, ikan bilis dan air dalam periuk. 
2. Apabila kuah mendidih, masukkan pegaga dan perasakan dengan garam. 

Sedia dihidang makan bersama nasi panas.
* resepi untuk sekali masak. 

Tuesday 21 July 2015

Menu pantang #2 kerabu pegaga

Assalammualaikum dan selamat sejahtera.


Kadang-kadang kalau baby meragam dan kerja rumah banyak lagi yang tak terlangsai memang mak-mak dalam pantang ni makan apa yang termampu je disediakan. 

Kali ni saya nak kongsikan kerabu pegaga yang sangat ringkas. 

Kerabu pegaga
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:

Secekak pegaga dibersihkan dah dihiris
Sepotong ikan tenggiri bakar- ambil isi dan dilerai menggunakan garfu
Sebiji bawang merah ditumbuk
Seulas bawang putih ditumbuk
1/2 sk serbuk lada hitam

Cara-cara: 
1. Sangai bahan tumbuk bersama serbuk lada hitam. Gaulkan dengan isi ikan. Kemudian angkat.
2. Dalam mangkuk, satukan pegaga dengan bahan sangai tadi. 

Siap dimakan dengan nasi panas-panas. 
* resepi untuk sekali makan. 





Sunday 19 July 2015

Menu pantang #1 ikan tenggiri bakar sama bening sawi putih

Assalammualaikum dan selamat sejahtera




Dalam masa berpantang ni saja nak kongsikan menu berpantang yang saya sediakan untuk diri sendiri. Maklum lah dah masuk anak ketiga ni kenalah berdikari.. 

Menu ni di makan tanpa jemu sepanjang minggu pertama pada waktu tengah hari dan petang termasuk pada hari raya Aidilfitri. Ooh.. sungguh sedih tapi saya tak terliur lagi dengan lauk pauk raya memandangkan emak telah menjamu saya dengan hidangan raya beberapa minggu sebelum saya bersalin. 

Alhamdulillah kali ini saya tidak cerewet dan sangat menikmati hidangan pantang tanpa banyak songeh. Sampaikan emak saya pula yang selalu menyoal kalau-kalau saya nak bertukar menu. 

Ikan bakar
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
1 potong ikan tenggiri 
Sedikit serbuk kunyit
Garam secukup rasa
Sedikit minyak zaiton 

Cara-cara: 

1. Lumur ikan dengan serbuk kunyit dan garam. 
2. Titiskan beberapa titik minyak zaiton . Bakar ikan dalam pemanggang ajaib selama 5 minit/ hingga masak.

Bening Sawi putih 
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
1 pokok sawi putih - bersihkan dan potong ikut suka
Sebiji bawang merah - dihiris
Seulas bawang putih - dihiris
1/4 kiub ikan bilis
1/2 cawan air
Sedikit minyak zaiton

Cara-cara:
1. Tuang sedikit minyak zaiton ke dalam kuali. Tumis bawang merah dan bawang putih. Kemudian masukkan kiub ikan bilis dan tuang air. 
2. Apabila kuah mendidih masukkan batang sawi. Kacau rata. Masukkan daun sawi kacau rata dan terus tutup api. 

Sedia dimakan dengan nasi panas-panas..