Tuesday, 4 February 2014

SAMBAL KICAP BERDESING

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera

  
Sambal kicap memang sentiasa ada dalam peti sejuk saya. saya ni terikut-ikut dengan cara emak. Kalau di kampung, memang sambal ni macam sos. Mesti ada. Mana taknya abah  tanam keladi dan pisang sekeliling rumah. Setiap kali abah menuai hasilnya memang banyak. Kami memang dah terbiasa bersarapan keladi goreng atau pisang goreng sejak dari kecil-kecil lagi. 

Dulu saya memang tak suka sangat makan keladi ni. Maklumlah dah selalu sangat makan. Sekarang ni memang rindu nak makan keladi goreng yang ditanam abah dan menikmati juada gorengan hasil air tangan emak. Justeru, bila nak masak sendiri, kenalah  siapkan sambal ni awal-awal. Bila nak makan, ambil sahaja dari peti sejuk.

Orang Johor makan pisang goreng,keledek goreng dan sukun goreng dengan sambal kicap tau. Bukan setakat tu, bubur lambuk pun mesti nak ada sambal ni. Makan mee/ bihun sup juga nak ada sambal ni. Jadi memang tak rugilah kalau kita buat banyak-banyak dan simpan dalam peti sejuk.

Banyak lagi kegunaannya. Jika nak buat kuah rojak, hanya tumbuk kan kacang tanah yang telah di goreng bersama sedikit belacan bakar kemudian digaulkan sekali dengan sambal kicap ni. 

Resepi saya ni memang tak campur dengan limau kasturi. Ditempat  kami limau kasturi di panggil limau sambal. Jika suka, boleh diperah sedikit jus limau ni. Jom kita semak resepi sambal kicap berdesing ni. 

Sambal Kicap Berdesing
Oleh: Che'gu Mama

Bahan-bahan :
semangkuk cili padi 
1/2 mangkuk kecil bawang goreng yang digoreng sendiri
kicap manis secukupnya
kicap masin secukupnya

Cara-cara:
1. Bersihkan cilipadi. Buang tangkai separuh bahagian  sahaja. (petua orang tua-tua bagi mengelakkan sakit perut akibat makan cili) 
2. Blender cili dan bawang goreng dengan blender kering hingga lumat.
3. Tuang bahan yang telah diblender ke dalam bekas. 
4. Tuangkan kicap manis diikuti kicap masin. Rasakan mengikut citarasa. Sesiapa yang suka manis-manis pedas, lebihkan kicap manis.


Tutup bekas kedap udara daan simpan dalam peti sejuk. Tahan hingga tiga bulan. Jika tidak mahu cepat rosak, pastikan sudu yang kita gunakan setiap kali hendak mengambil sambal kicap dari bekas simpanan dalam keadaan kering dan bersih. Ini petua emak saya.

Harus diingat, jika nak makan, kena beringat-beringat ye. Memang berdesing telinga disebabkan kepedasannya..

Selamat mencuba..

No comments:

Post a Comment