Showing posts with label minum petang. Show all posts
Showing posts with label minum petang. Show all posts

Monday, 1 June 2015

RESEPI APAM GORENG MUDAH PASTI JADI !!

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera..

 

Tajuk entry tak menahan... hahaha...
Ni hidagan pagi tadi sebagai sarapan. Memang sedap dan yang penting kenyang.. Lembut sampai ke tengah hari. Anak-anak pun suka makan. Memang tak rugi mencuba..Saya cicah dengan sambal tumis ikan bilis. Apa-apa kuah pun boleh dimakan bersama sebab rasanya tak manis, tak tawar dan tak masin.. Haaa macam mana tu.. kenela cuba sendiri. Untuk satu adunan ni saya dapat 5 keping. Jika keluarga besar, bolehlah digandakan resepinya...


Resepi ni saya kongsikan daripada buku 101 Resepi Pengikat Kasih Mertua karya Chef NorZailina Nordin. Banyak resepi yang sedap-sedap didalamnya. Harga sebuah buku hanyalah RM29.90 sahaja. Jika anda pemegang kad popular, bolehlah dapat 10% diskaun.. berbaloi-baloi...Tak rugi membelinya... 


APAM GORENG 
oleh: Chef Norzailina Nordin 
daripada buku "101 Resepi Pengikat Kasih Mertua"

Bahan-bahan A :
  • 1 1/2  ( 185 g) Tepung gandum 
  • 1 sudu besar Gula Halus
  • 1 1/4 cawan (330ml) air
  • Garam secukup rasa
  • Minyak untuk melengser (saya guna minyak zaiton)
 Bahan-bahan B:
  • 1 1/4 sudu teh yis segera (mauripan)
  • 1/2 sudu teh gula halus
  • 1/4 cawan (60ml) air suam
Cara-cara:
  1. Adunan Yis: Larutkan gula dengan air suam kemudian taburkan yis. Ketepikan selama 10 minit supaya berbuih.
  2. Letak tepung ke dalam mangkuk, campurkan gula, garam dan adunan yis. Kemudian masukkan air. 
  3. Kacau rata menggunakan hand wisk dan biarkan selama 15 minit. (saya tutup adunan )
  4. Panaskan kuali, lengserkan sedikit minyak.
  5. Ambil sesenduk adunan dan tuangkan ke atas kuali. Apabila permukaan berbuih dan mulai kering, terbalikkan.
  6. Masak di atas api perlahan hingga perang keemasan..


Nah... sedia dihidangkan bersama sambal tumis atau kuah kari atau kuah asam pedas... memang sedap.....

kepada yang sudi selamat mencuba....



Sunday, 15 March 2015

KEK COKLAT KUKUS MOIST DALAM BEKAS PLASTIK

Assalammualaikum wbt 

Beberapa hari lepas mengidam pulak nak makan kek coklat. Bila en.suami suggest nak beli je rasa macam tekak ni tak nak terima pula. Mengada betul tekak mak yong ni kan... hahaha


Oleh kerana bahan membaking semua memang sedia ada di rumah, saya cuma beli coklat M&M paket kecik dan coklat cloud nine konon-konon nak tabur kat atasnya...

Masa beli barang-barang ni pun dah terasa-terasa keenakkan kek kukus yang moist di anak tekak. Namun, dek kemalasan yang melanda akhirnya bahan-bahan tersebut tersimpan seminggu. 

Semalam, saya gigihkan diri untuk membancuh bahan utamanya. Bila dah siap, sekali lagi dilanda kemalasan, akhirnya bahan utama saya simpan dalam peti sejuk.

Pagi tadi, si kakak sibuk bertanya semalam nampak mama dah siap masak kek, mana keknya?... aduhai anak.... Saya keluarkan bahan utama kek, panaskan sekejap, kemudian ayak bahan kering dan jerang air kukusan. 


Dalam tempoh tidak sampai sejam kek saya sudah pun terhidang. Bukan susah sebenarnya nak buat kek ni, perlukan kerajinan sahaja...hahaha...

Sekali lagi saya masih menggunakan resepi yang sama yang mana saya ambil dari Myresepi. Untuk resepi sila klik di sini .

Friday, 11 July 2014

KUIH ABOK ABOK MODEN

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera...




Sambil-sambil menunggu masuk waktu iftar ni, bolehla saya menghapdet entry yang tak berapa baru ni. Saya masak kuih abok abok ni dua hari lepas. Bila cuti hujung minggu macam ni barulah sempat nak hapdet bagai.. 

Hari-hari biasa saya akan punch out pukul 5.40 ptg. Sampai di rumah lima minit kemudian. Lepas siap-siap solat dan tukar baju bersilatla di dapur untuk lebih kurang 45 minit.. memangla tak sempat nak berposing-posing. Ekeke.. lepas solat terawih terus ngorok. Aduh.. menjahit pun selepas solat subuh. Tp tahun ni saya memang tak ambil banyak tempahan. Banyak perancangan takut tak sempat nak siapkan semuanya...

Jom kita semak resepi mudah sangat ni.. 

KUIH ABOK ABOK MODEN 
Oleh: che'gu mama

Bahan - bahan :
1 cwn sagu
1/2 cwn kelapa parut putih
1 sk garam
Hirisan gula melaka secukupnya
4 helai daun pandan *optional

Cara - cara :
1.  Basuh sagu bersih-bersih. Kemudian direndam selama 15 minit.
2. Angkat dan toskan. Sementara itu didihkan air kukusan.
3. Gaul sagu yang telah ditoskan bersama kelapa dan garam.
4. Oles sedikit minyak pada bahagian dalam bekas tahan panas.  Masukkan sesudu sagu kemudian di lenyek2 sedikit. Masukkan hirisan gula melaka. Penuhkan bekas dengan sagu dan di lenyek2 bahagian atasnya supaya padat.
5. Buat hingga habis. Kukus selama 15-20 minit. Saya masukkan beberapa helai daun pandan dalam air kukusan supaya bau harum pandan meresap ke kuih moden ni.. Angkat dan sedia dimakan...

Yang sudi, selamat mencuba .. ♡♡

Sunday, 20 April 2014

KUIH CARA BERLAUK

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera. 



Cara berlauk. Siapa yang tak suka. Kuih pilihan en.suami saya. Kalau ke pasar pasti kuih ni menjadi pilihan beliau. Tapi tau-tau jela bila beli memang tak sempat nak kenyang. RM1 untuk 3 keping kuih yang comel ni rasanya memang tak berbaloi. Bila buat sendiri, boleh dengar en.suami sendawa kekenyangan. Alhamdulillah...

Untuk adunan satu cawan tepung ni dapat menghasilkan lebih kurang 30 keping. Kalau beli di kedai sudah berapa RM?..... hehehe...bila buat sendiri ikut sukala nak letak inti dagingnya banyak mana. Macam kuih saya kat atas tu. 

Mari semak resepi mudah yang akak telah sediakan untuk juadah di petang hari buat kami suami isteri je. Anak-anak tak makan kuih yang berlada macam ni. 


KUIH CARA BERLAUK 
Oleh : che'gu mama

Bahan - bahan inti:
1/2 cawan daging kisar - saya guna daging cincang jenama Ramlee
3 biji bawang kecil *
2 ulas bawang putih *
Seinci halia *
1 1/2 sb serbuk kari daging - saya guna rempah kari Babas
Sedikit minyak untuk menumis
Garam secukupnya
2 sb air masak

Bahan - bahan adunan tepung:
1 cawan tepung gandum
Sebiji telur
2 titik pewarna kuning
4 sb santan kotak
2 sb minyak jagung
Air secukupnya

Cara - cara:
1.  Tumbuk bahan bertanda * hingga lumat. Panaskan sedikit minyak dalam kuali tak lekat. Masukkan bahan tumbuk dan tumis hingga naik bau. 


2. Masukkan pula serbuk kari.  Tambah 2 sudu air jika rempah.  Kecilkan api. Kacau hingga terbit minyak.  
3. Masukkan daging dan kacau lagi hingga masak sempurna. 
4. Angkat dan sejukkan sebentar. Sementara itu kita satukan tepung, telur, pewarna kuning, minyak jagung dan santan dalam mangkuk. 
5. Tuang air kedalam adunan sedikit-sedikit. Kacau hingga sebati. Adunan biarlah cair sedikit. Boleh juga dikisar sebentar menggunakan blender.
6. Masukkan bancuhan adunan tadi ke dalam teko atau bekas bermuncung supaya senang untuk kita menuangnya ke dalam acuan nanti.
7. Panaskan acuan dengan api yang kecil. Oleskan sedikit minyak ke dalam acuan dengan menggunakan daun pandan yang diikat pada bahagian atasnya dan digunting sedikit bahagian bawahnya. 


8. Tuang 1/3 bancuhan tepung ke dalam acuan. Letak  1/3 inti daging. Terpulang nak letak banyak mana. Taburkan daun sup. Akhir sekali letak sekeping hirisan lada merah ke atasnya. Tekan sedikit supaya tidak tertanggal. Tutup acuan dengan tutup periuk. 
9. Angkat kuih dengan menggunakan lidi. Dengan lidi yang sama kita boleh periksa kuih sedia masak dengan mencucuk di bahagian tengahnya. Sekiranya lidi keluar bersih dan licin, dah masakla tu.

Sedia dihidang..

Saya selalu bertanya kepada mak kenapa mesti nak letak hirisan cili merah di atasnya? Jawapan mak supaya kuih kita kelihatan lebih menarik. Tak percaya cuba tengok gambar di bawah ini. Sebahagian dengan hirisan lada merah dan sebahagian lagi dengan hirisan lada hijau sahaja.. Sebelum itu, kepada yang sudi selamat mencuba......♡♡





Saturday, 29 March 2014

KELADI GORENG KETUMBAR

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera

Petang tadi hujan turun agak lebat. Perut mula berkeroncong. Saya buka peti ais cari apa yang ada untuk dijadikan juadah minum petang. Keladi yang emak saya beri masih berbaki sebiji setengah lagi. Saya jerang air dulu, kemudian barulah menyediakan bahan-bahan untuk menggoreng keladi tersebut.


Bila makan keladi goreng begini memang teringat sangat kenangan semasa zaman kanak-kanak dulu. Inilah juadah sarapan pagi kami. Pokok keladi memang abah tanam di sekeliling rumah kami. Belum termasuk yang ditanam di kebun di belakang rumah. 

Abah memang pencinta keladi. Bila dah berumur ni, abah memang mengamalkan berpuasa sunat setiap hari Isnin dan Khamis. Antara juadah iftar beliau cukup sekadar keladi rebus, keladi goreng atau pengat keladi. Kadang-kadang saya pernah terfikir tidak jemukah beliau dengan hidangan yang sama?

Dalam keadaan cuaca yang sejuk begini, memang sesuailah hidangan seperti ini sebagai pengalas perut. Dapat pula menghirup kopi panas...aduh terpejam mata seketika. Sebagai anak jati Daerah Muar, memang dah terbiasa dengan kopi 434. 

Bermula dengan kopi timbang, kini telah melangkah maju. Kopi 434 boleh didapati di pasaraya-pasaraya besar dalam bentuk paket yang lebih mudah untuk membancuhnya. Tak perlu lagi guna penapis. Hanya masukkan  dua uncang kopi-O 434 ke dalam teko, tuangkan air panas mendidih separuh bekas, masukkan 3 sudu besar gula dah sedia untuk dinikmati.


Bila minum air panas-panas, teringat lagi kisah sewaktu kecil dulu, bila bertandang ke rumah saudara mara, apabila dihidangkan dengan air panas, emak akan tuang sedikit ke dalam piring pengalas cawan tersebut. Rasional perbuatan tersebut supaya air panas cepat sejuk. Lebih sopan daripada asyik meniup dibibir cawan..tapi sekarang, hampir tiada lagi budaya tersebut terlihat di mana-mana. saya sendiri tidak pernah mengajar anak akak berbuat demikian.


Asyik teringat sahaja, bila pula nak kongsi resepinya pula? Hehehe..okeylah mari kita semak resepi yang sangat mudah ini. 

KELADI GORENG
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
Sebuku keladi - dibuang kulit dan dihiris nipis-nipis.
1cawan tepung beras
1biji telur
1sk ketumbar
3 ulas bawang putih
2 sk serbuk kunyit
1 sk garam
Air secukupnya

Cara-cara:

  1. Bersihkan keladi. Hiris dahulu baru dibasuh supaya tak licin.
  2. Tumbuk ketumbar biji, garam dan bawang putih hingga halus. 
  3. Masukkan bahan tumbuk, serbuk kunyit dan telur yang dikocok sedikit ke dalam adunan tepung. 
  4. Tuang air sedikit-sedikit dan kacau adunan hingga sebati. Adunan tepung tidak terlalu pekat atau cair.
  5. Panaskan minyak dalam kuali. Celup keladi ke dalam adunan tepung tadi dan digoreng hingga keemasan. Angkat dan toskan atas tisu dapur. 
Sedia dihidang. Makan dengan sambal kicap. Memang terangkat la jawabnya. Kepada yang sudi selamat mencuba..