Monday 28 April 2014

SAMBAL TEMPOYAK STYLE PAHANG

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera. 




Baru-baru ni kami ada buat potluck di sekolah. Adalah seorang cikgu tu bawa sambal tempoyak yang harum dan sedap baunya. Saya tak sempat merasa waktu tu. Konon-konon kekenyangan menjamah hidangan yang lain.  

Tapi, bila dah tiba di rumah saya terkenang-kenang pulak sambal yang belum pernah saya rasa sebelum ni.  Justeru dengan muka tak berapa nak malu ni saya merisikla resepi sambal tempoyak stail orang pahang ni. Yelah yang empunya resepi pun memang orang pahang.  Jazakillah ku khairan Cikgu Rozita atas perkongsian resepi ini..

SAMBAL TEMPOYAK STAIL PAHANG
Sumber: cikgu Rozita 
Oleh: che'gu mama

Bahan - bahan( untuk 3 orang makan )
Segenggam ikan bilis - kopek, bersihkan dan digoreng garing.
Segenggam cili padi kampung - tumbuk halus
3 sb tempoyak segar
1 biji bawang besar diracik 
Garam dan gula secukupnya

Cara - cara :



1. Tumis lada hingga betul-betul masak. 
2. Masukkan bawang besar tadi. Kacau rata. 
3.  Kemudian masukkan pula tempoyak. Gaul sampai sebati. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. 
4. Akhir sekali masukkan ikan bilis yang telah digoreng tadi.  Kacau rata.  Tutup api. 

Sedia dimakan dengan nasi panas-panas dan ulam-ulaman kampung. Mesti bertambah tambah..kepada yang sudi selamat mencuba ♡



Sunday 20 April 2014

KUIH CARA BERLAUK

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera. 



Cara berlauk. Siapa yang tak suka. Kuih pilihan en.suami saya. Kalau ke pasar pasti kuih ni menjadi pilihan beliau. Tapi tau-tau jela bila beli memang tak sempat nak kenyang. RM1 untuk 3 keping kuih yang comel ni rasanya memang tak berbaloi. Bila buat sendiri, boleh dengar en.suami sendawa kekenyangan. Alhamdulillah...

Untuk adunan satu cawan tepung ni dapat menghasilkan lebih kurang 30 keping. Kalau beli di kedai sudah berapa RM?..... hehehe...bila buat sendiri ikut sukala nak letak inti dagingnya banyak mana. Macam kuih saya kat atas tu. 

Mari semak resepi mudah yang akak telah sediakan untuk juadah di petang hari buat kami suami isteri je. Anak-anak tak makan kuih yang berlada macam ni. 


KUIH CARA BERLAUK 
Oleh : che'gu mama

Bahan - bahan inti:
1/2 cawan daging kisar - saya guna daging cincang jenama Ramlee
3 biji bawang kecil *
2 ulas bawang putih *
Seinci halia *
1 1/2 sb serbuk kari daging - saya guna rempah kari Babas
Sedikit minyak untuk menumis
Garam secukupnya
2 sb air masak

Bahan - bahan adunan tepung:
1 cawan tepung gandum
Sebiji telur
2 titik pewarna kuning
4 sb santan kotak
2 sb minyak jagung
Air secukupnya

Cara - cara:
1.  Tumbuk bahan bertanda * hingga lumat. Panaskan sedikit minyak dalam kuali tak lekat. Masukkan bahan tumbuk dan tumis hingga naik bau. 


2. Masukkan pula serbuk kari.  Tambah 2 sudu air jika rempah.  Kecilkan api. Kacau hingga terbit minyak.  
3. Masukkan daging dan kacau lagi hingga masak sempurna. 
4. Angkat dan sejukkan sebentar. Sementara itu kita satukan tepung, telur, pewarna kuning, minyak jagung dan santan dalam mangkuk. 
5. Tuang air kedalam adunan sedikit-sedikit. Kacau hingga sebati. Adunan biarlah cair sedikit. Boleh juga dikisar sebentar menggunakan blender.
6. Masukkan bancuhan adunan tadi ke dalam teko atau bekas bermuncung supaya senang untuk kita menuangnya ke dalam acuan nanti.
7. Panaskan acuan dengan api yang kecil. Oleskan sedikit minyak ke dalam acuan dengan menggunakan daun pandan yang diikat pada bahagian atasnya dan digunting sedikit bahagian bawahnya. 


8. Tuang 1/3 bancuhan tepung ke dalam acuan. Letak  1/3 inti daging. Terpulang nak letak banyak mana. Taburkan daun sup. Akhir sekali letak sekeping hirisan lada merah ke atasnya. Tekan sedikit supaya tidak tertanggal. Tutup acuan dengan tutup periuk. 
9. Angkat kuih dengan menggunakan lidi. Dengan lidi yang sama kita boleh periksa kuih sedia masak dengan mencucuk di bahagian tengahnya. Sekiranya lidi keluar bersih dan licin, dah masakla tu.

Sedia dihidang..

Saya selalu bertanya kepada mak kenapa mesti nak letak hirisan cili merah di atasnya? Jawapan mak supaya kuih kita kelihatan lebih menarik. Tak percaya cuba tengok gambar di bawah ini. Sebahagian dengan hirisan lada merah dan sebahagian lagi dengan hirisan lada hijau sahaja.. Sebelum itu, kepada yang sudi selamat mencuba......♡♡





Thursday 17 April 2014

KUETIAU HAILAM SIMPLE

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera


Sejak akhir-akhir ni menu ala carte jadi pilihan. Banyak tugasan hakiki menunggu. Tapi jangan biarkan dapur kita tak berasap pula.

Bila masak ringkas-ringkas begini dan habis dimakan sebaik sahaja dihidangkan memang boleh mengubat rasa letih sepanjang hari. 

Ada dua sebab masakan kita masak licin tanpa meninggalkan sedikit baki. Pertama memang sedap. Kedua tengah lapar...hehehe..ini hanya teori saya ye...

Jom semak resepi mudah ala campak-campak je ni..


KUE TIOW HAILAM MUDAH
Oleh: Che'gu Mama

Bahan-bahan:
1/2 bungkus kue tiow kasar - dibasuh dan ditoskan
4 ekor sotong - di potong tiga setiap satu
10 ekor udang - saiz sederhana
5 ketul bebola daging - dibelah dua
sebatang fishcake - dihiris 
sepokok sawi hijau 
sebiji tomato - belah empat
2 ulas bawang putih - diketuk
2 biji telur
cendawan tiram
2 sb sos tiram
2 sb sos tomato
kicap masin secukupnya

Cara - cara:


  1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis bawang putih hingga naik bau.  
  2. Masukkan sos tiram. Sos tomato dan kicap masin secukupnya serta 2 mangkuk air. Apabila mendidih masukkan pula bebola daging,  fishcake,  udang dan sotong. Kacau rata. Kemudian masukkan pula batang sawi terlebih dahulu. 
  3. Pecahkan telur satu persatu. Tunggu sebentar sebelum di kacau rata. 
  4. Apabila udang dan sotong telah bertukar warna,  masukkan pula kue tiow, cendawan tiram, tomato dan daun sawi. 
  5. Siap untuk dihidangkan.. 
  6. Jika mahu lebih pedas bolehlah dimasukkan beberapa biji cili pada yang telah diketuk.  

Kepada yang sudi selamat mencuba .... ♡

Tuesday 15 April 2014

SIAKAP KUKUS ALA THAI

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera 


Kalau anda sedang mengawal pemakanan bolehlah mempertimbangkan hidangan ikan kukus ni. Memang resepi yang dikongsi oleh blogger masakan terkenal Che Mat Gebu ni cukup rasanya. Masam, masin dan pedas memang seimbang.  Saya juga ada menambah sayuran dalam masakan ni. Senangkan..2 dalam 1. Hehehe...

Sejujurnya saya memang tak suka dan tak akan makan ikan siakap yang dimasak stim atau kukus sebab akan terasa kehanyirannya di tekak saya. Tapi oleh kerana perkongsian resepi yang enak ini, memang akan adalah siaran ulangannya.

Mari lihat resepinya yang akak ambil dari Myresepi...

SIAKAP KUKUS ALA THAI
Sumber: Che Mat Gebu
Oleh: Che'gu Mama

cara-cara:
  • 1 ekor ikan siakap (ikan merah/kerapu atau ikan bawal putih pun ok)
  • 1/2 camca teh garam
  • 1/2 camca teh tepung jagung
  • 1/2 camca teh lada sulah
  • 3 camca besar jus limau kasturi*
  • 1 1/2 camca besar minyak masak*
  • 1 1/2 camca teh gula*
  • 1/2 camca teh garam*
  • 5 - 10 biji cili padi, dihiris*
  • 2 batang serai, dihiris halus*
  • 1/2 kuntum bunga kantan, dihiris* (saya tak letak)
  • 1 helai daun limau purut, dihiris halus*
  • 1/2 inci halia muda. dihiris halus*
  • 2 ulas bawang putih, dihiris halus*
  • 1/2 camca teh tepung jagung*
  • 1/2 camca teh serbuk pati ikan bilis atau 1/2 kiub pati ikan bilis maggi*.
  • Segenggam cendawan tiram (saya tambah)
  • 1/3 batang lobak merah dihiris mancis nipis-nipis (akak tambah)

Cara-cara

  1. Ikan dicuci bersih dan lumurkan dgn garam, tepung jagung dan serbuk lada sulah. Ketepikan sementara membuat sosnya.
  2. Dalam satu bekas satukan kesemua bahan sos (yang bertanda '*") hingga sebati. Ketepikan.
  3. Panaskan kukusan dan sediakan bekas tahan panas. Letak ikan tadi ke dalam bekas tahan panas dan tuangkan sosnya rata termasuk bahagian dalam belahan perutnya. Kukus kurang lebih 10 minit bergantung pada saiz ikan atau apa bila daging ikan bertukar menjadi putih. Lebih kurang 3 minit sebelum api dimatikan, bolehlah di tuang sayuran ke atas ikan. Siap untuk dihidangkan dengan nasi hangat.
  4. Selok-eloknya dimakan segera selepas proses mengukus.

Pada hari lain, siaran ulangan dengan meletakkan tomato dan lobak bersama ikan yang dikukus..


Yang sudi selamat mencuba. Rugi tak cuba resepi yang sangat enak ini....

Monday 14 April 2014

NASI AYAM GORENG MUDAH DAN SEDAP

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera. 

Pagi ni saya bersarapan dengan nasi ayam goreng. Haa..jangan terperanjat pulak. Hehe bila dah makan hidangan berat ni jawabnya lambatlah sikit nak ambil nasi untuk slot seterusnya. Memandangkan si kecil meragam sejak malam tadi jadi saya masak siap-siap awal pagi tadi merangkap bekal ke sekolah. Untuk en.suami juga dapatlah bawa bekal nasi goreng ke opis pagi ni. 



Untuk memasak nasi ayam goreng mudah ini hanya mengambil masa sekejap sahaja. Saya menggunakan baki nasi ayam yang telah saya masak semalam. Dapatlah lebih kurang 3 cawan. Kalau tak ada nasi ayam kenalah pergi beli dulu nasinya..

Mari semak resepi nasi ayam goreng yang ringkas sahaja penyediaanya ini. 

NASI AYAM GORENG MUDAH 
 Oleh : Che'gu Mama

Bahan - bahan :
3 cawan nasi ayam
3 ulas bawang putih *
3 biji cili padi merah *
1 biji bawang besar didadu
4 sb cili kisar
1 sb sos tiram
1 keping isi ayam goreng yang dihiris nipis 
Garam secukup rasa

Cara - cara :
1.  Tumbuk bahan * hingga lumat.
2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali.  Tumis bawang besar dan bahan tumbuk hingga naik bau. 
3.  Masukkan cili kisar.  Kacau sampai terbit minyak.  Masukkan pula sos tiram dan garam.  Gaul rata.  
4. Masukkan isi ayam. Kacau lagi hingga sebati.  
5. Akhir sekali masukkan nasi ayam. Kacau rata dan sedia untuk dihidang kan. 



Hidangkan bersama daun salad, hirisan tomato dan timun serta ayam goreng yang telah dipotong-potong. Curahkan sambal lada ke atas ayam goreng tadi.. selamat mencuba....

Saturday 12 April 2014

KEMBUNG MASAK TAUCU PEDAS

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera

Semalam punya cerita.  Hujan lebat membasahi bumi Taman U ni.. Perut mula berkeroncong. Bila tinggal dengan anak-anak memang masak campak-campak jela jawabnya.. 



Ikan kembung goreng dengan kicap lemak manis untuk anak - anak.  Mamanya pula mesti nak yang pedas-pedas sikit. 

Mari kita semak resepi yang ringkas ini. Saya guna ikan kembung batu. Boleh juga ditukar dengan ikan lain ikut pilihan anak tekak masing - masing ye. Tapi kenela tukar resepinya menjadi ikan ___________ masak taucu pedas. Hehehe 

KEMBUNG MASAK TAUCU PEDAS
Oleh : che'gu mama

Bahan - bahan :
4 ekor ikan kembung - dilumur garam kunyit dan goreng sebentar.
10 biji cili padi kampung - dihiris (boleh kurangkan jika tak tahan pedas)
3 ulas bawang putih - dihiris
Sebiji bawang besar belah dua dihiris 
2 inci halia - hiris nipis
1 sb taucu 
1 sb sos tiram
1 sb sos ikan
1 sb gula pasir
1 cawan air 

Cara - cara :
1.  Panaskan sedikit minyak dalam kuali.  Tumis bawang putih,  halia dan bawang besar hingga naik bau. Masukkan cili padi.  Kacau lagi.
2. Masukkan pula taucu dan sos tiram serta sos ikan. Masukkan air.
3. Tunggu hingga kuah mendidih baru masukkan gula pasir. Rasakan kuah. Seimbangkan rasanya. 
4. Tuang kuah atas ikan goreng yang telah disusun dalam pinggan. 

Sedia dinikmati. Makan dengan nasi panas-panas memang terangkat..boleh juga dinikmati dengan bubur nasi..



Kepada yang sudi selamat mencuba ☆ ......



Sunday 6 April 2014

SUP AYAM BEREMPAH

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera


Malam semalam masak yang ringkas-ringkas sahaja.  Lesu rasa badan. Dalam tempoh 1/2 jam sahaja hidangan makan malam telah sedia terhidang. Jika saya boleh kira, hampir tiga minggu kami tidak menjamu selera di luar. Sepanjang cuti sekolah yang baru ini juga kami hanya makan di rumah sahaja. 

Saya makan sup ini  bersama roti. Manakala en.suami menghirup sup begitu sahaja.  Pun begitu saya tidur kekenyangan malamnya. 


Jom kita semak resepi yang ringkas ini. Pilihan sayur bergantung pada citarasa masing - masing. 

SUP AYAM BEREMPAH
Oleh : che'gu mama

Bahan-bahan:
4 ketul ayam dipotong kecil-kecil (potong sup)
2 biji kentang - dibelah 8
1/2 batang lobak - di potong kasar
2 batang celery - hiris kasar
3 sb rempah sup
1 rempah sup bunjut
1/2 sb serbuk lada hitam kasar
1 batang kulit kayu manis
1 biji bunga lawang
2 biji buah pelaga
3 sb bawang goreng yang digoreng
sendiri
3 mangkuk air
daun bawang - tak letak
daun sup  - tak letak
garam

kisar:
4 ulas bawang putih
1 inci halia

cara-cara:
  • Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan kisar, buah pelaga, kulit kayu manis dan bunga lawang hingga naik bau. 
  • Masukkan rempah sup dan kacau hingga terbit minyak. Masukkan ayam kacau hingga bertukar warna. Sila kawal api. 
  • Kemudian masukkan pula air, rempah bunjut, serbuk lada hitam dan kentang. Apabila kentang sudah separa masak masukkan lobak diikuti cellary.  
  • Masukkan garam secukupnya. Tutup api dan sedia untuk dihidang.
  • Taburkan bawang goreng, hirisan daun bawang dan daun sup senasa menghidang. 

Lebih sedap dicicah dengan roti bantal. Tapi roti sandwich sahaja yang ada, jadilah..kepada yang sudi selamat mencuba....



Thursday 3 April 2014

JUS EPAL HIJAU CELERY

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera


Mari cuba jus yang sedap dan sesuai untuk yang sedang berdiet. Saya berdiet jugak sebab en.suami kini mula berdiet. Walaupun saya sebenarnya perlu mencapai berat unggul, tapi atas faktor kesihatan tak salah mengamalkan pemakanan sihat. Maklumlah biasanya orang kurus ni, kolesterol tinggi. Hahaha...

JUS EPAL HIJAU CELLARY
oleh: Che'gu Mama

Bahan - bahan :
1 biji epal hijau - dibasuh dan potong kecil-kecil.  Buang sekali bahagian tengahnya. 
1 batang cellary - dipotong kasar-kasar
2 cawan air masak 

Cara- cara :
  1. Masukkan semua bahan dalam blender dan kisar sampai halus.
  2. Tapis dengan penapis kopi. Sedia untuk diminum. Boleh juga dicampur dengan beberapa ketul ais kiub.
  3. Saya tak masukkan serdaknya. Takut tersedak....
Yang sudi selamat mencuba...♡



Wednesday 2 April 2014

MEE KARI

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera..

Makan apa hari ni? Menu ala carte menjadi pilihan daku hari ni. Selain mudah penyediaannya resepi ini dapat menghasilkan kuantiti yang banyak. Yelah kalau kita makan di kedai, memang tak dapatlah menambah-nambah. Makan apa yang dihidangkan sahaja. Kalau teringin nak menambah, kenalah bungkus dan bawa balik. Yang pasti memang akan menipiskan duit poket la jawabnya.. :-)


 

Resepi mee kari ni saya rujuk daripada blog kak Azlita si cantik manis tu..Kawan-kawan boleh lihat di sini ye. Dah banyak kali saya masak hidangan ni menggunakan resepi beliau. Memang sedap dan kena dengan tekak kami sekeluarga. Menurut beliau resepi ini diperolehi daripada kakak ipar beliau yang bernama kak Yati.  Terima kasih kepada kedua-duanya atas perkongsian resepi yang sangat sedap ini.. Masih terasa-rasa keenakkan mee kari ni... nyum nyum..



Dek kerana keenakkan mee kari ni, saya terlupa nak mengambil gambar. Teruja sangat nak menikmati mee kari kerang. Aroma kuahnya memang menusuk hidung hingga tak sabar untuk menjamah dengan segera. Akhirnya bila teringat, hanya tinggal semamgkuk kecil sahaja yang dapat berposing dalam blog saya ni..hihihi. Jadilah kan.. yang penting setiap gambar dalam blog saya ni merupakan hasil air tangan saya sendiri.. no curik-curik gambar orang lain ye...

MEE KARI KERANG
sumber : Kak Azlita
Oleh: Che'gu Mama

8 ulas bawang merah - dikisar
4 ulas bawang putih - dikisar
10 tangkai cili kering - dikisar
1 cwn udang kering - direndam n dikisar
1 cawan rempah kari daging - ita guna BABAS
1 biji santan
2 inc halia - dititik
2 inc lengkuas - dititik
2 btg serai - dititik
3 kpg asam keping

garam dan gula secukup rasa
1/2 kg daging - ita guna batang pinang
10 ekor udang - yg besar  (saya tak letak)
fish ball - (saya guna chicken ball ;-)
kerang
tauhu sponge yg dah goreng - (tak letak)

Bahan dimakan bersama
Mee kuning
Timun dihiris halus - (tak letak)

Tauge
Telur rebus 
Daun sup dan daun bawang - dihiris halus
Bawang goreng
Limau kasturi
Cili Jeruk - jika suka - (tak letak juga)

Cara-cara:
  1. Tumis bahan yg dikisar hingga garing dan naik bau.
  2. Masukkan rempah kari daging yg tlh dibancuh dgn air, halia,lengkuas dan serai.
  3. Masukkan air dan biar ia didih.
  4. Masukkan daging dan biar hingga daging empuk (jika tak pakai daging batang pinang rebus daging terlebih dahulu n masukkan dgn air rebusan sekali).
  5. Kemudian masukkan santan dan asam keping dan biar hingga merenih.
  6. Masukkan udang, kerang dan fish ball.
  7. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
  8. Akhir sekali masukkan tauhu sponge.(saya skip)
  9. Biarkan kuah mendidih
Sedia dihidangkan.Mee Kari ni di makan bersama mee kuning, timun, tauge, telur, taburan bawang goreng dan hirisan daun sup n daun bawang. Perahkan limau kasturi untuk mendapatkan rasa dan aroma yg enak... kalau nak lagi pedas bolehlah dimakan bersama cili jeruk.

 Meh cuci mata sekali lagi..kepada yang sudi selamat mencuba... daa