Thursday 25 July 2013

MEE SUP BEBOLA DAGING MUDAH

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera

Makan apa hari ni? Bila kemalasan melanda jawabnya saya akan mengsms en.suami dan minta pandangan dia.Kira talian hayat la kan. 

Atas cadangan en.suami maka terhasillah mee sup bebola daging sebagai juadah iftar kami. Mudah penyediaanya. Sesuai la dengan situasi saya yang balik pada jam 5.50 petang setiap hari sepanjang bulan Ramadhan ni. 
 

Pun begitu saya sangat bersyukur kerana tak perlu menghadap kesesakkan lalulintas setiap kali pergi dan balik ke tempat kerja seperti rakan-rakan yang lain. Alhamdulillah kami dapat membeli rumah yang tak berapa besar namun cukup selesa yang mana jaraknya hanya 800meter ke sekolah di tempat saya mengajar. 

 

Hidangan ni memang sesuai dimasak tatkala kita dihambat waktu yang singkat. Yela bila balik keje ambil anak-anak kemudian nak siapkan juadah iftar pulak. Melayan kerenah anak-anak yang seharian ditinggalkan di taska..Aduh boleh terhangus masakan kita di dapur..

Saya seboleh-bolehnya berusaha untuk menyediakan juadah berbuka dengan mengurangkan pengaliran wang keluar di bazar ramadhan. Jika sesekali melangkah kaki ke sana pasti melayang RM30 dan yang pasti akan ada makanan yang di tong sampahkan. 

Biarlah masakan kita ringkas namun hasilnya dapat mengembirakan orang-orang yang kita sayang. Hmmm.. jom kita semak resepi mee sup bebola daging yang mudah ni. Saya guna bebola ready made je. Memang senang. Pastikan kita beli yang HALAL ye..

MEE SUP BEBOLA DAGING
Oleh: Che'gu Mama

Bahan-bahan(4 orang makan )
  • 1/2 kg mee kuning yang kasar di celur dengan air mendidih sekejap kemudian dibilas dengan air paip dan ditoskan boleh juga digantikan dengan bihun atau kue tiow]

Kuah Sup 

Bahan-bahan
  • 4 biji bawang merah - dihiris
  • 2 ulas bawang putih - dihiris 
  • seinci halia - diketuk sedikit
  • seinci lengkuas - diketuk sedikit 
  • rempah 4 sekawan
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 1 biji bunga lawang
  • 2 biji buah pelaga
  • 1/2 kg bebola daging
  • 1 keping fishcake - dihiris nipis
  • 1 ketul kiub ayam 
  • air secukupnya 
  • Garam secukup rasa 

Cara-cara
1. Panaskan sedikit minyak di dalam periuk. Tumiskan hirisan bawang bersama lengkuas dan halia.
2. Masukkan air. Kuantiti air bergantung ye.
3. Masukkan kiub ayam, bebola daging dan fishcake tunggu hingga kuah mendidih rasakan masin kuah. Tambah garam mengikut keperluan.
4.  Panaskan 2 sudu minyak di dalam kuali. Tumis rempah empat sekawan.  Masukkan ke dalam kuah sup bersama minyaknya sekali kacau sebentar dan tutup api. 
*Kenapa saya masukkan empat sekawan paling akhir? jawapannya bagi mengekalkan bau wangi bahan tersebut dalam kuah sup. Ini  emak saya yang ajar.


Sambal Kicap Berdesing
Bahan-bahan
  • 1/2 cawan cili padi kampung 
  • 5 sb bawang goreng yang di buat sendiri
  • Kicap masin
  • Kicap lemak manis

cara-cara
1.Kisar cili padi dan bawang goreng dengan menggunakan blender kering. 
2. Tuang bahan kisar dalam mangkuk dan campurkan dengan kicap masin dan kicap manis.
3. Imbangkan rasa masin, manis dan pedas.
* Boleh buat banyak-banyak dan simpan dalam esbok untuk digunakan lain kali. Selalunya akak buat sampai satu bekas botol kuih raya yang tutup merah tu kemudian simpan. Boleh tahan hingga 3 bulan. Untuk menjaga kualiti sambal kicap ni pastikan sudu yang digunakan untuk mencedok sambal bersih dan kering. Boleh dimakan bersama bubur lambuk, tempe goreng, pisang goreng, keledek goreng dan yang sewaktu dengannya. Tak larat nak taip semua. hu3..Pastikan kita gunakan bawang goreng yang dibuat sendiri ye. Harum je bau sambal kicap berdesing ni nanti.

Bahan sampingan
  • 2 keping tauhu dipotong dua kemudian di goreng sekejap
  • dua pokok daun sawi basuh bersih dan dipotong kemudian di celur sekejap
  • dua genggam taugeh buang akar juga dicelur sekejap
  • sedikit hirisan daun sup dan daun bawang  
  • bawang goreng secukupnya

Cara menghidang:
Isi mee dalam pinggan. Letakkan sayur sawi, tauhu dan taugeh kemudian tuangkan sup di atasnya. Akhir sekali taburkan bawang goreng yang dibuat sendiri serta sedikit hirisan daun sup/ daun bawang dan sambal kicap berdesing.

Sedap dimakan panas-panas.

 

Kepada yang sudi selamat mencuba..

Selamat berbuka puasa dan menjalani ibadah puasa dengan sabar..

4 comments: