Wednesday, 12 February 2014

MANIK BLOOMING DEENA #2

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera


Agak lama saya nak menyiapkan baju ni dek kerana kekangan masa dan kesihatan  yang tak mengizinkan untuk menyiapkan dalam masa yang singkat. Sebenarnya saya lebih suka kalau customer akak letakkan due date daripada .. "alah siapkan bila-bila pun tak pe. Belum nak pakai lagi.." 
Jawabnya memang berkurun la saya nak siapkan. Ampun ye customer ku sayang...


Sayasuka dengan material kain dan gabungan warna coraknya. Cantik dan manis sekali. Owh..daku hanya mampu melihat baju-baju customer ku yang sangat vouge gitu..


Selain menjahit manik blooming deena di bahagian lengan saya juga telah diminta untuk meperincikan motif bunga di bahagian hadapan baju. Ada yang bertanya kenapa deena? owh.. sempena nama anak saya yang kedua. Irdina..Masa baby dulu dia sangat comel dan gebu. Jadi terhasillah nama blooming deena tu..huhuhu..

Nasihat saya, menjahitlah dengan ikhlas dan sentiasa rasa seolah kita menjahit atas baju kita sendiri. Oleh itu kita akan hasilkan jahitan yang kemas dan cantik pada pandangan mata....
Jumpa lagi...


Saturday, 8 February 2014

MANIK LACE #2

Assalammualaikum Wbt dan selamat sejahtera

 
Menjahit manik pada lace nampak macam kerja mudah. Tetapi boleh tertusuk jarum ke jari kalau tak berhati-hati. Kadang-kadang kita terpaksa buka semula jahitan yang telah siap bila lihat kejadiannya menyakitkan mata. Belum lagi masuk bab jarum patah sewaktu menjahit. Tambah sakit hati bila benang bersimpul. Tapi itulah cabaran menjahit manik ni. Belum lagi faktor halangan luaran. Contohnya, gangguan anak kecil, kerja - kerja hakiki dan lain-lain.


Sebenarnya kos menjahit lace agak mahal kerana harga lace juga ada pelbagai. Jika mahukan lace seperti di dalam gambar ni harganya mencapai RM30 ++ per meter. Untuk menjahit pada kedua belah tangan cukup 3/4 meter lace. Jika perlukan tambahan hingga ke bawah baju seperti ini saya menggunakan hingga 2 meter lace. Harga belum termasuk manik dan upah jahit. Beaders yang memang dah lama dalam bidang ni tahulah berapa harga upahnya. 


Bagi adik-adik yang baru nak berjinak-jinak dalam bidang jahitan manik ni, kena rajin buat kira-kira sendiri. Biarlah harga yang diletak berbaloi dengan kudrat kita menjahit, memilih sebiji demi sebiji manik yang kecil-kecil tu dan masa yang diperuntukan untuk menyiapkan satu-satu baju. Jangan ambil hati kalau ada pelanggan yang merungut harga yang diletakkan mahal. Jelaskan SOP kita dalam menyiapkan kerja-kerja manik ni..Paling penting pastikan kualiti jahitan setimpal dengan harga ye..

Saya pun tak berapa pandai,  tapi berdasarkan pengalaman yang telah saya kutip sepanjang hampir lapan tahun menjahit manik.   Sekarang ni dalam proses memperlahankan aktiviti menjahit ni bagi menumpukan agenda yang lebih penting. Agenda apakah?? biarlah rahsia...hehehe..

Hingga jumpa lagi..

Tuesday, 4 February 2014

SAMBAL KICAP BERDESING

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera

  
Sambal kicap memang sentiasa ada dalam peti sejuk saya. saya ni terikut-ikut dengan cara emak. Kalau di kampung, memang sambal ni macam sos. Mesti ada. Mana taknya abah  tanam keladi dan pisang sekeliling rumah. Setiap kali abah menuai hasilnya memang banyak. Kami memang dah terbiasa bersarapan keladi goreng atau pisang goreng sejak dari kecil-kecil lagi. 

Dulu saya memang tak suka sangat makan keladi ni. Maklumlah dah selalu sangat makan. Sekarang ni memang rindu nak makan keladi goreng yang ditanam abah dan menikmati juada gorengan hasil air tangan emak. Justeru, bila nak masak sendiri, kenalah  siapkan sambal ni awal-awal. Bila nak makan, ambil sahaja dari peti sejuk.

Orang Johor makan pisang goreng,keledek goreng dan sukun goreng dengan sambal kicap tau. Bukan setakat tu, bubur lambuk pun mesti nak ada sambal ni. Makan mee/ bihun sup juga nak ada sambal ni. Jadi memang tak rugilah kalau kita buat banyak-banyak dan simpan dalam peti sejuk.

Banyak lagi kegunaannya. Jika nak buat kuah rojak, hanya tumbuk kan kacang tanah yang telah di goreng bersama sedikit belacan bakar kemudian digaulkan sekali dengan sambal kicap ni. 

Resepi saya ni memang tak campur dengan limau kasturi. Ditempat  kami limau kasturi di panggil limau sambal. Jika suka, boleh diperah sedikit jus limau ni. Jom kita semak resepi sambal kicap berdesing ni. 

Sambal Kicap Berdesing
Oleh: Che'gu Mama

Bahan-bahan :
semangkuk cili padi 
1/2 mangkuk kecil bawang goreng yang digoreng sendiri
kicap manis secukupnya
kicap masin secukupnya

Cara-cara:
1. Bersihkan cilipadi. Buang tangkai separuh bahagian  sahaja. (petua orang tua-tua bagi mengelakkan sakit perut akibat makan cili) 
2. Blender cili dan bawang goreng dengan blender kering hingga lumat.
3. Tuang bahan yang telah diblender ke dalam bekas. 
4. Tuangkan kicap manis diikuti kicap masin. Rasakan mengikut citarasa. Sesiapa yang suka manis-manis pedas, lebihkan kicap manis.


Tutup bekas kedap udara daan simpan dalam peti sejuk. Tahan hingga tiga bulan. Jika tidak mahu cepat rosak, pastikan sudu yang kita gunakan setiap kali hendak mengambil sambal kicap dari bekas simpanan dalam keadaan kering dan bersih. Ini petua emak saya.

Harus diingat, jika nak makan, kena beringat-beringat ye. Memang berdesing telinga disebabkan kepedasannya..

Selamat mencuba..

Monday, 3 February 2014

MEE GORENG MAMAK

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera

 
Oleh kerana cuti sekolah sempena perayaan tahun baru cina ni masih berbaki dua hari lagi, saya memang tak ada plan nak kemana-mana. En.suami pun outstation lagi. Nampaknya menu ala carte jadi pilihan. Masak sekali untuk breakfast dan lunch. Senang kerja..

Memandangkan ada stok mee kuning dalam peti sejuk, jadi saya hanya masak mee goreng mamak untuk diri sendiri. Manakala anak-anak nak makan nasi putih dengan ayam goreng sahaja.

Resepi mee goreng mamak ni saya ambil dari buku 1 hari 1 resepi hasil tulisan cef Hanieliza. Kebanyakan resepi dalam buku tersebut telah saya  cuba. Alhamdulillah sedap dan yang penting ringkas dan In Syaa Allah menjadi. Jadi silalah beramai-ramai dapatkan buku tersebut di kedai-kedai buku berhampiran ye.. 

Tapi seperti biasa ada sahaja bahagian yang saya ubahsuai mengikut stok yang ada dalam peti ais..Jom kita lihat resepi mee goreng mamak yang ringkas ni. 

Mee Goreng Mamak
Sumber: Cef Hanieliza
Oleh: Che'gu Mama


Bahan-bahan:
1/2 kg mee kuning kasar. Dibasuh bersih dan toskan
5 sb lada kisar
3 ulas bawang putih ditumbuk
200 gm daging batang pinang dihiris nipis
2 sb serbuk kari daging - campur dengan sedikit air
3 pokok sawi
2 biji telur
sebatang cili merah- dihiris nipis
2 genggam taugeh - buang kepala dan akar. cuci bersih
2 keping tauhu - belah dua digoreng sebentar kemudian di potong sederhana nipis.
Garam secukup rasa
2 sb kicap masin.

Cara-cara:
  1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. 
  2. Goreng bawang putih hingga naik bau. Masukkan lada kisar hingga garing. 
  3. Kemudian masukkan pula serbuk kari. Api dikecilkan sedikit bagi mengelakkan pes hangit. 
  4. Apabila terbit minyak, masukkan pula daging batang pinang. Gaul dengan sudip dan biarkan sebentar hingga empuk.
  5.  Masukkan pula batang sawi dan tauhu. kacau rata. 
  6. Masukkan pula garam secukupnya dan kicap masin. 
  7. Kemudian masukkan pula mee kuning. kacau rata. Pecahkan telur ke dalam mee dan gaul sekali lagi.  
  8. Akhir sekali masukkan daun sawi, hirisan lada merah dan taugeh. Kacau rata-rata dan tutup api. Cukup sekadar sawi sedikit layu.

 

Angkat. Sedia untuk dihidangkan. Enak dimakan bersama hirisan timun, diperah sedikit limau kasturi dan sedikit sos cili. 
Kepada yang sudi selamat mencuba.. Selamat bercuti .. =)



Sunday, 2 February 2014

UDANG GORENG TEPUNG

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera



Hari ni saya nak kongsi satu lagi resepi yang menjadi kegemaran kami sekeluarga iaitu udang goreng tepung. Kalau makan di kedai maunya RM20-30 jugak harganya.Apatah lagi sekarang ni harga pasaran udang di pasar sudahpun mencecah RM36 per kg.
Waah...gigit jari le nampaknya nak makan kat luar. Tapi hendak seribu daya.. 
Saya lebih suka membeli udang di pasar basah di Taman U ni. Selain segar, kita boleh pilih sendiri udang-udang yang nak dibeli. Teringat pernah sekali dulu akak beli udang di sebuah mart di Tampoi.. Kalau tak silap waktu tu harga udang RM18 per kg. tu pun da kira saiz L. saya beli 1 kg. "Tak boleh pilih." Kata penjual di kedai tersebut sambil  mengaut masuk  udang ke  dalam plastik. Tapi bila tiba dirumah,  memang kecewa sangat. Nak siang pun tak bersemangat. Sebabnya hanya ada 5 ekor je udang bersaiz L. Yang lain-lain saiz kecik-kecik. "owh...tipah tertipu bang.." 

Okey jom kita semak resepi yang ringkas dan InsyaAllah menjadi kegemaran ahli keluarga.

Udang Goreng Tepung
Oleh: Che'gu Mama

Bahan perapan udang
300 gm udang saiz L
2 sk serbuk lada hitam
1/2 sk garam

Cara-cara:
  1. Udang dibersihkan. Buang kulit tinggalkan kulit bahagian ekor sahaja. 
  2. Toskan kering-kering. Perap dengan bahan di atas selama 20 minit.

Bahan tepung :
1 cawan tepung naik sendiri
2sk serbuk lada hitam 
1/2 ketul kiub ikan bilis di hancurkan
air secukupnya

cara-cara:
  1. Panaskan minyak. 
  2. Campurkan semua bahan dalam mangkuk. Masukkan air. Adunan jangan terlalu cair ye. Nanti bila masak dia tak berapa gebas gebus. 
  3. Celup udang ke dalam adunan dan masukkan ke dalam kuali. Masukkan satu persatu ye. 
  4. Goreng hingga kekuningan. 
  5. Sedia diangkat dan toskan minyak di atas kertas tisu dapur. 
Hidangkan bersama sos pilihan. Bestkan? Kepada yang sudi selamat mencuba...