Tuesday, 4 August 2015

Menu berpantang #8 spaghetti sama ayam masak halia

Assalammualaikum dan selamat sejahtera


Sesekali anak tekak ni teringin nak makan mee.. maklumlah musim raya begini ramai tuan rumah menyediakan hidangan berasaskan mee yang menggoda tekak saya. Namun, terpaksalah ku pendam. Hahaha..

Teringat semasa di ward tempoh hari. Sebaik sahaja balik dari dewan bersalin, pagi itu saya dihidangkan dengan mee goreng. Saya memang takut nak makan. Cuma minum milo yang dicicah dengan roti kosong. Akhirnya saya dimarahi oleh sister. Huhuhu.. Katanya apa yang kita makan sewaktu mengandung boleh dimakan selepas melahirkan. Kecuali makanan tersebut memberi kesan alahan kepada badan kita.. hrmmm...  Serba salah dibuatnya..

Spagetti dengan ayam masak halia
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
Secekak spagheti (saya guna jenama kimbal)
1 keping dada ayam (dihiris kecil-kecil)
1 labu bawang besar belah dua dan dihiris nipis
1 ulas bawang putih dihiris
2 inci halia muda hiris mancis
1sk sos lada hitam
Secubit garam
Minyak zaiton

Cara-cara:
1. Didihkan air dalam kuali. Apabila air sudah betul-betul mendidih, masukkan spagheti. Masukkan juga 1sk garam. Celur hingga spagheti lembut, angkat dan gaulkan dengan 1sb minyak zaiton. Ketepikan.
2. Tumiskan bawang putih dan halia hingga naik bau. Kemudian masukkan hirisan ayam. Kacau hingga ayam separa empuk.
3. Masukkan bawang besar, sos lada hitam dan perasakan dengan garam.
4. Tutup api da sedia untuk dihidang..

Nah... Senang bukan. Kepada yang sudi selamat mencuba... (*˘︶˘*)





Saturday, 1 August 2015

Menu berpantang #7 bening sawi dengan tempe

Assalammualaikum dan selamat sejahtera

Hari ni saya kongsikan satu hidangan yang lazat juga sebagai milk booster atau penggalak susu bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi. Seperti yang kita ketahui sawi boleh menambahkan susu badan begitu juga dengan tempe, jadi memang sesuailah menu ini dimakan semasa dalam pantang.


Hidangan ini sangat mudah dan boleh di makan seisi keluarga. Makan dengan nasi panas-panas... Aduh enak sungguh... 

Bening sawi dengan tempe.
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
2 pokok sawi (dibersihkan dan potong ikut suka)
2 keping tempe kampung (potong dua kemudian potong dadu)
2 ulas bawang putih dihiris
2 biji bawang merah dihiris
10 ekor ikan bilis di bersihkan
1 cawan air
Secubit garam

Cara-cara:
1. Masukkan semua bahan kecuali sawi ke dalam periuk kemudian masak atas dapur. 
2. Apabila kuah mendidih masukkan sawi. Masukkan juga garam secukupnya. Kacau rata dan segera tutup api.

Masakan ini tak perlu dimasak lama nanti hilang zat zat yang terdapat pada sayur.   

Sedia dihidang. Kepada yang sudi selamat mencuba... 





Friday, 31 July 2015

Menu berpantang #6 roti bakar kapit keju

Assalammualaikum dan selamat sejahtera..

Masuk minggu ke 3, saya dah mula mempelbagaikan menu, Hihi maklumlah sesekali tekak ni nak juga makan hidangan bervariasi. Siapa kata menu orang berpantang ni membosankan. Yang penting kita kene ambil tahu menu yang bersesuaian dengan badan kita. 

Ye la, ada orang dalam pantang tak boleh makan ikan. Tapi boleh makan ayam sahaja. Begitu juga sebaliknya. Janganlah kita pandai- pandai mengata orang bila tengok cara berpantang mereka tak seperti kita. Ini kerana lain orang, lain ragam.. 


Menu tahap pejam mata ni, untuk hidangan sarapan pagi. Sangat mudah untuk disediakan. 

Roti Bakar Kapit Keju. 
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
2 keping roti gardenia
1 keping keju cheesedale
Secubit serbuk lada hitam

Cara-cara:
1. Bakar sekeping roti dalam magic pan hingga keperangan kemudian terbalikkan dan letak sekeping keju di atas bahagian yang keperangan tadi. Taburkan serbuk lada hitam. 
2. Dalam masa yang sama, bakar sekeping lagi roti di sebelahnya hingga keperangan. Kemudian, kapit bahagian keperangan tadi ke atas keju yang telah ditabur serbuk lada hitam. 
3. Terbalikkan roti dan bakar pula bahagian bawahnya hingga keperangan juga. 
4. Siap. Potong ikut suka. Sedia dihidang.

Saya makan bersama secawan hot chocolate.. nyum..nyum.. 

Kepada yang sudi selamat mencuba.. 

Monday, 27 July 2015

Menu berpantang #5 ikan bawal masak asam sama sayur sawi

Assalammualaikum dan selamat sejahtera

Hari ni saya nak kongsikan satu lagi resepi yang saya sediakan semasa dalam pantang. Menu ringkas-ringkas sahaja. Orang kata masa dalam pantang, jangan renyah nanti luka jahitan boleh terbuka, peranakan turun dan macam- macam lagilah... 

Tapi bagi saya yang berpantang sendiri dengan menjaga 2 orang anak lagi, terpaksalah aktif sikit. Dah tak boleh nak toleh kiri kanan kata orang. Tapi apa yang saya buat, sentiasa beringat dan masih berpandukan amalan berpantang tradisi lama. 


Ikan bawal masak asam
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
2 ekor ikan bawal putih* (lain2 jenis ikan boleh belaka asalkan bukan jenis gatal)
1 sk serbuk kunyit*
1 sk garam*
1 biji bawang besar dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
2 inci halia dihiris 
1/2 mangkuk air asam jawa
2 sb minyak zaiton

Cara-cara:
1. Satukan bahan bertanda * dalam mangkuk. 
2. Tuang sesudu minyak zaiton dalam magic pan, kemudian panggang ikan hingga masak. Sentiasa balik-balikkan pan supaya ikan tidak hangus. 
3. Dalam kuali, tuang sedikit minyak zaiton, kemudian tumiskan bawang besar, bawang kecik dan halia hingga naik bau, kemudian masukkan air asam jawa. 
4. Kacau hingga mendidih, masukkan ikan yang telah dipanggang tadi. Kacau lagi hingga sebati.
5. Tutup api dan sedia dihidangkan. 

Kepada yang sudi, selamat mencuba.. (~>__<~)





Saturday, 25 July 2015

Menu berpantang #4 ikan bawal masak pindang

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera 


Menu ikan masak pindang memang sedap di makan dengan nasi panas. Oleh kerana saya berpantang sendiri dan encik suami tiada di rumah, kebanyakan hidangan yang saya masak tidak bertumbuk. Saya cuma hiris-hiris sahaja. 

Oleh kerana saya suka makan halia dalam pantang, jadi bahan hirisan tu memang saya kunyah sekali. Selain perut kenyang, khasiat daripada halia dapat mengeluarkan angin dalam badan manakala kunyit pula bertindak untuk menyembuhkan luka.. :-)

Disebabkan hari-hari makan sayur sawi, kali ini saya makan berulamkan ulam raja pula. Ulam raja ni saya tanam sendiri, jadi bila-bila rasa nak makan, petik sahaja... 

Ikan Bawal Masak Pindang 
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
2 ekor ikan bawal putih 
2 ulas bawang putih dihiris
2 biji bawang merah dihiris
2 inci halia dihiris bulat
1 inci kunyit hidup dihiris
1 keping asam keping
1 cawan air
Garam secukup rasa

Cara-cara:

  1. Satukan semua bahan yang dihiris bersama air dalam periuk. Kemudian hidupkan api. 
  2. Bila kuah sudah mendidih, masukkan ikan dan asam keping. Perasakan dengan garam. Kacau rata kuah. Bila ikan sudah masak, tutup api dan sedia untuk dihidangkan.
Kepada yang sudi, selamat mencuba...