Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera
Menu ikan masak pindang memang sedap di makan dengan nasi panas. Oleh kerana saya berpantang sendiri dan encik suami tiada di rumah, kebanyakan hidangan yang saya masak tidak bertumbuk. Saya cuma hiris-hiris sahaja.
Oleh kerana saya suka makan halia dalam pantang, jadi bahan hirisan tu memang saya kunyah sekali. Selain perut kenyang, khasiat daripada halia dapat mengeluarkan angin dalam badan manakala kunyit pula bertindak untuk menyembuhkan luka.. :-)
Disebabkan hari-hari makan sayur sawi, kali ini saya makan berulamkan ulam raja pula. Ulam raja ni saya tanam sendiri, jadi bila-bila rasa nak makan, petik sahaja...
Ikan Bawal Masak Pindang
Oleh: che'gu mama
Bahan-bahan:
2 ekor ikan bawal putih
2 ulas bawang putih dihiris
2 biji bawang merah dihiris
2 inci halia dihiris bulat
1 inci kunyit hidup dihiris
1 keping asam keping
1 cawan air
Garam secukup rasa
Cara-cara:
- Satukan semua bahan yang dihiris bersama air dalam periuk. Kemudian hidupkan api.
- Bila kuah sudah mendidih, masukkan ikan dan asam keping. Perasakan dengan garam. Kacau rata kuah. Bila ikan sudah masak, tutup api dan sedia untuk dihidangkan.
Kepada yang sudi, selamat mencuba...




