Monday, 14 April 2014

NASI AYAM GORENG MUDAH DAN SEDAP

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera. 

Pagi ni saya bersarapan dengan nasi ayam goreng. Haa..jangan terperanjat pulak. Hehe bila dah makan hidangan berat ni jawabnya lambatlah sikit nak ambil nasi untuk slot seterusnya. Memandangkan si kecil meragam sejak malam tadi jadi saya masak siap-siap awal pagi tadi merangkap bekal ke sekolah. Untuk en.suami juga dapatlah bawa bekal nasi goreng ke opis pagi ni. 



Untuk memasak nasi ayam goreng mudah ini hanya mengambil masa sekejap sahaja. Saya menggunakan baki nasi ayam yang telah saya masak semalam. Dapatlah lebih kurang 3 cawan. Kalau tak ada nasi ayam kenalah pergi beli dulu nasinya..

Mari semak resepi nasi ayam goreng yang ringkas sahaja penyediaanya ini. 

NASI AYAM GORENG MUDAH 
 Oleh : Che'gu Mama

Bahan - bahan :
3 cawan nasi ayam
3 ulas bawang putih *
3 biji cili padi merah *
1 biji bawang besar didadu
4 sb cili kisar
1 sb sos tiram
1 keping isi ayam goreng yang dihiris nipis 
Garam secukup rasa

Cara - cara :
1.  Tumbuk bahan * hingga lumat.
2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali.  Tumis bawang besar dan bahan tumbuk hingga naik bau. 
3.  Masukkan cili kisar.  Kacau sampai terbit minyak.  Masukkan pula sos tiram dan garam.  Gaul rata.  
4. Masukkan isi ayam. Kacau lagi hingga sebati.  
5. Akhir sekali masukkan nasi ayam. Kacau rata dan sedia untuk dihidang kan. 



Hidangkan bersama daun salad, hirisan tomato dan timun serta ayam goreng yang telah dipotong-potong. Curahkan sambal lada ke atas ayam goreng tadi.. selamat mencuba....

Saturday, 12 April 2014

KEMBUNG MASAK TAUCU PEDAS

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera

Semalam punya cerita.  Hujan lebat membasahi bumi Taman U ni.. Perut mula berkeroncong. Bila tinggal dengan anak-anak memang masak campak-campak jela jawabnya.. 



Ikan kembung goreng dengan kicap lemak manis untuk anak - anak.  Mamanya pula mesti nak yang pedas-pedas sikit. 

Mari kita semak resepi yang ringkas ini. Saya guna ikan kembung batu. Boleh juga ditukar dengan ikan lain ikut pilihan anak tekak masing - masing ye. Tapi kenela tukar resepinya menjadi ikan ___________ masak taucu pedas. Hehehe 

KEMBUNG MASAK TAUCU PEDAS
Oleh : che'gu mama

Bahan - bahan :
4 ekor ikan kembung - dilumur garam kunyit dan goreng sebentar.
10 biji cili padi kampung - dihiris (boleh kurangkan jika tak tahan pedas)
3 ulas bawang putih - dihiris
Sebiji bawang besar belah dua dihiris 
2 inci halia - hiris nipis
1 sb taucu 
1 sb sos tiram
1 sb sos ikan
1 sb gula pasir
1 cawan air 

Cara - cara :
1.  Panaskan sedikit minyak dalam kuali.  Tumis bawang putih,  halia dan bawang besar hingga naik bau. Masukkan cili padi.  Kacau lagi.
2. Masukkan pula taucu dan sos tiram serta sos ikan. Masukkan air.
3. Tunggu hingga kuah mendidih baru masukkan gula pasir. Rasakan kuah. Seimbangkan rasanya. 
4. Tuang kuah atas ikan goreng yang telah disusun dalam pinggan. 

Sedia dinikmati. Makan dengan nasi panas-panas memang terangkat..boleh juga dinikmati dengan bubur nasi..



Kepada yang sudi selamat mencuba ☆ ......



Sunday, 6 April 2014

SUP AYAM BEREMPAH

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera


Malam semalam masak yang ringkas-ringkas sahaja.  Lesu rasa badan. Dalam tempoh 1/2 jam sahaja hidangan makan malam telah sedia terhidang. Jika saya boleh kira, hampir tiga minggu kami tidak menjamu selera di luar. Sepanjang cuti sekolah yang baru ini juga kami hanya makan di rumah sahaja. 

Saya makan sup ini  bersama roti. Manakala en.suami menghirup sup begitu sahaja.  Pun begitu saya tidur kekenyangan malamnya. 


Jom kita semak resepi yang ringkas ini. Pilihan sayur bergantung pada citarasa masing - masing. 

SUP AYAM BEREMPAH
Oleh : che'gu mama

Bahan-bahan:
4 ketul ayam dipotong kecil-kecil (potong sup)
2 biji kentang - dibelah 8
1/2 batang lobak - di potong kasar
2 batang celery - hiris kasar
3 sb rempah sup
1 rempah sup bunjut
1/2 sb serbuk lada hitam kasar
1 batang kulit kayu manis
1 biji bunga lawang
2 biji buah pelaga
3 sb bawang goreng yang digoreng
sendiri
3 mangkuk air
daun bawang - tak letak
daun sup  - tak letak
garam

kisar:
4 ulas bawang putih
1 inci halia

cara-cara:
  • Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan kisar, buah pelaga, kulit kayu manis dan bunga lawang hingga naik bau. 
  • Masukkan rempah sup dan kacau hingga terbit minyak. Masukkan ayam kacau hingga bertukar warna. Sila kawal api. 
  • Kemudian masukkan pula air, rempah bunjut, serbuk lada hitam dan kentang. Apabila kentang sudah separa masak masukkan lobak diikuti cellary.  
  • Masukkan garam secukupnya. Tutup api dan sedia untuk dihidang.
  • Taburkan bawang goreng, hirisan daun bawang dan daun sup senasa menghidang. 

Lebih sedap dicicah dengan roti bantal. Tapi roti sandwich sahaja yang ada, jadilah..kepada yang sudi selamat mencuba....



Thursday, 3 April 2014

JUS EPAL HIJAU CELERY

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera


Mari cuba jus yang sedap dan sesuai untuk yang sedang berdiet. Saya berdiet jugak sebab en.suami kini mula berdiet. Walaupun saya sebenarnya perlu mencapai berat unggul, tapi atas faktor kesihatan tak salah mengamalkan pemakanan sihat. Maklumlah biasanya orang kurus ni, kolesterol tinggi. Hahaha...

JUS EPAL HIJAU CELLARY
oleh: Che'gu Mama

Bahan - bahan :
1 biji epal hijau - dibasuh dan potong kecil-kecil.  Buang sekali bahagian tengahnya. 
1 batang cellary - dipotong kasar-kasar
2 cawan air masak 

Cara- cara :
  1. Masukkan semua bahan dalam blender dan kisar sampai halus.
  2. Tapis dengan penapis kopi. Sedia untuk diminum. Boleh juga dicampur dengan beberapa ketul ais kiub.
  3. Saya tak masukkan serdaknya. Takut tersedak....
Yang sudi selamat mencuba...♡



Wednesday, 2 April 2014

MEE KARI

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera..

Makan apa hari ni? Menu ala carte menjadi pilihan daku hari ni. Selain mudah penyediaannya resepi ini dapat menghasilkan kuantiti yang banyak. Yelah kalau kita makan di kedai, memang tak dapatlah menambah-nambah. Makan apa yang dihidangkan sahaja. Kalau teringin nak menambah, kenalah bungkus dan bawa balik. Yang pasti memang akan menipiskan duit poket la jawabnya.. :-)


 

Resepi mee kari ni saya rujuk daripada blog kak Azlita si cantik manis tu..Kawan-kawan boleh lihat di sini ye. Dah banyak kali saya masak hidangan ni menggunakan resepi beliau. Memang sedap dan kena dengan tekak kami sekeluarga. Menurut beliau resepi ini diperolehi daripada kakak ipar beliau yang bernama kak Yati.  Terima kasih kepada kedua-duanya atas perkongsian resepi yang sangat sedap ini.. Masih terasa-rasa keenakkan mee kari ni... nyum nyum..



Dek kerana keenakkan mee kari ni, saya terlupa nak mengambil gambar. Teruja sangat nak menikmati mee kari kerang. Aroma kuahnya memang menusuk hidung hingga tak sabar untuk menjamah dengan segera. Akhirnya bila teringat, hanya tinggal semamgkuk kecil sahaja yang dapat berposing dalam blog saya ni..hihihi. Jadilah kan.. yang penting setiap gambar dalam blog saya ni merupakan hasil air tangan saya sendiri.. no curik-curik gambar orang lain ye...

MEE KARI KERANG
sumber : Kak Azlita
Oleh: Che'gu Mama

8 ulas bawang merah - dikisar
4 ulas bawang putih - dikisar
10 tangkai cili kering - dikisar
1 cwn udang kering - direndam n dikisar
1 cawan rempah kari daging - ita guna BABAS
1 biji santan
2 inc halia - dititik
2 inc lengkuas - dititik
2 btg serai - dititik
3 kpg asam keping

garam dan gula secukup rasa
1/2 kg daging - ita guna batang pinang
10 ekor udang - yg besar  (saya tak letak)
fish ball - (saya guna chicken ball ;-)
kerang
tauhu sponge yg dah goreng - (tak letak)

Bahan dimakan bersama
Mee kuning
Timun dihiris halus - (tak letak)

Tauge
Telur rebus 
Daun sup dan daun bawang - dihiris halus
Bawang goreng
Limau kasturi
Cili Jeruk - jika suka - (tak letak juga)

Cara-cara:
  1. Tumis bahan yg dikisar hingga garing dan naik bau.
  2. Masukkan rempah kari daging yg tlh dibancuh dgn air, halia,lengkuas dan serai.
  3. Masukkan air dan biar ia didih.
  4. Masukkan daging dan biar hingga daging empuk (jika tak pakai daging batang pinang rebus daging terlebih dahulu n masukkan dgn air rebusan sekali).
  5. Kemudian masukkan santan dan asam keping dan biar hingga merenih.
  6. Masukkan udang, kerang dan fish ball.
  7. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
  8. Akhir sekali masukkan tauhu sponge.(saya skip)
  9. Biarkan kuah mendidih
Sedia dihidangkan.Mee Kari ni di makan bersama mee kuning, timun, tauge, telur, taburan bawang goreng dan hirisan daun sup n daun bawang. Perahkan limau kasturi untuk mendapatkan rasa dan aroma yg enak... kalau nak lagi pedas bolehlah dimakan bersama cili jeruk.

 Meh cuci mata sekali lagi..kepada yang sudi selamat mencuba... daa