Thursday, 27 March 2014

SAYUR KELADI MASAK ASAM REBUS

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera 


Masih lagi dalam minggu cuti. Semalam saya baru sahaja balik dari rumah emak  di Muar. Walaupun kepulangan kami kali ini hanya dua hari satu malam, tetapi amat bermakna buat kami anak-beranak. Walaupun sibuk, kami tetap pulang menjenguk orang tua di kampung. 

Terpancar riak kegembiraan diwajah kedua-dua orang tua tersebut. Abah saya sudah pun berusia lewat 70an namun beliau masih kuat. Usai azan, dengan basikal kesayangannya, dia mengayuh laju menuju masjid yang terletak kira-kira 1km dari rumah kami. Lima kali sehari pasti akan ternampak kelibat beliau di kampung saya. Jika dia tak datang ke masjid untuk beberapa hari, pasti akan ada jemaah masjid yang datang ke rumah bertanya khabar. Abah tak akan culas ke masjid kecuali jika dia benar-benar tidak sihat ataupun melawat ke rumah anak-anak. 

Semalam, emak saya telah membekalkan kami dengan 3 batang  keladi berserta batangnya. Memang sesuai sangat dimasak rebus asam. Seumur hidup saya memang belum pernah saya menyiang mahupun memasak sayur kegemaran saya ni. Selalunya emaklah yang menyediakan untuk juadah kami sekeluarga. Sayur ini juga agak jarang untuk didapati di kedai-kedai makan. 


Kebiasaanya, lauk yang digandingkan dengan sayur keladi ini sama ada ayam goreng, ikan goreng, telur masin, telur dadar ataupun sambal belacan. Jika saya, cukup sekadar telur dadar sahaja. Oleh kerana saya menggunakan chili padi, jadi kuahnya sedikit pedas, justeru tak perlu lagi di buat sambal belacan. 

Baiklah mari kita semak resepi masakan kampung yang sihat dan digemari ramai ini. 



SAYUR KELADI MASAK REBUS ASAM
oleh: Che'gu Mama

Bahan-bahan:
3 batang keladi hitam (dikikis kulit luarnya. Potong 1/2 jengkal panjang. Basuh bersih, dan dicelur dalam kuali bersama-sama isinya. Masukkan juga 3 keping asam keping. apabila isinya sudah separuh empuk, angkat dan toskan. Lalukan air paip ke atas batang keladi yang telah dicelur tadi). Ketepikan.

Bahan kisar:
5 biji chili merah
6 biji cili padi merah - boleh kurangkan jika tak mahu pedas
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
Segenggam ikan bilis - dikopek, basuh bersih dan direndam sebentar.
1/2 inci belacan
1/2 inci kunyit hidup


1sk asam jawa extra
1 mangkuk air
Garam secukup rasa

Cara-cara:
  1. Masukkan bahan kisar bersama semangkuk air ke dalam periuk. Apabila mendidih, masukkan batang keladi bersama isinya serta garam secukupnya. Masukkan juga asam jawa extra. Kacau hingga mendidih sekali lagi.
  2. Tutup api dan sedia untuk dihidang. 
Jika ada yang suka kuahnya sedikit pekat, bolehlah direnih lama sedikit. Saya lebih gemar kuahnya yang cair begitu juga selera en.suami. Senang untuk kami menghirupnya nanti. 

Kepada yang sudi selamat mencuba. 

No comments:

Post a Comment