Tuesday, 18 March 2014

ROTI JALA cicah ASAM PEDAS DAGING

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera


Alhamdulillah setelah berminggu lamanya bumi Johor Bahru kering kontang dengan kes kebakaran hutan dan semak hampir setiap hari akhirnya bumi yang kami duduki ini dilimpahi hujan. Nikmatnya dapat menghirup udara segar selepas hujan.


Hurm, namun hati ini masih dipagut keresahan dek kerana pesawat MH370 masih belum dijumpai biarpun telah masuk hari ke 10 misi mencari dan menyelamat dijalankan. Saya hanya mampu berdoa agar segala teka-teki dan misteri ini mendapat petunjuk yang akan membawa kepada jawapan bagi setiap persoalan dibenak kita.

Terlalu banyak spekulasi yang bertebaran di alam siber ini sehingga ada yang boleh merumitkan lagi keadaan. Jadi, moralnya tak perlulah kita sibuk-sibuk untuk turut sama menabur fitnah dengan berkongsi dan menyebarkan maklumat yang tidak sahih.  Lebih baik kita sama-sama memanjatkan doa kepada yang Esa agar diberi petunjuk dan dipermudahkan segala urusan mencari pesawat yang hilang itu.

Agak beremosi saya dalam entri Kali ni. He... he. Baiklah setelah agak lama saya bertapa dek kerana tuntutan tugas hakiki hari ini saya nak berkongsi resepi yang saya masak sebagai bekal ke sekolah semalam. Roti jala bawa bekal ke sekolah?..

Rajin sangat nampaknya menjala dihari kerja..huahuahua. Asam pedas tu sebenarnya saya masak pada hari sebelumnya. Disebabkan masih berbaki dan saya malas nak menanak nasi, maka lebih senang menebar roti sahaja. 

Semasa di kampung dulu, setiap kali ada rewang untuk yasinan saya banyak mendapat tips menjala roti daripada orang-orang lama yang lebih berpengalaman dalam penghasilan roti jala ni. Ada yang berkongsi idea agar memasukkan sedikit minyak ke dalam adunan supaya kurang menggunakan minyak sewaktu menebar. Ada lagi satu tips yang dikongsikan oleh jiran lama saya semasa kami tinggal di flat perumahan staf UTM dulu agar menyapu sedikit minyak semasa menggulung roti supaya kelihatan lebih berkilat dan menarik.

Kalau ikut resepi mak saya, memang menggunakan bahan asas sahaja iaitu tepung , garam, air dan pewarna kuning sahaja. Boleh juga jika hanya itu sahaja bahan yang ada di dapur. Cuma roti kurang gebu dan lembut.

Sila ambil perhatian ye, resepi saya ni untuk santapan dua orang sahaja. Silalah ubahsuai resepi jika perlu disediakan dalam kuantiti yang banyak...

ROTI JALA
Oleh: Che'gu Mama
Bahan-bahan:
1 1/2 tepung gandum
Sebiji telur
4 sb santan
1sk garam
1sk pewarna kuning telur
Air secukupnya
3 helai daun pandan
Acuan roti jala


Cara-cara :
  1. Kesemua bahan dicampurkan ke dalam mangkuk. Gaul rata dengan hand wisk 
  2. Tuang adunan ke dalam blender dan kisar untuk beberapa minit. 
  3. Setelah adunan telah sebati, tuang ke dalam bekas dan perap selama 15 minit
  4. Sementara itu sediakan alatan yang akan digunakan untuk menebar roti jala. saya masak atas pan tak lekat. 
  5. Basuh bersih daun pandan, lipat dua dan diikat dengan getah bahagian atasnya supaya senang untuk kita memegangnya nanti. Manakala bahagian bawahnya pula dibelah dua 1/3 daripada panjang daun.
  6. Panaskan kuali, api kecil sahaja ye. Sapu sedikit permukaan kuali dengan sedikit minyak menggunakan berus daun pandan tadi.
  7. Cedok adunan dengan acuan roti jala dan tebar atas kuali. Tunggu hingga bahagian tepi roti sedikit terjongket, barulah diangkat ke atas pinggan leper. Teruskan dengan proses yang  sama. Cara akak melipat roti jala seperti di bawah..

( langkah demi langkah menggulung roti jala cara saya )

Sekarang kita semak pula resepi asam pedas daging yang telah saya siapkan menggunakan bahan-bahan yang ringkas sahaja. Kalau ada yang nak memasukkan bendi, daun kesum atau tomato boleh je.

ASAM PEDAS DAGING
oleh: Che'gu Mama

Bahan-bahan:
300 gram daging batang pinang
30 tangkai cili kering 
1biji labu bawang besar. 
4 ulas bawang putih 
1 inci belacan
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
1 sk asam jawa extra
Garam secukup rasa


Cara-cara:
  1. Hiris daging separa nipis kemudian basuh bersih dan toskan.
  2. Cili direbus sekejap kemudian dimasukkan ke dalam blender bersama-sama bahan lain kecuali asam jaws dan garam. Kisar hingga halus. 
  3. Panaskan sesenduk minyak di dalam periuk. Tumis bahan kisar hingga terbit minyak dan tua kemudian masukkan pula daging. Kacau hingga daging kecut. 
  4. Masukkan semangkuk air dan reneh kuah hingga daging empuk. Apabila kuah mula pekat, masukkan asam jawa dan perasakan dengan garam. 
  5. Saya masak asam pedas memang agak berlinang minyaknya. Setelah siap masak, biasanya saya akan saring (buang) sedikit minyaknya..:-) 


Kepada yang sudi selamat mencuba....



No comments:

Post a Comment