Sunday, 23 March 2014

ROTI POKET INTI SARDIN SIMPLE

Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera

Selamat bercuti warga sekolah. Hari ini saya baru nak memulakan cuti kerana semalam kami masih ada aktiviti di sekolah. Kepada rakan-rakan ambil peluang cuti kali ni sebagai rehat yang berkualiti untuk kita ye.. 

Bebanan tugas hakiki kadang-kadang diluar kemampuan kita. Atas dasar 'saya yang menurut perintah' mari kita sama-sama melaksanakan amanah tersebut dengan sabar dan ikhlas. Tugas kita kian mencabar saban hari. Semoga apa jua usaha murni ini akan mendapat ganjaran di akhirat sana. Amin..


Untuk hidangan sarapan pagi ini, saya cuma menyediakan roti sardin yang saya ambil ilham daripada blog k.Nor. Kawan-kawan boleh lihat di sini.Saya tak buat sos macam resepi asal K.Nor, pada saya memang dah sedap roti ni dimakan begitu sahaja. Kes malas nak buat sos le tu...

Jom kita semak resepi roti sardin yang mudah, sedap dan mengenyangkan ni..Untuk langkah-langkah menghasilkan roti sardin ni, saya ikut cara k.Nor tapi untuk resepi sardin, saya olah sendiri.

ROTI SARDIN
Sumber rujukan:  k. Nor
Oleh: Che'gu Mama

Bahan-bahan:

1 tin kecil sardin (saya guna jenama Botan)
1 biji bawang besar di belah dua ( setengah ditumbuk setengah lagi dipotong dadu)
3 ulas  bawang putih
4 biji cili padi
1/2 inci halia
1/2 ketul kiub ikan bilis
1 bungkus roti burger - 10 biji
2 biji telur


cara-cara:
  1. Tumbuk 1/2 biji bawang besar, bawang putih, cili padi dan halia hingga lumat. 
  2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis bahan tumbuk hingga naik bau. Masukkan bawang besar yang dipotong dadu. Gaul rata.
  3. Masukkan sardin. Gaul rata. Kemudian masukkan pula kiub ikan bilis. Hancurkan isi sardin dengan garpu. Gaul rata hingga agak kekeringan. Tutup api dan biarkan sejuk seketika.
  4. Sementara itu roti burger kita belah dua dan dibelah sedikit bahagian tengahnya untuk memasukkan isi sardin tadi. 
  5. Sumbat isi sardin ke dalam poket yang kita buat tadi. Ikut sukala nak letak banyak mana. Cara senang untuk masukkan inti ialah dengan memicit sedikit kedua-dua bahagian hujung roti sehingga poketnya sedikit tersengih. Buat hingga habis 
  6. Panaskan sedikit minyak atas kuali tak lekat. Api kecil sahaja ye.
  7. Kocok sedikit telur dan celup roti ke dalam telur kemudian di letakkan ke atas kuali. Kalau ikut k. Nor beliau hanya masak satu bahagian sahaja. Saya pula lebih suka kalau bahagian lain dilenyekkan sedikit di atas kuali supaya permukaannya tak terlalu kering.
    Sedia untuk dihidang.

Hidangan ini sesuai dibuat juadah sarapan pagi ataupun makan petang. Sesuai juga dibuat juadah iftar. Kepada yang sudi, selamat mencuba...


No comments:

Post a Comment