Saturday, 29 March 2014

KELADI GORENG KETUMBAR

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera

Petang tadi hujan turun agak lebat. Perut mula berkeroncong. Saya buka peti ais cari apa yang ada untuk dijadikan juadah minum petang. Keladi yang emak saya beri masih berbaki sebiji setengah lagi. Saya jerang air dulu, kemudian barulah menyediakan bahan-bahan untuk menggoreng keladi tersebut.


Bila makan keladi goreng begini memang teringat sangat kenangan semasa zaman kanak-kanak dulu. Inilah juadah sarapan pagi kami. Pokok keladi memang abah tanam di sekeliling rumah kami. Belum termasuk yang ditanam di kebun di belakang rumah. 

Abah memang pencinta keladi. Bila dah berumur ni, abah memang mengamalkan berpuasa sunat setiap hari Isnin dan Khamis. Antara juadah iftar beliau cukup sekadar keladi rebus, keladi goreng atau pengat keladi. Kadang-kadang saya pernah terfikir tidak jemukah beliau dengan hidangan yang sama?

Dalam keadaan cuaca yang sejuk begini, memang sesuailah hidangan seperti ini sebagai pengalas perut. Dapat pula menghirup kopi panas...aduh terpejam mata seketika. Sebagai anak jati Daerah Muar, memang dah terbiasa dengan kopi 434. 

Bermula dengan kopi timbang, kini telah melangkah maju. Kopi 434 boleh didapati di pasaraya-pasaraya besar dalam bentuk paket yang lebih mudah untuk membancuhnya. Tak perlu lagi guna penapis. Hanya masukkan  dua uncang kopi-O 434 ke dalam teko, tuangkan air panas mendidih separuh bekas, masukkan 3 sudu besar gula dah sedia untuk dinikmati.


Bila minum air panas-panas, teringat lagi kisah sewaktu kecil dulu, bila bertandang ke rumah saudara mara, apabila dihidangkan dengan air panas, emak akan tuang sedikit ke dalam piring pengalas cawan tersebut. Rasional perbuatan tersebut supaya air panas cepat sejuk. Lebih sopan daripada asyik meniup dibibir cawan..tapi sekarang, hampir tiada lagi budaya tersebut terlihat di mana-mana. saya sendiri tidak pernah mengajar anak akak berbuat demikian.


Asyik teringat sahaja, bila pula nak kongsi resepinya pula? Hehehe..okeylah mari kita semak resepi yang sangat mudah ini. 

KELADI GORENG
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
Sebuku keladi - dibuang kulit dan dihiris nipis-nipis.
1cawan tepung beras
1biji telur
1sk ketumbar
3 ulas bawang putih
2 sk serbuk kunyit
1 sk garam
Air secukupnya

Cara-cara:

  1. Bersihkan keladi. Hiris dahulu baru dibasuh supaya tak licin.
  2. Tumbuk ketumbar biji, garam dan bawang putih hingga halus. 
  3. Masukkan bahan tumbuk, serbuk kunyit dan telur yang dikocok sedikit ke dalam adunan tepung. 
  4. Tuang air sedikit-sedikit dan kacau adunan hingga sebati. Adunan tepung tidak terlalu pekat atau cair.
  5. Panaskan minyak dalam kuali. Celup keladi ke dalam adunan tepung tadi dan digoreng hingga keemasan. Angkat dan toskan atas tisu dapur. 
Sedia dihidang. Makan dengan sambal kicap. Memang terangkat la jawabnya. Kepada yang sudi selamat mencuba..

Thursday, 27 March 2014

SAYUR KELADI MASAK ASAM REBUS

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera 


Masih lagi dalam minggu cuti. Semalam saya baru sahaja balik dari rumah emak  di Muar. Walaupun kepulangan kami kali ini hanya dua hari satu malam, tetapi amat bermakna buat kami anak-beranak. Walaupun sibuk, kami tetap pulang menjenguk orang tua di kampung. 

Terpancar riak kegembiraan diwajah kedua-dua orang tua tersebut. Abah saya sudah pun berusia lewat 70an namun beliau masih kuat. Usai azan, dengan basikal kesayangannya, dia mengayuh laju menuju masjid yang terletak kira-kira 1km dari rumah kami. Lima kali sehari pasti akan ternampak kelibat beliau di kampung saya. Jika dia tak datang ke masjid untuk beberapa hari, pasti akan ada jemaah masjid yang datang ke rumah bertanya khabar. Abah tak akan culas ke masjid kecuali jika dia benar-benar tidak sihat ataupun melawat ke rumah anak-anak. 

Semalam, emak saya telah membekalkan kami dengan 3 batang  keladi berserta batangnya. Memang sesuai sangat dimasak rebus asam. Seumur hidup saya memang belum pernah saya menyiang mahupun memasak sayur kegemaran saya ni. Selalunya emaklah yang menyediakan untuk juadah kami sekeluarga. Sayur ini juga agak jarang untuk didapati di kedai-kedai makan. 


Kebiasaanya, lauk yang digandingkan dengan sayur keladi ini sama ada ayam goreng, ikan goreng, telur masin, telur dadar ataupun sambal belacan. Jika saya, cukup sekadar telur dadar sahaja. Oleh kerana saya menggunakan chili padi, jadi kuahnya sedikit pedas, justeru tak perlu lagi di buat sambal belacan. 

Baiklah mari kita semak resepi masakan kampung yang sihat dan digemari ramai ini. 



SAYUR KELADI MASAK REBUS ASAM
oleh: Che'gu Mama

Bahan-bahan:
3 batang keladi hitam (dikikis kulit luarnya. Potong 1/2 jengkal panjang. Basuh bersih, dan dicelur dalam kuali bersama-sama isinya. Masukkan juga 3 keping asam keping. apabila isinya sudah separuh empuk, angkat dan toskan. Lalukan air paip ke atas batang keladi yang telah dicelur tadi). Ketepikan.

Bahan kisar:
5 biji chili merah
6 biji cili padi merah - boleh kurangkan jika tak mahu pedas
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
Segenggam ikan bilis - dikopek, basuh bersih dan direndam sebentar.
1/2 inci belacan
1/2 inci kunyit hidup


1sk asam jawa extra
1 mangkuk air
Garam secukup rasa

Cara-cara:
  1. Masukkan bahan kisar bersama semangkuk air ke dalam periuk. Apabila mendidih, masukkan batang keladi bersama isinya serta garam secukupnya. Masukkan juga asam jawa extra. Kacau hingga mendidih sekali lagi.
  2. Tutup api dan sedia untuk dihidang. 
Jika ada yang suka kuahnya sedikit pekat, bolehlah direnih lama sedikit. Saya lebih gemar kuahnya yang cair begitu juga selera en.suami. Senang untuk kami menghirupnya nanti. 

Kepada yang sudi selamat mencuba. 

Sunday, 23 March 2014

ROTI POKET INTI SARDIN SIMPLE

Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera

Selamat bercuti warga sekolah. Hari ini saya baru nak memulakan cuti kerana semalam kami masih ada aktiviti di sekolah. Kepada rakan-rakan ambil peluang cuti kali ni sebagai rehat yang berkualiti untuk kita ye.. 

Bebanan tugas hakiki kadang-kadang diluar kemampuan kita. Atas dasar 'saya yang menurut perintah' mari kita sama-sama melaksanakan amanah tersebut dengan sabar dan ikhlas. Tugas kita kian mencabar saban hari. Semoga apa jua usaha murni ini akan mendapat ganjaran di akhirat sana. Amin..


Untuk hidangan sarapan pagi ini, saya cuma menyediakan roti sardin yang saya ambil ilham daripada blog k.Nor. Kawan-kawan boleh lihat di sini.Saya tak buat sos macam resepi asal K.Nor, pada saya memang dah sedap roti ni dimakan begitu sahaja. Kes malas nak buat sos le tu...

Jom kita semak resepi roti sardin yang mudah, sedap dan mengenyangkan ni..Untuk langkah-langkah menghasilkan roti sardin ni, saya ikut cara k.Nor tapi untuk resepi sardin, saya olah sendiri.

ROTI SARDIN
Sumber rujukan:  k. Nor
Oleh: Che'gu Mama

Bahan-bahan:

1 tin kecil sardin (saya guna jenama Botan)
1 biji bawang besar di belah dua ( setengah ditumbuk setengah lagi dipotong dadu)
3 ulas  bawang putih
4 biji cili padi
1/2 inci halia
1/2 ketul kiub ikan bilis
1 bungkus roti burger - 10 biji
2 biji telur


cara-cara:
  1. Tumbuk 1/2 biji bawang besar, bawang putih, cili padi dan halia hingga lumat. 
  2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis bahan tumbuk hingga naik bau. Masukkan bawang besar yang dipotong dadu. Gaul rata.
  3. Masukkan sardin. Gaul rata. Kemudian masukkan pula kiub ikan bilis. Hancurkan isi sardin dengan garpu. Gaul rata hingga agak kekeringan. Tutup api dan biarkan sejuk seketika.
  4. Sementara itu roti burger kita belah dua dan dibelah sedikit bahagian tengahnya untuk memasukkan isi sardin tadi. 
  5. Sumbat isi sardin ke dalam poket yang kita buat tadi. Ikut sukala nak letak banyak mana. Cara senang untuk masukkan inti ialah dengan memicit sedikit kedua-dua bahagian hujung roti sehingga poketnya sedikit tersengih. Buat hingga habis 
  6. Panaskan sedikit minyak atas kuali tak lekat. Api kecil sahaja ye.
  7. Kocok sedikit telur dan celup roti ke dalam telur kemudian di letakkan ke atas kuali. Kalau ikut k. Nor beliau hanya masak satu bahagian sahaja. Saya pula lebih suka kalau bahagian lain dilenyekkan sedikit di atas kuali supaya permukaannya tak terlalu kering.
    Sedia untuk dihidang.

Hidangan ini sesuai dibuat juadah sarapan pagi ataupun makan petang. Sesuai juga dibuat juadah iftar. Kepada yang sudi, selamat mencuba...


Tuesday, 18 March 2014

ROTI JALA cicah ASAM PEDAS DAGING

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera


Alhamdulillah setelah berminggu lamanya bumi Johor Bahru kering kontang dengan kes kebakaran hutan dan semak hampir setiap hari akhirnya bumi yang kami duduki ini dilimpahi hujan. Nikmatnya dapat menghirup udara segar selepas hujan.


Hurm, namun hati ini masih dipagut keresahan dek kerana pesawat MH370 masih belum dijumpai biarpun telah masuk hari ke 10 misi mencari dan menyelamat dijalankan. Saya hanya mampu berdoa agar segala teka-teki dan misteri ini mendapat petunjuk yang akan membawa kepada jawapan bagi setiap persoalan dibenak kita.

Terlalu banyak spekulasi yang bertebaran di alam siber ini sehingga ada yang boleh merumitkan lagi keadaan. Jadi, moralnya tak perlulah kita sibuk-sibuk untuk turut sama menabur fitnah dengan berkongsi dan menyebarkan maklumat yang tidak sahih.  Lebih baik kita sama-sama memanjatkan doa kepada yang Esa agar diberi petunjuk dan dipermudahkan segala urusan mencari pesawat yang hilang itu.

Agak beremosi saya dalam entri Kali ni. He... he. Baiklah setelah agak lama saya bertapa dek kerana tuntutan tugas hakiki hari ini saya nak berkongsi resepi yang saya masak sebagai bekal ke sekolah semalam. Roti jala bawa bekal ke sekolah?..

Rajin sangat nampaknya menjala dihari kerja..huahuahua. Asam pedas tu sebenarnya saya masak pada hari sebelumnya. Disebabkan masih berbaki dan saya malas nak menanak nasi, maka lebih senang menebar roti sahaja. 

Semasa di kampung dulu, setiap kali ada rewang untuk yasinan saya banyak mendapat tips menjala roti daripada orang-orang lama yang lebih berpengalaman dalam penghasilan roti jala ni. Ada yang berkongsi idea agar memasukkan sedikit minyak ke dalam adunan supaya kurang menggunakan minyak sewaktu menebar. Ada lagi satu tips yang dikongsikan oleh jiran lama saya semasa kami tinggal di flat perumahan staf UTM dulu agar menyapu sedikit minyak semasa menggulung roti supaya kelihatan lebih berkilat dan menarik.

Kalau ikut resepi mak saya, memang menggunakan bahan asas sahaja iaitu tepung , garam, air dan pewarna kuning sahaja. Boleh juga jika hanya itu sahaja bahan yang ada di dapur. Cuma roti kurang gebu dan lembut.

Sila ambil perhatian ye, resepi saya ni untuk santapan dua orang sahaja. Silalah ubahsuai resepi jika perlu disediakan dalam kuantiti yang banyak...

ROTI JALA
Oleh: Che'gu Mama
Bahan-bahan:
1 1/2 tepung gandum
Sebiji telur
4 sb santan
1sk garam
1sk pewarna kuning telur
Air secukupnya
3 helai daun pandan
Acuan roti jala


Cara-cara :
  1. Kesemua bahan dicampurkan ke dalam mangkuk. Gaul rata dengan hand wisk 
  2. Tuang adunan ke dalam blender dan kisar untuk beberapa minit. 
  3. Setelah adunan telah sebati, tuang ke dalam bekas dan perap selama 15 minit
  4. Sementara itu sediakan alatan yang akan digunakan untuk menebar roti jala. saya masak atas pan tak lekat. 
  5. Basuh bersih daun pandan, lipat dua dan diikat dengan getah bahagian atasnya supaya senang untuk kita memegangnya nanti. Manakala bahagian bawahnya pula dibelah dua 1/3 daripada panjang daun.
  6. Panaskan kuali, api kecil sahaja ye. Sapu sedikit permukaan kuali dengan sedikit minyak menggunakan berus daun pandan tadi.
  7. Cedok adunan dengan acuan roti jala dan tebar atas kuali. Tunggu hingga bahagian tepi roti sedikit terjongket, barulah diangkat ke atas pinggan leper. Teruskan dengan proses yang  sama. Cara akak melipat roti jala seperti di bawah..

( langkah demi langkah menggulung roti jala cara saya )

Sekarang kita semak pula resepi asam pedas daging yang telah saya siapkan menggunakan bahan-bahan yang ringkas sahaja. Kalau ada yang nak memasukkan bendi, daun kesum atau tomato boleh je.

ASAM PEDAS DAGING
oleh: Che'gu Mama

Bahan-bahan:
300 gram daging batang pinang
30 tangkai cili kering 
1biji labu bawang besar. 
4 ulas bawang putih 
1 inci belacan
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
1 sk asam jawa extra
Garam secukup rasa


Cara-cara:
  1. Hiris daging separa nipis kemudian basuh bersih dan toskan.
  2. Cili direbus sekejap kemudian dimasukkan ke dalam blender bersama-sama bahan lain kecuali asam jaws dan garam. Kisar hingga halus. 
  3. Panaskan sesenduk minyak di dalam periuk. Tumis bahan kisar hingga terbit minyak dan tua kemudian masukkan pula daging. Kacau hingga daging kecut. 
  4. Masukkan semangkuk air dan reneh kuah hingga daging empuk. Apabila kuah mula pekat, masukkan asam jawa dan perasakan dengan garam. 
  5. Saya masak asam pedas memang agak berlinang minyaknya. Setelah siap masak, biasanya saya akan saring (buang) sedikit minyaknya..:-) 


Kepada yang sudi selamat mencuba....



Saturday, 8 March 2014

NASI MINYAK HUJAN PANAS beras MOGHUL FAIZA BASMATHI

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera

Bila tiba musim cuti persekolahan, memang banyaklah jemputan walimatul urus yang kita terima. Kadang-kadang dalam sehari sampai 3 hingga 4 jemputan. Aduhai..kenala makan sejemput sahaja di setiap rumah yang kita kunjung supaya dapat menjamah hidangan di rumah berikutnya..

Tapi, bila diluar cuti persekolahan, jarang pula mendapat jemputan. Kadang-kadang tekak ni terasa-rasa nak makan nasi minyak orang kawin kan? kihkihkih..Hari ni saya nak kongsikan satu lagi resepi yang saya tak ingat pula bila masa saya masak. Rasanya dah terlalu lama gambar ni terperam dalam henpon cap ayam saya tu. Bila godek-godek terjumpa pula gambar yang belum di kongsi resepinya. 


Bercakap tentang henpon cap ayam, saya memang sedang terkedu seketika ni kerana henpon yang belum pun setahun saya pakai pemberian encik suami telah selamat di kedai untuk dibaiki. Aduhai anak.. memang tak perasan langsung bila masa si kecil tu mengambil henpon yang ada disebelah akak dan dibawa ke dalam bilik air. Akhirnya henpon akak dijumpai basah kuyup dek kerana terendam dalam baldi. 

Owh..anak, nak marah pun masih belum berakal lagi. Anak saya yang kecik baru berumur 1 tahun 9 bulan. Mungkin pada orang lain, tak mengapalah beli saja yang baru. Tapi saya sangat sentimental value orangnya. Seperti sebelum ini, apabila jam yang dihadiahkan encik suami pecah setelah di campak oleh sikecik ke lantai, saya memang sedaya upaya akan berusaha untuk memperbaikinya terlebih dahulu sebelum bertukar kepada yang baru. 

Berbalik kepada cerita henpon cap ayam saya yang rosak tu, selepas menyedari henpon tu dah basah, saya terus buka baterinya dan masukkan ke dalam tupperware berisi beras, seperti yang saya baca dalam entry ini..hihihi..tapi encik suami telah menghantar ke kedai pada sebelah petangnya. 

Masing-masing seperti tiada mood untuk bercakap, kami mengemas rumah tanpa sebarang kata. Hasilnya, rumah menjadi sangat kemas dan teratur. Maklumlah telah berminggu saya tak sempat nak mengemas rumah. Selama 18 hari bekerja tanpa rehat sehari pun, badan memang seperti di lanyak. Menjelang malam bila sampai sahaja di rumah, memang tak mampu nak mengemas lagi..

Okeyla kita hentikan dulu cerita henpon cap ayam saya tu. Masih belum tahu statusnya lagi..Sekarang ni mari lihat resepi nasi ayam hujan panas yang saya rujuk dari Myresepi. Memang ramai yang telah mencuba resepi yang sedap dan In Syaa Allah menjadi ni.


NASI MINYAK HUJAN PANAS
Sumber: Makyong
Oleh: Che'gu Mama

Bahan-bahan ( 5 orang )

4 cawan beras basmati
5 cawan air
2 kiub ayam
2 helai daun pandan
pewarna merah, kuning dan hijau
[bahan tumis]
1/2 inci halia
2 ulas bawang putih
1/2 biji bawang besar
2 sudu besar minyak masak
1 sudu besar minyak sapi
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
[bahan hias]
bawang goreng
kismis

Cara-cara
  1. Cuci beras dan rendam selama 10 minit. Toskan.
  2. Hiris nipis-nipis halia dan mayang semua jenis bawang
  3. Panaskan minyak dan tumiskan semua bahan tumis sehingga bau wangi
  4. Masukkan beras dan gaul rata.
  5. Masukkan air, kiub ayam dan daun pandan.
  6. Masaklah nasi sehingga masak
  7. Bila nasi kering, letakkan 1-2 titik untuk setiap pewarna kuning, merah dan hijau ditempat yang berasingan. Bila dah masak, gembur-gemburkan nasi tu.
  8. Hiaslah dengan bawang goreng, gajus atau kismis jika suka



Jika kita perhatikan beras moghul ni memang panjang-panjang. Jika cukup sukatan airnya, memang masak elok dan berderai nasinya. Cuma beras ni kurus-kurus kata encik suami saya. Hihihi..Maklumlah selalu makan beras basmathi yang panjang-panjang dan gemuk-gemuk..

Memang mudah sangat penyediannnya.Saya selalu masak nasi ni bagi menjamu tetamu yang berkunjung ke rumah terutama semasa musim perayaan. Hidangkan bersama kari daging dan ayam masak merah serta kerabu epal. Peh!! memang sedap sangat..

Kepada yang sudi selamat mencuba..daaa...

Thursday, 6 March 2014

NASI AYAM PENYET yang YUMMYLICIOUS♡♡

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera..

 

Selamat bertemu kembali pembaca di alam maya.. agak lama saya menyepi. Keadaan kesihatan saya kurang mengizinkan untuk berceloteh di ruang ini. Dengan ditambah lagi kesihatan anak-anak yang agak terganggu disebabkan perubahan cuaca yang tidak menentu kini. Nasihat saya untuk diri sendiri juga, agar perbanyakkan meminum air masak kosong, kurangkan aktiviti luar dan hindari stress..

Hehehe dalam tiga tips yang saya kongsikan di atas tu cuma satu je yang saya rasa relevan dengan saya, iaitu minum air masak, yang lagi dua tu memang tak dapatlah saya ikut..maklumlah tugas hakiki saya menuntut agar terlibat dengan aktiviti luar setiap hari ditambah dengan bebanan tugasan yang kian mencabar saban hari..
Cuma saya ada cara untuk ubati  diri tatkala stress menghampiri. Saya akan sibukkan diri ke dapur atau berulit dengan manik-manik kesayangan saya tu. Kalau dilayan stress tu nanti ada yang kena stroke pulak..

ok kali ni saya nak share satu hidangan yang sangat enak dan kena dengan anak tekak kami sekeluarga. Saya copy and paste resepi ni daripada blog cik Amie. Tapi seperti biasa memang ada bahan-bahan yang saya tokok tambah mengikut citarasa sendiri. 
Yang pasti memang sedap resepi nasi ayam penyet ni. Anak-anak pun meratah ayam penyetnya begitu sahaja. Mari kita lihat resepi nasi ayam penyet yang thorrrbaikkk!! ni

NASI AYAM PENYET
Oleh: Che'gu Mama

AYAM PENYET 

Bahan:
3 keping daging ayam bahagian peha (saya letak 8 ketul ayam)
4 cawan air kelapa
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis`
1 sudu makan ketumbar biji ( Saya tak letak sebab tak ada stok)
1 batang serai
2cm lengkuas
2cm halia
2cm kunyit hidup



Cara:

1. Masukkan kesemua bahan di atas ke dalam periuk.
2. Didihkan dengan api sederhana sehingga ayam separuh masak.
3. Toskan daging ayam.
4. Tekan / penyetkan daging ayam - Amie gunakan permukaan parang 
    belitung  sehingga tulang ayam kedengaran patah.(Saya tak buat)
5. Panggang daging ayam sehingga masak. (Saya goreng je ayam yang telah 
    ditos)
 
 

Sambal ulek ni memang sedap sangat. Bila masuk sahaja ke dalam mulut, saya dapat membayangkan saat menikmati ubi mentega rebus panas-panas dicicah dengan sambal yang sedap ni.. walllah... Lain kali saya akan buat sambal ulek ini untuk dimakan dengan ubi rebus. Nampaknya kenalah pergi cari di pasar nanti...
 
SAMBAL ULEK

Bahan:
1 genggam cili padi - kalau takut pedas gunakanlah dalam kuantiti yang sedikit (tengok pada saiz genggaman masing2 ye..)
3cm belacan
7 biji bawang merah - hiris kasar
2 biji tomato - belah 8
minyak
garam / gula / perasa pilihan
2 sudu besar ikan bilis - Saya tambah 
3 biji lada merah - Saya tambah

Cara:
1. Goreng kesemua bahan di atas kecuali garam / gula / perasa pilihan.
2. Untuk hasil yang lebih memuaskan gunakan lesung 'ulek', tapi kalau tak 
    ada memadailah gunakan lesung batu macam Amie gunakan. (saya bedal 
    guna blender je. Tapi tekan kejap-kejap je. Supaya tekstur sambal tak 
    terlalu halus)
3. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.



TAUHU / TEMPE 
Bahan-bahan:
4 keping tauhu di potong tiga segi
sebungkus tempe FAMA di belah dua kemudian di potong sederhana lebar

cara-cara:
  1. Saya tak ikut cara Amie. Saya cuma rebus tempe dan tauhu ke dalam air rebusan ayam tadi selama lebih kurang 5 minit kemudian  toskan. Sejukkan sebentar sebelum di goreng selama beberapa minit sehingga nampak keperang-perangan.

Saya letak sahaja sayur yang ada dalam peti ais. Biasanya di kedai dihidangkan bersama kobis dan timun sahaja. Juga tak ketinggalan limau kasturi. 


ULAM-ULAMAN
Bahan-bahan
3 batang kacang panjang- dibasuh kemudian dipotong sederhana panjang.
1/2 batang timun - dibasuh, buang bahagian tengah kemudian dipotong mancis
5 biji bendi - dicelur sekejap dengan sedikit garam dan ditoskan.
1/3 buku kobis - dibasuh dan dihiris kasar-kasar. 


Dah siap semuanya bolehlah dihidangkan bersama nasi panas-panas. Kalau diperhatikan nasi saya tu semacam ada biji-biji berwarna coklat. Harap maklum yang itu ialah OATS FOR RICE. Sekarang ni memang dah jadi santapan kami hari-hari. 


Setiap kali beli oats yang biasa tu sampai tarikh luput tak jalan-jalan juga. Jadi untuk kali ni saya tukar strategi pula dengan memasukkan oats ke dalam nasi. Jadi hari-hari kita akan makan oats tanpa culas.....yehooo misi berjaya. 

Hidangan lazat ni memang kena sangat dengan selera saya. Tambahan buat masa ini saya memang tak lalu nak makan masakan yang berlemak. Alhamdulillah terima kasih buat Amie kerana berkongsi resepi nasi ayam penyet ni dan telah selamat menjadi santapan saya dan anak-anak tengah hari tadi..


Eh..tidak bekerjakah saya hari ni? Sebenarnya saya masih dalam cuti sakit. Kali ni menjaga anak-anak pula yang masih belum sihat sepenuhnya. Memang dugaan kan bila menjaga anak-anak kecil yang tidak sihat. Semoga Allah menyembuhkan penyakit kami anak beranak dan kembali sihat seperti sediakala..Walaupun kurang sihat, dapurku tetap berasap....

kepada yang sudi, selamat mencuba.....