Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera
Oleh kerana cuti sekolah sempena perayaan tahun baru cina ni masih berbaki dua hari lagi, saya memang tak ada plan nak kemana-mana. En.suami pun outstation lagi. Nampaknya menu ala carte jadi pilihan. Masak sekali untuk breakfast dan lunch. Senang kerja..
Memandangkan ada stok mee kuning dalam peti sejuk, jadi saya hanya masak mee goreng mamak untuk diri sendiri. Manakala anak-anak nak makan nasi putih dengan ayam goreng sahaja.
Resepi mee goreng mamak ni saya ambil dari buku 1 hari 1 resepi hasil tulisan cef Hanieliza. Kebanyakan resepi dalam buku tersebut telah saya cuba. Alhamdulillah sedap dan yang penting ringkas dan In Syaa Allah menjadi. Jadi silalah beramai-ramai dapatkan buku tersebut di kedai-kedai buku berhampiran ye..
Tapi seperti biasa ada sahaja bahagian yang saya ubahsuai mengikut stok yang ada dalam peti ais..Jom kita lihat resepi mee goreng mamak yang ringkas ni.
Mee Goreng Mamak
Sumber: Cef Hanieliza
Oleh: Che'gu Mama
Bahan-bahan:
1/2 kg mee kuning kasar. Dibasuh bersih dan toskan
5 sb lada kisar
3 ulas bawang putih ditumbuk
200 gm daging batang pinang dihiris nipis
2 sb serbuk kari daging - campur dengan sedikit air
3 pokok sawi
2 biji telur
sebatang cili merah- dihiris nipis
2 genggam taugeh - buang kepala dan akar. cuci bersih
2 keping tauhu - belah dua digoreng sebentar kemudian di potong sederhana nipis.
Garam secukup rasa
2 sb kicap masin.
Cara-cara:
- Panaskan sedikit minyak dalam kuali.
- Goreng bawang putih hingga naik bau. Masukkan lada kisar hingga garing.
- Kemudian masukkan pula serbuk kari. Api dikecilkan sedikit bagi mengelakkan pes hangit.
- Apabila terbit minyak, masukkan pula daging batang pinang. Gaul dengan sudip dan biarkan sebentar hingga empuk.
- Masukkan pula batang sawi dan tauhu. kacau rata.
- Masukkan pula garam secukupnya dan kicap masin.
- Kemudian masukkan pula mee kuning. kacau rata. Pecahkan telur ke dalam mee dan gaul sekali lagi.
- Akhir sekali masukkan daun sawi, hirisan lada merah dan taugeh. Kacau rata-rata dan tutup api. Cukup sekadar sawi sedikit layu.
Angkat. Sedia untuk dihidangkan. Enak dimakan bersama hirisan timun, diperah sedikit limau kasturi dan sedikit sos cili.
Kepada yang sudi selamat mencuba.. Selamat bercuti .. =)
No comments:
Post a Comment