Saturday, 15 August 2015

Menu berpantang #12 ayam kukus halia

Assalammualaikum dan selamat sejahtera. 


Hari ni saya kongsikan satu lagi resepi mudah untuk ibu-ibu dalam pantang. Kalau yang tak berpantang pun boleh masak jugak.. terutama bagi yang sedang berdiet hihihihi

Menu simple sesuai sangat untuk ibu yang berpantang sendiri. Tak renyah dan yang penting seimbang.

Ayam kukus halia
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
Dua ketul dada ayam ( saya guna kepak. Stok ayam habis)
Dua inci halia dihiris mancis
Dua ulas bawang putih dihiris
Dua biji bawang merah dihiris
1 sk Sos tiram
1/2 sk lada hitam
Secubit garam

Cara-cara:
1. Gaul rata semua bahan. Perap selama 15 minit.
2. Panaskan kukusan. Sediakan aluminium foil. Letakkan ayam bersama bahan perapan. Lipat kemas.
3. Kukus selama 15-20 minit. Sedia untuk dimakan

Kepada yang sudi selamat mencuba o_O


Tuesday, 11 August 2015

Menu berpantang #11 sawi masak asam dengan tempe

Assalammualaikum dan selamat sejahtera.. 

Telah saya maklumkan sebelum-sebelum ni sepanjang tempoh berpantang kali ini memang saya paling suka juadah berasaskan asam jawa.

Kali ini saya masak bening sawi dengan tempe. Juadah penambah susu ibu ni sedap sekali dimakan bersama nasi panas-panas.

SAWI MASAK ASAM DENGAN TEMPE
oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
Seikat sawi hijau
Dua ulas bawang putih dihiris
Dua biji bawang merah dihiris
Seinci halia dihiris mancis
Sekeping tempe kampung belah dua dan hiris nipis
Semangkuk air asam jawa
Garam secukup rasa

Cara-cara:

  1. Masukkan bawang putih, bawang merah dan halia ke dalam periuk.
  2. Masukkan juga air asam jawa. Tunggu hingga kuah mendidih. 
  3. Masukkan pula tempe. Kacau rata. Kemudian masukkan Secubit garam.
  4. Akhir sekali masukkan sawi . Kacau rata dan tutup api. Sedia di makan. 
Kepada yang sudi selamat mencuba.. B-)

Sunday, 9 August 2015

Menu berpantang #10 daging masak asam

Assalammualaikum dan selamat sejahtera


Seperti yang telah saya coretkan sebelum ini, masak asam merupakan menu yang paling saya gemarkan sepanjang tempoh berpantang kali ini. 

Selain ikan tenggiri, ikan bawal, ikan bilis kali ini saya masak menggunakan daging pula.. maaflah kalau ada yang bosan dengan menu yang sama diulang tayang. Hihihi.. 

Sekadar berkongsi variasi menu berpantang.. kadang-kadang dah tak tahu nak masak apa. Lainlah kalau ada yang memasakkan untuk kita. Tinggal suap sahaja.. 

Daging masak asam
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
300 gm daging di hiris nipis dan direbus hingga empuk
1/2 labu bawang besar potong dan dihiris 
2 ulas bawang putih dihiris
2 inci halia dihiris mancis
1/2 cawan air asam jawa ( 1 sb pes asam jawa extra + 1/2 cawan air )
Secubit Garam
Minyak untuk menumis

Cara-cara:
1. Tumiskan bawang putih, bawang besar dan halia hingga naik bau. 
2. Masukkan daging. Kacau rata. Masukkan pula air asam jawa.
3. Akhir sekali perasakan dengan garam. 

Sedia dinikmati dengan nasi panas-panas.. Kepada yang sudi selamat mencuba.(^3^)

Friday, 7 August 2015

Menu berpantang #9 bubur nasi sama ikan bilis masam asam dan sayur sawi

Assalammualaikum dan selamat sejahtera


Bila dah bosan makan nasi, kita tukar pulak dengan bubur. Barulah bervariasi. Ada orang kata, dalam pantang tak boleh makan bubur. Tapi saya ok aje. Sebab mak memang masakkan bubur semasa berpantang sebelum-sebelum ni. Cuma bubur tu taklah cair macam air, nasinya sahaja yang agak lembik umpama masak nasi terlebih air.

Bubur ni saya gandingkan dengan ikan bilis masak asam. Rasanya sepanjang berpantang ni, lauk paling saya suka masak asam. Hari-hari makan pun tak pe. Waah... Sedapnya.. 

Selain itu, saya juga menyediakan bening sawi putih sebagai milk booster. Ohh ini pun sama, hampir setiap hari juga saya menikmati sayur sawi ni.. 

Bubur nasi dengan ikan bilis masak asam dan bening sawi putih 
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
Bubur 
Segenggam beras
3 cawan air 
Secubit garam

Segenggam ikan bilis - dibersihkan
1/2 labu bawang besar dihiris
1 ulas bawang putih dihiris
1 inci halia dihiris mancis
1 inci lobak merah potong dadu
1/2 cawan air asam jawa (1sb pes asam jawa extra + 1/2 cawan air)
Secubit garam 

1 pokok sawi putih - dibersihkan dan potong ikut suka
1 biji bawang merah dihiris
1 ulas bawang putih dihiris
1/2 cawan air 
Secubit garam

Cara-cara:
1. Masukkan bahan bubur ke dalam periuk dan masak seperti biasa. Jika kurang air boleh tambah. Bila butir nasi sudah kembang, tutup api. Tak perlu masak hingga hancur. 
2. Goreng ikan bilis. Nak sangai pun boleh. Ketepikan. Masukkan semua bahan dalam kuali. Apabila kuah mendidih masukkan ikan bilis. Tutup api. 
3. Untuk bening sawi pula, masukkan hirisan bawang dan air ke dalam periuk. Apabila kuah mendidih masukkan sawi. Perasakan dengan garam. Tutup api dan sedia dihidangkan.

Dah siap... Kepada yang sudi selamat mencuba.. (*^o^*)

Tuesday, 4 August 2015

Menu berpantang #8 spaghetti sama ayam masak halia

Assalammualaikum dan selamat sejahtera


Sesekali anak tekak ni teringin nak makan mee.. maklumlah musim raya begini ramai tuan rumah menyediakan hidangan berasaskan mee yang menggoda tekak saya. Namun, terpaksalah ku pendam. Hahaha..

Teringat semasa di ward tempoh hari. Sebaik sahaja balik dari dewan bersalin, pagi itu saya dihidangkan dengan mee goreng. Saya memang takut nak makan. Cuma minum milo yang dicicah dengan roti kosong. Akhirnya saya dimarahi oleh sister. Huhuhu.. Katanya apa yang kita makan sewaktu mengandung boleh dimakan selepas melahirkan. Kecuali makanan tersebut memberi kesan alahan kepada badan kita.. hrmmm...  Serba salah dibuatnya..

Spagetti dengan ayam masak halia
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
Secekak spagheti (saya guna jenama kimbal)
1 keping dada ayam (dihiris kecil-kecil)
1 labu bawang besar belah dua dan dihiris nipis
1 ulas bawang putih dihiris
2 inci halia muda hiris mancis
1sk sos lada hitam
Secubit garam
Minyak zaiton

Cara-cara:
1. Didihkan air dalam kuali. Apabila air sudah betul-betul mendidih, masukkan spagheti. Masukkan juga 1sk garam. Celur hingga spagheti lembut, angkat dan gaulkan dengan 1sb minyak zaiton. Ketepikan.
2. Tumiskan bawang putih dan halia hingga naik bau. Kemudian masukkan hirisan ayam. Kacau hingga ayam separa empuk.
3. Masukkan bawang besar, sos lada hitam dan perasakan dengan garam.
4. Tutup api da sedia untuk dihidang..

Nah... Senang bukan. Kepada yang sudi selamat mencuba... (*˘︶˘*)





Saturday, 1 August 2015

Menu berpantang #7 bening sawi dengan tempe

Assalammualaikum dan selamat sejahtera

Hari ni saya kongsikan satu hidangan yang lazat juga sebagai milk booster atau penggalak susu bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi. Seperti yang kita ketahui sawi boleh menambahkan susu badan begitu juga dengan tempe, jadi memang sesuailah menu ini dimakan semasa dalam pantang.


Hidangan ini sangat mudah dan boleh di makan seisi keluarga. Makan dengan nasi panas-panas... Aduh enak sungguh... 

Bening sawi dengan tempe.
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan:
2 pokok sawi (dibersihkan dan potong ikut suka)
2 keping tempe kampung (potong dua kemudian potong dadu)
2 ulas bawang putih dihiris
2 biji bawang merah dihiris
10 ekor ikan bilis di bersihkan
1 cawan air
Secubit garam

Cara-cara:
1. Masukkan semua bahan kecuali sawi ke dalam periuk kemudian masak atas dapur. 
2. Apabila kuah mendidih masukkan sawi. Masukkan juga garam secukupnya. Kacau rata dan segera tutup api.

Masakan ini tak perlu dimasak lama nanti hilang zat zat yang terdapat pada sayur.   

Sedia dihidang. Kepada yang sudi selamat mencuba...