Monday, 12 May 2014

AYAM GORENG KUNYIT SIMPLE

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera. 


Kali ni saya masak campak-campak aje. Badan lesu dan masih belum sihat. Namun perut en.suami perlu di isi. Begitu juga anak-anak. Jadi bila menghadapi situasi sebegini saya memang mengambil langkah mudah dengan memasak menu yang ringkas tapi lengkap nutrisinya.. ewahh.

Tak mau menulis panjang lebar batuk pun dah semakin menyesak dada ni. Aduhai... 

Jom kita semak resepi ayam goreng kunyit yang serba ringkas ni. 

AYAM GORENG KUNYIT SIMPLE 
oleh: Che'gu Mama

Bahan - bahan :
2 keping isi ayam bahagian dada - dihiris nipis
3 batang kacang panjang - dipotong pendek - pendek
1/3 lobak - buang kulit belah dua dan hiris nipis
1 labu bawang besar - belah 6
2 biji bawang merah - dihiris nipis
2 biji bawang putih - dihiris nipis
5 biji cili padi kampung - dihiris 
2 sb sos tiram
1 sb serbuk kunyit
1 sk garam 

Cara- cara :
1.  Lumur serbuk kunyit dan garam pada hirisan ayam tadi. Perap sebentar lebih kurang 15 minit.
2. Gorengkan perapan ayam tadi hingga separa masak. Tak perlu goreng hingga garing.
3. Angkat ayam tadi dan keluarkan sedikit minyak. Tumis bawang putih,  bawang merah dan bawang besar hingga layu.
4. Masukkan ayam tadi. Gaul rata. Kemudian masukkan sos tiram. 
5. Akhir sekali masukkan kacang panjang, hirisan cili padi dan lobak. Kacau hingga kacang nampak sedikit layu. Angkat dan sedia dihidang. 

Masakan begini juga sesuai dimasak untuk juadah sahur di bulan ramadhan nanti. Kepada yang sudi selamat mencuba ♡ ♡...... 


Thursday, 8 May 2014

MEE BANDUNG MUAR RENCAH ASLI

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera. 



Masakan ni memang kegemaran kami sekeluarga. Sejak berumahtangga, en.suami pun dah pandai memilih warung mee bandung terbaik di daerah kelahiran saya iaitu di Bandar Muar atau Maharani dan juga dikenali sebagai Bandar DiRaja.

Selalunya bila berkesempatan balik ke kampung, saya pasti membeli beberapa bungkus perencah mee bandung segera di Pasar Awam Bentayan yang terletak di tepian Sungai Muar. 

Ada dua jenama yang paling terkenal di bandar Muar iaitu jenama Maharani dan Makpon. Kedua-duanya pun sedap. Jika berkesempatan mengunjungi kedai makan mee bandung Pakcik Abu Bakar Hanafiah yang terletak di tengah-tengah pusat bandar, boleh juga membeli terus perencah mee bandung di kedai beliau. 




Inilah rupa perencah mee bandung jenama Maharani yang saya guna untuk menyediakan mee bandung yang sedap ini. Harganya tak mahal hanya RM7 sahaja. Memang asli dan sama seperti yang kita selalu makan di kedai-kedai makan. Untuk satu peket perencah ini, boleh dihidangkan kepada 5-7 orang. Jimat bukan? 

Saya belum jumpa lagi resepi mee bandung muar yang asli. Apa yang saya tahu ramuan asasnya hanyalah bawang putih, bawang merah, lada, kacang tanah dan udang geragau. Kuahnya terasa manis udang. Bukan ditambah dengan sos seperti kebanyakan resepi yang saya google. Hanya sayur sawi sahaja digunakan dalam hidangan ini. Untuk tambahan rencah, boleh digunakan sotong kembang ataupun kerang. Yang paling utama perlulah disediakan stok daging sebagai bahan utama dalam penghasilan mee bandung ini.

Sekarang mari kita lihat resepi mee bandung muar asli ni. 

MEE BANDUNG MUAR ASLI
oleh: Che'gu Mama

Bahan - bahan :
500 gm mee kuning - dicelur. 
300gm  daging - dihiris nipis kemudian direbus hingga empuk. Ketepikan
300 gm udang - buang kulit. Tinggalkan bahagian ekor sahaja.
2 ketul tauhu digoreng - belah dua kemudian potong empat
Sepokok sawi hijau - dipotong 
5 biji telur
Hirisan daun bawang / sup secukupnya
Bawang goreng 

Cara - cara :
1.  Tumis sepeket rencah mee bandung. (Jika menggunakan perencah mak pon, tak perlu ditumis)
2. Masukkan daging dengan air rebusannya ke dalam tumisan tadi. 
3.Biar mendidih, masukkan udang, batang sawi dan tauhu. Akhir sekali masukkan daun sawi tadi.
4. Apabila nak hidang, akak biasanya akan ambil 3 senduk kuah kemudian tuang dalam kuali. Pecahkan 3 biji telur ke dalamnya dengan menjarakkan telur tersebut. Jangan sampai masak, agak- agak telur dah nak mengeras terus tuang kuah kuah tersebut ke atas mee yang telah dihidang ke dalam pinggan. 
5. Satu pinggan satu biji telur ye. Jangan pulak masuk semua dalam pinggan yang sama. 
6. Tabur daun sup/ bawang dan bawang goreng ke ataanya.. sedia dinikmati...

Adooii...tak boleh tahan, sambil tulis resepi pun boleh terbayang keenakkan mee bandung muar ni...jom layan mata sekali lagi..


Sunday, 4 May 2014

MANIK LACE #3

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera



Entri kali ini mengenai jahitan manik dan renda dibaju kurung moden dari fabrik cotton yang cantik berwarna royal blue milik regular customer akak merangkap rakan sekerja. Menjahit lace dan manik di atas kain cotton memang menyeronokkan akak sebab mudah menyiapkannya.Tapi, maafla memang lambat nak disiapkan bila mana sakit M melanda..hikhikhik...

Lihat jelah ye hasil keras tangan akak ni. Bukan pandai sangat pun, tapi cukupla sekadar mengisi masa yang tak berapa nak terluang ni. 

Kali ni, beliau meminta akak menjahit lace di bahagian hujung lengan tangan,




Bahagian dada dengan perincian manik jurai-jurai dibahagian hujungnya. Di sini saya telah menggunting dan menyusun bunga-bunga lace mengikut citarasa saya mengelilingi bahagian leher baju. Walaupun empunya badan bertudung, tetapi masih mahukan hiasan yang mewah di situ. Berhati-hati semasa memotong lace dan matikan hujung bahagian yang telah dipotong dengan api. 




Dihujung kain pula beliau minta saya jahit lace di kedua-dua belahan kain. 



Untuk design seperti ini, saya menggunakan 2.5 meter kain lace. Glass pearl saiz 8mm, 6mm, 4mm dan 3mm. Round transparent dan milky beads colour baby pink..

Untuk harga?..bolehla tit tot tit tot sendiri ye berdasarkan bahan-bahan yang saya dah senaraikan di atas tu. Jangan lupa kos upah sekali..♡♡

Saturday, 3 May 2014

SOTONG MASAK UNGKEP STYLE JAWA

Assalammualaikum WBT dan selamat sejahtera. 




Jumpa lagi..kali ni saya nak berkongsi resepi hidangan sotong yang menjadi kegemaran kami sekeluarga. Senang memasaknya. Campak-campak sahaja. Dah sedia untuk dihidang dan dinikmati dengan nasi panas-panas.  

Kalau tak  nak makan dengan nasi, boleh je dicicah dengan roti. Masakan begini memang pilihan sewaktu bulan ramadhan kerana ringkas dan mudah.

Marilah kita semak resepi keluarga jawa yang dah kacuk dengan bugis ni..hikhikhik...




SOTONG MASAK UNGKEP STAIL JAWA.
Oleh : Che'gu Mama

Bahan - bahan :
6 ekor sotong saiz sederhana - bersihkan dan potong ikut suka. 
10 biji cili padi*
1 biji lada merah*
3 ulas bawang putih*
1/2 biji bawang besar*
1 inci halia*
1 sk ketumbar biji*
1 sk jintan halus*
1 sk jintan kasar*
2 batang serai diketuk
1/2 sk serbuk kunyit
Garam secukup rasa

Cara - cara :
1. Kisar bahan bertanda * hingga lumat.  
2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali.  Tumis bahan blend, serbuk kunyit dan serai hingga terbit minyak dan kering sedikit.  Sentiasa kacau supaya tak hangit.
3. Masukkan sotong tadi dan gaul rata.  Tak perlu tambah air sebab sotong itu sendiri akan mengeluarkan air. 
4. Rasakan dengan garam. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.  

Senang je kan... kepada yang sudi, selamat mencuba...