Tuesday, 17 September 2013

ASAM PEDAS IKAN KEMBUNG EKSPRES

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera


Dah makan? Nak masak ape ye....kali ini saya nak kongsikan satu resepi yang sinonim dengan orang Johor iaitu asam pedas. Boleh dikatakan masakan wajibla. Seminggu sekali mesti nak makan asam pedas kan..ada orang suka makan asam pedas bersama kicap masin macam en.suami saya. Tapi saya lebih suka kicap lemak manis. 

Bila makan asam pedas mesti nak cari telur masin atau ayam goreng bersama sayur kacang panjang atau kobis. Memang itulah regu untuk hidangan ni...

Saya suka asam pedas ikan pari, ikan parang, ikan tenggiri dan ikan kembung..Ada jugak asam pedas ayam dan asam pedas tetel 

Banyak versi juga cara memasak asam pedas ni. Apa yang penting ialah kuahnya mestilah seimbang dari segi rasa pedas dan masamnya. Pekat atau cair kuahnya tepuk dada tanya selera.  Resepi asam pedas ni memang yang asas tidak seperti asam pedas stail orang Melaka yang ada campuran rempah ratus yang lain.

Saya kongsikan versi ekspres yang selalu saya buat sebagai bekal ke sekolah. 


Asam pedas ikan kembung 
Oleh: che'gu mama

Bahan-bahan (2-3 orang makan)
  • 5 ekor ikan kembung
  • *15 tangkai cili kering dipotong serong-serong dan direbus sebentar. 
  • *1 biji  bawang besar
  • *3 ulas bawang putih
  • *Seinci halia 
  • *Seinci kunyit hidup
  • *Seinci belacan melaka 
  • (* diblend ) 
  • Dua biji tomato dibelah dua *option lain: sayur bendi / terung / bunga kantan / daun kesum  
  • Garam secukup rasa 
  • 1 sk asam jawa extra adabi



Cara-cara
1. Panaskan sesenduk minyak di dalam periuk. Emak  pernah berpesan bila nak asam pedas minyaknya biar lebih. Nanti bila dah siap lebihan minyak boleh dibuang. 
2. Tumis bahan blend hingga tua. Api sedang dan sentiasa kacau supaya tak berkerak. 
3. Bila dah terbit minyak dan telah tua, masukkan sedikit air dari lebihan blender tadi.  Tak lah membazir kan.. terpulang pada citarasa kita kalau suka kuah yang pekat letak air lebih begitu juga sebaliknya. Masukkan juga asam jawa ekstra.
4. Bila kuah dah mendidih sekali lagi baru masukkan ikan. Tak perlu beria sangat mengacau kuah ye. Cuma kocak-kocak je. Sebab kalau terlebih kacau nanti isi ikan akan hancur. 
5. Masukkan sayuran yang lain. Rasakan masam masinnya. Dah boleh tutup api 

Yang ni gambar yang emak saya masak semasa kami balik ke kampung baru-baru ni..


(Sedap sangat air tangan emak...)



  

Thursday, 12 September 2013

KETUPAT GORENG

Assalammualaikum wbt dan selamat sejahtera

Pernah makan ketupat goreng?.. saya pun agak jakun kali pertama menjamah masakan ni kira-kira 4 tahun lepas.. tapi sekarang selalu masak atas permintaan en.suami...tapi dengan syarat memang waktu tu merebus ketupat la kan. Samada semasa musim raya atau lebihan masak lontong atau soto. Kalau merebus semata-mata untuk masak begini memang kurang kerajinan.. huhuhu 

Rencahnya sama seperti memasak nasi goreng kampung.. mesti pedas-pedas gitu... kalau ada yang tak tahan pedas boleh la kurangkan penggunaan cili padi..


KETUPAT GORENG
oleh: che'gu mama

Bahan - bahan
  • 10 ketul ketupat mini dipotong 6. Saya suka potong kecil sedikit supaya senang nak dimakan 
  • *Segenggam cili padi kampung
  • *5 biji bawang kecil
  • *3 ulas bawang putih
  • *10 ekor ikan bilis siap kopek dan dibasuh
  • (*ditumbuk) 
  • Seketul daging siap direbus dan dihiris nipis ( tak letak sebab tak ada stok) 
  • 2 biji telur  
  • 3 batang kacang panjang ( dihiris nipis-nipis) tak letak sebab tak da stok 

Untuk hiasan
  • Sedikit hirisan daun bawang dan daun sup
  • Sedikit bawang goreng 

Cara - cara
1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali.  Tumis bahan tumbuk hingga kekuningan. 
2. Masukkan daging. Kacau rata.  Kemudian masukkan kacang panjang dan telur. 
3. Biarkan sebentar baru dikacau supaya tekstur telur cantik. 
4. Masukkan ketupat yang telah dipotong.  Kacau lagi sampai rencah sekata. Akhir sekali masukkan garam secukup rasa.  
5. Tutup api dan boleh dihidangkan. Tabur sedikit daun bawang dan daun sup bersama bawang goreng yang dimasak sendiri.  

Memang syok la kan. Lebih-lebih lagi masa musim raya bila dah jemu makan lodeh bagai..

Kepada yang sudi selamat mencuba....